|
|
HIBURAN
Rabu November 09, 2005
Kanak-kanak inspirasi Carol Lee
PETALING JAYA: Melihat kanak-kanak bergerak maju ketika menjadi seorang guru tadika sebelum ini telah memberi satu inspirasi kepada Carol Lee untuk menubuhkan sebuah tadika sendiri satu hari nanti.
Lee, yang ketika ini merupakan hos rancangan "Hello on Two" di RTM2 juga pernah bekerja sebagai ketua penyambut tetamu, model dan pengacara majlis selain daripada guru tadika. Namun, kata Lee, tiada langsung yang memenuhi kehendaknya sepertimana keinginan untuk memiliki tadika sendiri. "Saya juga memang minat menyampaikan berita dan mengacarakan rancangan. Tetapi saya amat sukakan kanak-kanak kerana saya rasa dapat berkongsi satu ikatan istimewa dengan mereka, ditambah lagi dengan sifat lurus mereka," ujar Lee ketika temuramahnya mStar Online, baru-baru ini. Lee, 32, yang juga pemenang Miss Malaysia China 1995/1996 berkata, sebelum menyertai RTM, dia terlebih dahulu menjadi guru tadika di Taman Bandaraya selama tiga tahun. Dia kemudiannya melepaskan kerjaya tersebut untuk menyambung semula pengajiannya di peringkat ijazah secara sepenuh masa di dalam bidang pengurusan dan pemasaran. Sebelum itu juga, Lee pernah menjadi model selama beberapa tahun sejak berumur 21 tahun lagi dan turut berpengalaman mengacarakan majlis-majlis korporat, majlis perkahwinan dan pertunjukan fesyen secara 'freelance'.
Sebaik tamat pengajian, seorang rakannya yang merupakan perunding imej di RTM memberitahu Lee satu ujibakat penyampai berita akan diadakan. "Saya ambil peluang itu untuk mencuba. Bidang ini sangat menarik, kerana saya belajar banyak perkara mengenai isu-isu semasa dan inilah yang menjadikan saya seorang yang lebih berkeyakinan," tambahnya yang suka akan cabaran di dalam bidang ini. "Saya sukakan cabaran kerana bagi saya, cabaran dapat memberi satu kepuasan dan juga pencapaian. Saya sentiasa 'berperang' dengan diri sendiri untuk buat sesuatu dengan lebih baik," kata Lee lagi. Lee, yang juga bekas pelajar Convent Light Street di Pulau Pinang dan Sekolah Perempuan Taman Sri Petaling, amat gemarkan aktiviti luar yang mencabar seperti "hash run" atau larian merentas desa dan "paintball" iaitu satu acara sukan ala peperangan mengunakan bebola berisi cat.. Setiap kali hujung minggu, katanya, dia akan cuba meluangkan masa untuk melakukan aktiviti "hash run" di Ulu Yam dan juga menyertai permainan paintball di Subang. Lee yang mempunyai ketinggian 5'8" mula berjinak-jinak dengan permainan paintball ketika bertemu dengan rakan lamanya yang telah menyertai Kejohanan Paintball Asia Pasifik bulan lepas. Ketika itu, Lee melakukan lintas langsung di kejohanan tersebut untuk siaran sukan bagi berita bahasa Inggeris. "Paintball bukan satu 'trend' di Malaysia, tetapi permainan ini makin mula dikenali," katanya lagi. Ditanya mengenai statusnya, Lee yang masih bujang tidak mahu menjalinkan sebarang hubungan hanya semata-mata kerana inginkannya. "Saya sedang mencari pasangan hidup saya. Tetapi saya sebenarnya rela hidup bersendirian daripada menjalinkan hubungan dengan mudah. Memang tidak dinafikan, adakalanya saya rasa sunyi," tambahnya. Lee, yang turut ditanya mengenai idolanya, amat mengagumi mendiang ayahnya yang telah meninggal dunia akibat penyakit kanser, ketika Lee belum lagi mencecah usia 21 tahun. "Saya kagum akan personalitinya. Dia seorang yang sentiasa merendah diri dan menghormati sesiapa sahaja yang dia temui," katanya, mengenangi sikap mendiang bapanya ketika masih hidup.
|
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES
|
|||||||||