MAHKAMAH

Pecah Amanah: Akauntan Diperintah Bela Diri

KUALA LUMPUR: Seorang akauntan pada Selasa diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan RM250,000, sepuluh tahun lepas.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh, P.Subramaniam di akhir kes pendakwaan.

"Setelah meneliti dan mempertimbangkan keterangan saksi pendakwaan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh.

"Mahkamah juga mendapati isu "ejen" telah dibuktikan melalui keterangan saksi pendakwaan dan tertuduh dipanggil membela diri," kata Rozana.

Peguam M. Haresh yang mewakili Subramaniam memberitahu mahkamah pihaknya akan memanggil dua saksi pembelaan termasuk anak guamnya yang akan memberi keterangan secara bersumpah bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, Subramaniam, 51, didakwa melakukan pecah amanah beberapa cek yang kesemuanya bernilai RM250,000, yang diamanahkan kepadanya, apabila gagal membuat pembayaran cukai pendapatan Syarikat Cashflow Horizon Sdn Bhd kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Wilayah Persekutuan.

Dia yang didakwa di mahkamah pada 14 Okt 2009 dituduh melakukan kesalahan itu di Syarikat Cashflow Horizon Sdn Bhd, Wisma Pantai, No 5 Jalan 4/83A, di sini antara 30 Ogos hingga 13 Disember 2002.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal dengan mengemukakan lapan saksi di sepanjang perbicaraan bermula pada 15 Julai 2011.

Cashflow ialah sebuah syarikat yang mengusahakan produk kecantikan dengan jenama 'O'lynn'. -BERNAMA

  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel