|
|
JENAYAH
Ahad Mei 13, 2012
Seorang Maut, 77 Cedera, Dua Bas Bawa Anggota Umno Terlibat Kemalangan
Antara mangsa-mangsa yang terlibat dengan kemalangan di KM 258.8 Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala selatan berhampiran Plaza Tol Rasah di sini, awal pagi Sabtu yang dalam perjalanan pulang dari menghadiri Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-66 di Stadium Bukit Jalil. Seorang wanita maut, manakala 77 yang lain cedera dalam kemalangan yang membabitkan dua buah bas dan sebuah treler dalam kejadian kira-kira 2.58 pagi tadi.-fotoBERNAMASEREMBAN: Seorang wanita warga emas maut, manakala 77 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah bas dan sebuah lori treler di Kilometer 258.8 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan berhampiran susur keluar ke Port Dickson, di sini awal hari Sabtu. Roha Dol, 79, anggota wanita Umno Batu Pahat, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar di sini akibat kecederaan di kepala dan badannya. Pengarah hospital berkenaan Dr Jaafar Che Mat berkata mangsa disahkan meninggal dunia 5.40 pagi. Kesemua yang cedera pula dirawat sebagai pesakit luar di hospital itu. Dalam kejadian pukul 2.58 pagi itu, dua bas berkenaan yang membawa anggota Umno, dalam perjalanan ke Melaka dan Batu Pahat, Johor setelah menghadiri sambutan ulang tahun Umno ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam Jumaat. Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila bas yang membawa 40 anggota Puteri Umno dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang, Terengganu yang hendak ke Melaka, terlebih dahulu melanggar belakang sebuah treler ketika tiba di tempat kejadian. Katanya, sebuah lagi bas yang membawa 44 anggota Umno, sedang dalam perjalanan pulang ke Batu Pahat pula mengekori dari belakang, tetapi gagal mengelak bas di hadapan itu lalu melanggar bahagian belakang bas berkenaan. Sambil mengesahkan kejadian itu, Pegawai Turus Trafik Negeri ASP Abd Halil Hamzah ketika dihubungi berkata semua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk menerima rawatan. Seorang mangsa, Mohd Hafizan M. Senin, 30, ketika ditemui berkata sewaktu kejadian dia sedang tidur dan terjaga apabila terdengar bunyi dentuman kuat akibat pelanggaran itu. Dia yang menaiki bas belakang kemudiannya tercampak ke tengah-tengah bas menyebabkannya mengalami kecederaan ringan. "Saya berada dalam bas di belakang apabila tersedar saya nampak dua buah bas dengan sebuah lori sudah berlanggar dan saya nampak ada cedera, ada yang teruk juga," katanya. Seorang lagi mangsa, Raja Sulaiman Busu, 59, berkata, ketika kejadian kebanyakan penumpang sedang tidur sebelum dikejutkan dengan kejadian itu. "Bagaimanapun saya bersyukur kerana saya tidak mengalami kecederaan," katanya. Turut hadir melawat mangsa di hospital adalah Anggota Parlimen Parit Sulong Datuk Noraini Ahmad. - BERNAMA |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES
|
|||||||