ADOIII...

Nak Jadi Artis Kena "Pandai Menipu"?

Adoiii…

SEORANG kanak-kanak bertanya kepada saya. “Uncle, kalau kita tipu, nanti dapat apa?” Saya pun menjawab, kalau kita tipu, nanti dapat masuk neraka.

Kanak-kanak tu pun beritahu saya, dia takut masuk neraka dan dia tidak mahu menipu. Saya tanya dia pula, neraka tu apa? Dia pun menjawab, ustazahnya kata neraka tu api. Panasnya macam orang bakar sate.

Saya pun ketawa... yalah... budak-budak yang tidak cukup umur, tahap pemikirannya tidak luas seperti orang dewasa. Apa-apa pun dia sudah faham perbuatan menipu itu sesuatu perkara yang salah dan akan ada balasannya.

Kemudian, ada pula orang dewasa bertanya kepada saya. “Kalau artis pula tipu dapat apa?” Jawapannya mudah saja. Dapat masuk surat khabar, hahaha.

Betul tak apa yang saya kata? Rasionalnya untuk menjadi artis seseorang itu jika pandai menipu mereka akan mendapat perhatian.

Sebab itulah dalam kita sedar ataupun tidak, kebanyakan artis kita memang suka menipu (tapi bukan semua). Tujuan menipu itu tidak kiralah sama ada untuk menyembunyikan keburukan diri masing-masing ataupun untuk menunjukkan diri itu hebat.

Saya mengambil contoh, ada penerbit filem yang mendakwa kos pembikinan filem mereka mencecah jutaan ringgit. Tetapi pada dasarnya tak sampai pun.

Ada juga artis yang mahu kelihatan muda dan tidak membenarkan umur mereka didedahkan. Ia juga satu perbuatan menipu.

Malah terdapat sesetengah artis yang ada skandal keliling pinggang tetapi mendakwa kekayaan yang dia peroleh hasil daripada usaha sendiri walaupun wajahnya dan bertahun-tahun tidak pernah muncul di televisyen. Kita juga tidak pernah dengar apa usaha yang pernah dia buat.

Dan yang lebih banyak pula apabila artis yang membuat kenyataan tanpa menggunakan otak apabila sering kali tidak mengaku terhadap kenyataan yang dia buat itu.

Saya berhadapan dengan pengalaman ini sudah lama dan saya dapati sejak kebelakangan ini ia semakin menjadi-jadi.

Sepuluh tahun lalu saya melalui peristiwa apabila sebuah syarikat rakaman meminta saya menulis album seseorang artis yang sebenarnya tak laku telah mencapai tahap penjualan lebih 50 ribu unit. Sedangkan album itu baru terjual 5,000 unit sahaja.

Alasan yang diberikan syarikat rakaman itu, dia terpaksa menipu untuk mempengaruhi pembaca supaya terpengaruh dan mendorong mereka untuk membeli album.

Saya kata, kalau album itu tak laku, tak perlulah nak sorok. Suruh sahaja peminat beli untuk menyokong album berkenaan. Jika dah tak laku tentu ada silap di mana-mana.

Saya ingatkan apabila zaman sudah berubah, kejadian yang sama tidak berulang tetapi ia semakin menjadi-jadi.

Jadi selepas ini kalau kita ada membaca kenyataan putar belit artis, janganlah mudah percaya kerana tak semua apa yang keluar daripada mulut mereka cerita benar.

NIEZAM: Simpati dengan nasib pelakon Zed Zaidi asyik memberi kenyataan bercanggah. Sabarlah bro...! Selepas ni fikir baik buruk dulu sebelum nak buat “statment.”

  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel