|
|
BERITA
Khamis Ogos 07, 2008
Anwar bebas bon peribadi, sebab Saiful tidak didakwa
(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan pada Jun lepas. Jika sabit kesalahan Anwar boleh dihukum hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Anwar dibebaskan dengan bon peribadi RM20,000 tanpa penjamin. Ketika mebenarkan ikat jamin itu, Hakim S.M. Komathy Suppiah berkata, undang-undang menetapkan bahawa seseorang itu dianggap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya dan bahawa ikat jamin dikenakan bagi menentukan kehadiran orang itu. ---------------------------------------------------------------------------------- SAIFUL TIDAK DIDAKWA KERANA DIA PENGADU MOHAMAD Saiful Bukhari Azlan tidak didakwa di mahkamah bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tuduhan liwat kerana dia merupakan pengadu yang mendakwa diliwat oleh penasihat Parti Keadilan Rakyat itu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar. ----------------------------------------------------------------------------------
Hakim menetapkan 10 September ini untuk sebutan semula kes itu di mahkamah yang sama dan kemungkinan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Ini adalah kali kedua Anwar menghadapi tuduhan liwat. Selepas jurubahasa Mahkamah Sesyen membacakan pertuduhan terhadapnya dan bertanya sama ada beliau (Anwar) mengaku bersalah atau tidak, Anwar berkata: "Itu jahat dan khianat. Saya tidak bersalah." Selain Idrus, pihak pendakwaan turut dianggotai oleh Ketua Unit Pendakwaan Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Hanafiah Zakaria manakala George Varughase dan Rajpal Singh mewakili Majlis Peguam. Pihak pembelaan yang dibarisi sembilan peguam diketuai Sulaiman Abdullah. Peguam lain terdiri daripada R..Sivarasa, Leela Jeyamani Jesuthasan, S.N. Nair, Edmund Bon Tai Soon, Saiful Izham Ramli, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Beebi Koya dan Mohd Radzlan Jalaluddin. Sementara, International Federation for Human Rights, Forum Asia and Human Rights Watch diwakili peguam A. Sahadeva, Chan Weng Keng, Ann Chuah Siew Fan and Seira Sache. Sementara itu, Sankara yang ditemui di luar mahkamah berkata, Anwar mempunyai alibi yang kukuh bagi menyangkal dakwaan Saiful. Beliau berkata Anwar telah memberitahu alibi tersebut kepada pihak polis semasa beliau ditahan pada 16 Julai, namun polis tetap mahu meneruskan siasatan terhadap kes. "Kami yakin kerana pada tarikh kejadian Anwar punya alibi yang kukuh dan beliau sedang bermesyuarat di tempat kejadian," kata beliau kepada pemberita di luar kamar mahkamah. Tambah Sankara, Ketua Umum Pakatan Rakyat itu boleh bertanding sebagai calon pada pilihan raya kecil Permatang Pauh yang ditetapkan 16 Ogos ini tanpa sebarang masalah kerana perbicaraan kes tersebut belum bermula. Ditanya mengenai pembebasan anak guamnya, Sankara berkata, mahkamah telah memutuskan satu tindakan yang adil dengan membebaskan Anwar tanpa perlu membayar sebarang wang ikat jamin. "Hakim S.M. Komathy Suppiah telah menggunakan budi bicara secara adil dan tanpa gentar dengan membenarkan Anwar dibebaskan dengan ikat jamin. "Kami bersetuju dengan hakim dan telah meminta mahkamah tidak menahan pasport kerana Anwar telah memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada polis," katanya. Dalam pada itu, Anwar turut memberi kenyataan kepada media bahawa beliau gembira dibebaskan dan menegaskan, pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau adalah pertuduhan jahat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. "Saya gembira dibebaskan, cuma apa yang dikesalkan adalah pendakwaan diteruskan walaupun saya yakin pendakwa pun nampak dipaksa untuk meneruskan kes ini," katanya sejurus keluar dari kamar mahkamah. Anwar yang dibebaskan dengan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin berkata, beliau sendiri telah menandatangi bon peribadi itu. "Ia tidak libatkan sumber kewangan, dana dan pasport saya juga masih kekal dengan saya," katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan, pendakwaan hari ini dibuat kerana didalangi oleh tokoh-tokoh politik tertentu. "Ingin saya tegaskan pendakwaan ke atas saya hari ini berniat jahat dan dirancang oleh Abdullah," ujar Anwar. Anwar menyifatkannya sebagai satu politik kotor oleh seseorang yang akan kehilangan kuasanya. Tambah Anwar, biarpun beliau akan didakwa atas tuduhan ke liwat ia tidak akan menjejaskan peluangnya untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh. "Sekarang ini kita nak tumpu di Permantang Pauh. Selepas berjaya ke Parlimen kita akan ambil alih dan hapuskan semua rasuah yang berlaku dalam kerajaan, " kata Anwar. Penasihat PKR itu turut mempersoalkan mengapa beliau seorang sahaja yang didakwa di mahkamah jika beliau dikatakan melakukan hubungan seks di luar tabii dengan bekas pembantunya secara suka sama suka. "Dulu dari awal dihebahkan kepada media, ada penderaan dan liwat secara paksa," katantya. Semalam Perdana Menteri, Abdullah Badawi berkata tuduhan liwat terhadap Anwar melibatkan rogol namun Anwar menegaskan kenyataan Abdullah berniat jahat kerana hari ini beliau didakwa 377 B kerana kesalahan meliwat secara sukarela. "Jika suka sama suka, kenapa hanya saya sahaja kena dakwa.Kenapa tak panggil dua-dua?" katanya. Laungan "reformasi" bergema sebaik sahaja Anwar memberikan kenyataannya. Dalam pada itu, isteri Anwar, Dr. Wan Azizah berkata, beliau amat berpuas hati dengan perjalanan kes tersebut. "Ini juga satu petanda baik apabila pihak pendakwa tidak menentang permohonan Anwar untuk diikat jamin," katanya. Anwar meninggalkan perkarangan mahkamah pada pukul 11.35 pagi sementara di luar mahkamah, kira-kira 2,000 penyokong Anwar mula bersorak dengan laungan "reformasi". Terdahulu, Anwar tiba di mahkamah Jalan Duta pukul 9.42 pagi tadi. Dalam pada itu tinjauan mStar Online pada 7.30 pagi mendapati unit polis trafik mengawal lalu lintas sejak pagi tadi di sekitar jalan menuju ke mahkamah. Sementara itu di hadapan masuk, terdapat kira-kira 100 orang FRU mula mengambil tempat berkawal di perkarangan mahkamah. Para wartawan sudah berkumpul di luar mahkamah. |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES |