JENAYAH

Kilang Haram Proses Rokok Tiruan Terbongkar

SUNGAI BULOH: Kegiatan kilang haram yang memproses rokok tiruan jenama "Half Time 5" dan "League" di Kampung Baru di sini terbongkar berikutan penahanan pemandu lori kilang itu oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Mohammad Khalid Yusof berkata, pemandu lori kilang itu ditahan pada pukul 4 petang di Bandar Country Homes Rawang ketika membawa 1.1 juta batang rokok yang siap diproses bernilai RM110,000.

"Hasil soal-siasat ke atas lelaki terbabit, jabatan membuat serbuan ke kilang terbabit di Sungai Buloh yang hasil pemeriksaan mendapati ia beroperasi tanpa lesen yang sah sejak enam bulan lepas," katanya kepada pemberita di kilang itu di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil serbuan, pihaknya merampas 700 kotak tembakau seberat 4,095 kilogram dengan anggaran nilai RM614,250 yang melibatkan cukai berjumlah RM379,371.04.

Turut dirampas ialah 585,360 batang rokok yang telah diproses bernilai RM105,364.80 melibatkan cukai RM282,728.88 dan empat mesin termasuk mesin mengilang dan membungkus rokok bernilai RM1.5 juta, katanya.

"Ketika serbuan, beberapa lelaki yang dipercayai pekerja di situ sempat melarikan diri melalui pintu belakang," katanya.

Mohammad Khalid berkata, jabatan itu kini menyiasat mengenai pemilik premis itu.

Beliau juga meminta orang ramai tampil memberikan maklumat kepada kastam jika mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-8855. - BERNAMA

  • E-mail this story
  • Print this story

« Kembali
 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel