LUAR NEGARA

Kesesakan Di Everest Dikhuatiri Jejas Keselamatan Pendaki

Beberapa pendaki mendaki Gunung Everest.

KATMANDU: Siapa sangka, pendakian ke puncak tertinggi dunia boleh menyebabkan kesesakan sehingga menjejaskan nyawa para pendaki tetapi itulah realiti yang kini sangat-sangat ditakuti oleh pihak berkuasa Pergunungan Nepal.

Kebimbangan ini muncul selepas empat orang pendaki maut ketika sedang menuruni Gunung Everest beberapa hari lalu akibat kesesakan yang mengakibatkan mereka mengalami keletihan dan mabuk gunung yang boleh mengancam nyawa.

Kini menurut pihak berkuasa pergunungan Nepal, menjelang Jumaat hingga Ahad ini, kesesakan yang sama mungkin akan berulang memandangkan terdapat 200 pendaki lagi sedang menunggu giliran untuk mendaki dan kemudian menuruni gunung setinggi 8,850 meter itu apabila cuaca baik.

Kata salah seorang pegawai pihak berkuasa pergunungan Nepal, Gyanendra Shrestha, sebahagian besar pendaki ini sudah berkhemah di pusat perkhemahan di kaki Gunung Everest sejak beberapa hari lalu.

Jelasnya lagi, situasi yang sama berlaku minggu lalu apabila 208 orang pendaki bergegas melakukan pendakian dan kemudian turun kembali dengan segera untuk mengelak cuaca yang boleh bertukar buruk pada bila-bila masa tanpa amaran awal.

Gunung Everest.

Akibatnya empat orang pendaki telah menemui ajal Sabtu lalu ketika sedang menuruni Gunung Everest.

Mangsa-mangsa itu ialah Ha Wenyi dari China, Eberhard Schaaf dari Jerman, warga Kanada kelahiran Nepal, Shriya Shah dan seorang warga Korea Selatan, Song Won-bin.

Shrestha juga berkata, akibat kesesakan di puncak Everest, sherpa Nepal yang menjadi jurupandu pendaki-pendaki berkenaan telah terpisah dengan kumpulannya dan dia tidak dapat berpatah balik untuk membantu kerana kesesakan tersebut malah tidak dilengkapkan dengan alat komunikasi.

Sherpa itu selamat kembali ke pusat perkhemahan di kaki Gunung Everest pada Isnin.

Insiden kematian empat orang pendaki itu telah mencetuskan kebimbangan di kalangan kakitangan pihak berkuasa pergunungan Nepal berhubung masalah kesesakan di gunung berkenaan.

Dan mereka tidak berkuasa untuk berbuat apa-apa kerana ia bukanlah satu kesalahan atau larangan.

Rakyat Malaysia, T. Ravindran merupakan pendaki Asia yang pertama berjaya mendaki sehingga ke puncak Gunung Everest menerusi Tibet.

"Menurut laporan yang kami terima memang berlaku kesesakan di beberapa laluan sempit dan berbahaya Sabtu lalu. Ini terbukti apabila masih terdapat pendaki yang sedang menuju ke puncak pada jam 2.30 petang sedangkan ini tidak sepatutnya berlaku," ujar Shrestha.

Berdasarkan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kepada para pendaki, mereka tidak digalakkan meneruskan pendakian melebihi jam 11 pagi kerana tempoh masa yang lama yang diperlukan untuk mendaki akan menyebabkan mereka tidak mempunyai masa mencukupi untuk turun semula.

Shrestha berkata, apabila kesesakan berlaku di pertengahan pendakian, dan pendaki terpaksa menunggu giliran dan masa yang lama untuk naik atau turun, mereka boleh diserang mabuk gunung akibat kekurangan oksigen dan ini boleh membawa maut.

Keadaan ini katanya menjadi lebih bahaya kerana pendaki tidak melakukan persediaan yang mencukupi seperti membawa bekalan tangki oksigen tambahan kerana mereka tidak menjangkakan yang kesesakan boleh berlaku di atas gunung.

"Masalahnya ialah kami tidak dapat menghalang mereka daripada meneruskan niat mendaki kerana mereka telah memiliki permit untuk berbuat demikian dan permit itu pula secara spesifik menyatakan had masa untuk berbuat demikian.

Sir Edmund Hillary (kiri) dan Tenzing Norgay merupakan manusia pertama mencapai puncak Everest pada tahun 1953. - REUTERS

Kementerian Pelancongan Nepal kini merancang untuk menempatkan pejabat bermusim di kaki Gunung Everest untuk membantu mengkordinasikan pendakian serta menempatkan penasihat dan doktor termasuklah alat pengesan untuk setiap pendaki yang diberikan permit.

Sejak Sir Edmund Hillary dan Tenzing Norgay menjadi manusia pertama mencapai puncak Everest pada tahun 1953, lebih 3,000 pendaki telah mendaki gunung tertinggi di dunia itu.

Dari jumlah itu, 225 orang mati ketika mencuba untuk mendakinya.

Insiden terburuk kematian di puncak Everest berlaku pada 10 Mei 1996, apabila lapan orang terbunuh.

Punca utama malapetaka itu dikatakan berlaku kerana para pendaki dalam ekspedisi berkenaan telah memulakan pendakian mereka lewat dan mereka terperangkap dalam kejadian ribut salji.

Musim mendaki di Nepal biasanya bermula pada hujung Mac sehingga minggu pertama Jun tetapi tahun ini cuaca kelihatan baik untuk meneruskan pendakian setiap hari Jumaat hingga Ahad.

Bagaimanapun musim ini ribut salji berlaku secara konsisten pada setiap tengah hari Sabtu.

  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel