HIBURAN

Kak Nita yang romantik

Diam tak diam, sudah empat dekad diva popular Anita Sarawak menghambakan diri dalam dunia seni. Dalam tempoh itu juga, Anita yang lebih mesra dipanggil Kak Nita tidak jemu-jemu memberikan yang terbaik dalam apa jua bidang yang diceburinya, baik nyanyian, lakonan atau pengacara.

Kalau ada yang kata Kak Nita tidak tahu erti penat meskipun usianya sudah mencecah 53 tahun, memang ada kebenarannya.

"Jangan asyik fikir kita tua. Perasaan tua ni adalah hati kita. Kalau kita rasa tua, tualah jadinya. Kita kena senantiasa rasa diri kita muda, jadi kita akan selalu bergaya muda. Tapi tak bermakna, kita lupa diri pulak, adat-adatlah...," ujar penghibur hebat ketika ditemui di Malam Karyawan baru-baru ini.


53 tahun dan masih hebat bertenaga... Anita Sarawak bersama suaminya tersayang, Mahathir Abdullah
(The Star)

Kak Nita, yang mula berjinak dalam bidang nyanyian ketika berusia 17 tahun, telahpun merakamkan sebuah album sentimental bahasa Inggeris yang berjudul "Anita Sarawak Another Dimension."

Walaupun lagu-lagu tersebut pernah dirakamkan oleh penyanyi terkenal seperti Billie Holiday dan Frank Sinatra dan menjangkau era 20an, 30an, 40an hingga 60an, Kak Nita telah menyuntik nafas baru kedalam semua lagu-lagu tersebut.

"Kak Nita ni romantik orangnya sebab tu pilih semua lagu-lagu yang sentimental dalam album ini. Abang Mahathir pun turut sama memberikan ideanya. Memang seronok betul buat album ni, terkenang masa kita muda-muda dulu," ujar Kak Nita yang setia ditemani suami tersayang, Mahathir Abdullah sepanjang wawancara.

Antara lagu-lagu yang telah dirakamkan termasuk Cry Me A River, Bewitched, I Got You Under My Skin, Lover Man, Misty, I Can't Stand The Rain, That Old Devil Called Love dan The Man I Love.

"Setiap lagu membawa erti tersendiri bagi Kak Nita. Suara Kak Nita seolah-olah seperti berbisik dalam setiap lagu. Kak Nita percaya peminat-peminat semua akan rasa terhibur dengan album ini sebab ianya lain dari album Kak Nita yang dulu-dulu," ujar penyanyi yang masih seksi dan bergaya ini.

Bagi Kak Nita, kepuasan merakam album pada usia emas ini agak berbeza sekali.
"Kak Nita tak fikirpun pasal keuntungan tapi lebih pada kepuasan. Memang susah untuk menyenangkan semua pihak tapi rasanya  semua orang akan rasa terhibur dengan album ini," ujarnya lagi.

Album baru Kak Nita akan mula berada di pasaran pada 8 haribulan Disember manakala pelancarannya akan diadakan seminggu kemudian, pada 14 haribulan Disember.

Kak Nita yang juga anak kepada seniman S.Roomai Nor dan seniwati Siput Sarawak ini, sedang dalam perancangan untuk menyiapkan sebuah video clip untuk lagu That Old Devil Called Love.

"Dam banyak lagu-lagu, lagu That Old Devil Called Love ni istimewa sikit. Melodinya begitu mengasyikkan dan liriknya memang indah. Lagu-lagu cinta ni semua orang suka dengar tak kira peringkat umur. Tambahan pula lagu-lagu lama.

Bila kita dengar balik, memang mendayu-dayu bunyinya. Itu yang buat Kak Nita rasa begitu bersemangat sekali buat album ini. Semua ni, buah tangan Kak Nita untuk generasi muda."

Walaupun proses rakaman telah diadakan pada bulan puasa yang lalu, Kak Nita sedikitpun tidak menghadapi masaalah untuk menyiapkannya.

"Pokok pangkal hati kita. Kalau kita ada kemahuan, walau datang seribu rintangan sekalipun kita akan tetap mengharunginya. Kak Nita dah terlalu lama dalam bidang nyanyian ini, pahit manis telah banyak Kak Nita harungi. Inilah album Kak Nita yang paling sentimental sekali. Bila Kak Nita dengar balik, Kak Nita sendiri tak sangka kompilasi lagu-lagu kali ini begitu romantik sekali," ujar Kak Nita lagi yang bakal membintangi sebuah telemovie berjudul Topeng tidak lama lagi.

  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel