|
|
JENAYAH
Selasa Mei 8, 2012
Suami Isteri Maut, Bayi Selamat Dalam Nahas Jalan Raya
KUANTAN: Sepasang suami isteri maut manakala bayi mereka yang berusia enam bulan cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh besi penghadang jalan di Km 205.31 Lebuhraya Pantai Timur dekat Gambang di sini petang Ahad. Mangsa yang menetap di Kuala Lumpur itu dikenali sebagai Ahmad Hakimi Ahmad Rabudzi, 31, dan isterinya Siti Rohani Abd Halim, 26, meninggal di tempat kejadian. Bayi mereka Ahmad Uzair hanya cedera ringan walaupun tercampak keluar dari kereta dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. Pihak hospital memaklumkan bayi tersebut dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan hanya mengalami luka-luka kecil. Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim, kejadian berlaku kira-kira 6.30 petang ketika keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Kerteh, Terengganu menuju Kuala Lumpur. "Kereta jenis Mitsubishi Lancer yang dipandu Ahmad Hakimi dipercayai terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelum memasuki laluan bertentangan. "Pada masa yang sama sebuah kereta yang datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan cuba mengelak kereta mangsa, tetapi ia juga turut terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri jalan, namun pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada pemberita di sini Isnin. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES |