JENAYAH

Polis Tahan Lima Geng Tikus Termasuk Seorang Wanita

JOHOR BAHARU: Kelicikan satu kumpulan pecah rumah dan mencuri kenderaan yang aktif menjalankan kegiatan jenayah itu sejak beberapa bulan lalu akhirnya berjaya ditumpaskan apabila lima anggota kumpulan itu ditahan Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Zainuddin Yaacob berkata kumpulan yang dikenali dengan nama 'Geng Tikus' itu dipercayai terlibat dengan 35 kes samun, pecah rumah dan mencuri kenderaan di sekitar Johor Baharu.

"Kejayaan ini berikutan penahanan dua lelaki ahli kumpulan tersebut pada Isnin lepas pada jam lebih kurang 4.45 petang yang mana ketika itu mereka baru sahaja melakukan kes pecah rumah di Jalan Kasa, Taman Sentosa, Johor Baharu.

"Berikutan penahanan tersebut, tidak lama selepas itu kita telah menahan tiga lagi ahli kumpulan itu termasuk seorang wanita yang kesemuanya berumur awal 30-an," katanya dalam sidang media di sini Isnin.

Menurutnya, hasil beberapa serbuan yang dijalankan, polis merampas empat buah kereta termasuk dua kenderaan curi iaitu masing-masing sebuah kereta Proton Satria, Peugeot, Honda Civic dan Citroen yang kesemuanya dianggar bernilai RM300,000.

Zainuddin berkata polis turut menemui pelbagai barangan hasil samun dan curi seperti komputer riba, televisyen, iPad, telefon bimbit yang dianggar bernilai RM50,000 selain senjata yang digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah termasuk sebilah parang dan kuku kambing.

"Kumpulan ini amat merbahaya dan tidak teragak-agak untuk menggunakan senjata jika merasakan diri mereka terancam dan kebiasaanya mereka mensasarkan kawasan kediaman untuk menjalankan kegiatan curi kenderaan dan samun," katanya.

Beliau berkata hasil siasatan yang dijalankan mendapati dua daripada ahli kumpulan ini positif dadah dan salah seorang suspek juga didapati memiliki rekod jenayah lampau bersabit kesalahan curi dan samun.

Kesemua suspek kini di tahan reman sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 /397 Kanun Keseksaan (samun berkawan tanpa bersenjat api), Seksyen 457 Kanun Keseksaan (pecah rumah dan curi) serta Seksyen 379A kanun yang sama (curi motokar).

Zainuddin berkata polis juga sedang mengesan saki baki ahli kumpulan itu serta pembeli barangan curi yang dibekalkan oleh kumpulan berkenaan.

Sementara itu hasil tindakan pantas pasukan khas membanteras kes mencuri kenderaan dan samun, seorang penjenayah berputih mata apabila ditahan selepas 35 minit mencuri sebuah kenderaan jenis Ford Everest di sebuah restoran di Danga Bay 9.40 malam Ahad.

Lelaki berusia 45 tahun itu yang mempunyai enam rekod jenayah bersabit pelbagai kesalahan seperti curi, curi kenderaan dan samun tanpa senjata api, ditahan ketika sedang memandu kenderaan milik seorang pelajar institusi pengajian tinggi di kawasan Jalan Tahar di sini.

Hasil penahanan tersebut, Zainuddin berkata polis berjaya merampas semula kenderaan itu dan menemui semula barangan peribadi pemilik kereta berkenaan seperti telefon bimbit dan kad bank. - BERNAMA

  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel