MAHKAMAH

Cubaan Merompak: Bekas Pegawai Bank Dipenjara 24 Bulan

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai bank dipenjara 42 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, Khamis selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan iaitu cuba merompak, menggunakan pistol palsu dan memiliki senjata berbahaya.

Hakim Mahmud Abdullah menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap Eugene Khoo Kah Chong bagi pertuduhan cuba merompak dan 24 bulan bagi pertuduhan menggunakan pistol palsu.

Mahmud juga menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu dua bilah pisau dan dua senjata renjatan elektrik.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara 18 bulan dan 24 bulan berjalan berasingan manakala bagi tiga bulan penjara pula berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 6 Mac lepas.

Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Mahmud berkata mahkamah membuat keputusan selepas mempertimbang kepentingan awam, juga pengakuan bersalah tertuduh dan tertuduh juga tidak mempunyai kesalahan lampau. Bagi pertuduhan pertama, Eugene, 37, didakwa cuba merompak Lau Sim Yoon, 35, seorang suri rumah, manakala bagi pertuduhan kedua dia didakwa menggunakan pistol palsu semasa cuba merompak wanita itu.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di tepi Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Brickfields, di sini pada 1 tengah hari, 6 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, dan Seksyen 32 (2) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun sebagai tambahan penalti kepada pertuduhan pertama.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Eugene didakwa memiliki senjata berbahaya di tempat awam di tepi Jalan Tun Mohd Fuad, TTDI, Brickfields, di sini pada masa dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan sebat. Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa berada di dalam kereta yang diletakkan di tempat letak kereta di hadapan Pasar Besar TTDI sebelum tertuduh membuka pintu sebelah kiri bahagian depan kereta dan duduk di tempat penumpang serta mengacukan sepucuk pistol tiruan plastik berwarna hitam kepada wanita itu.

Mangsa kemudian keluar dari kereta lalu menjerit dan meminta bantuan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Poad manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Jagjit Singh.-BERNAMA

  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel