|
|
HIBURAN
Khamis Disember 01, 2005
Sarimah bakal kembali ke kaca televisyen anda!
Siapa sebenarnya Sarimah Ibrahim? "Susah untuk saya menjelaskan siapa sebenarnya Sarimah Ibrahim," katanya apabila ditanya untuk menjelaskan perangainya di sebalik tabir. "Ada yang kata saya ini lawak, kuat bercakap, berani menegakkan pendirian, sentiasa memberi pendapat dan seseorang yang sukar dijangka tindak-tanduknya. Banyak lagilah yang dikatakan oleh orang mengenai pesonaliti saya ini," kata Sarimah mengenai dirinya itu. "Saya sendiri pun tak tahulah macam mana lagi nak 'describe' diri saya ini," tambahnya lagi.
Bercakap mengenai kerja, mStar Online jarang melihat Sarimah di kaca televisyen sekarang. Apa yang sudah terjadi dengan Sarimah? Dah pencen ke dari dunia hiburan? "Iskh... Belum lagi. Saya bakal mengacara dua program pada tahun depan. Satu berbentuk hiburan ataupun live music dan satu lagi bercorak family gameshow. Saya memang tak sabar-sabarlah untuk program itu bermula. Manakala filem, saya telah berlakon di dalam Gerak Khas 3 yang sudah di tayangkan pada tahun ini," katanya sambil mengatakan bahawa kemungkinan besar aktiviti berlakonnya akan dikurangkan kerana dia kini telah menyambung pelajarannya di salah satu universiti di Malaysia. "Saya kini mengambil jurusan psikologi. Yelah, sudah sembilan tahun saya bekerja, saya rasakan bahawa inilah waktu yang terbaik untuk diri saya melangkah lebih jauh lagi dengan pelajaran saya. Lagipun, saya memang berminat dengan jurusan itu," ujarnya. Sarimah pernah menjadi salah seorang tenaga pengajar di Taylor's College setelah menamatkan CELTA di British Council. Katanya ia memang serasi kalau peminat nak menggelarkannya,'Beauty with brains'. Baginya pengalamannya sebagai pengajar amat menakjubkan. Bagaimana pula dengan album. Mungkinkah Sarimah akan mengeluarkan album baru? "Kalau saya dapat lagu-lagu yang elok, saya mungkin merakamkan album. Tetapi kali ini album saya mungkin tidak berkonsepkan pop atau RnB lagi. Banyak sangat album pop dan RnB di pasaran," jelasnya. Asyik-asyik pasal kerja. Selain daripada kerja, apa yang Sarimah buat kalau ada masa yang terluang? "Saya kini gilakan yoga dan pilates. Selain itu, saya dah jadi kaki karate. Saya ni hyper orangnya. Oh, tak lupakan juga, saya sekarang suka makanan berkhasiat. Dah tak berminat untuk berdiet, mengurangkan metabolisma sahaja," jelasnya lagi. Soalan cepu emas untuk Sarimah, dah berpunya ke? Ataupun, dah terikat ke? Kalau ye, siapa jejaka bertuah itu? "Tak kahwin lagi. Saya akan kahwin suatu hari nanti, jangan risau. Kalau dah berkahwin, sayalah wanita yang bertuah itu," jawabnya. Kenapa dia pula yang bertuah tetapi bukan bakal suaminya? "Saya ni kan kuat bercakap. Nanti kasihan lah bakal suami saya itu sebab sudi berhadapan dengan saya setiap hari kelak," katanya sambil gelak. Apakah 'pick-up line' (kata-kata mengorat) yang paling dahsyat Sarimah pernah terkena? "Banyak sangat yang teruk lah. Hmmm... biar saya fikirkan. Pernah sekali ada seorang lelaki pernah tanya jika saya ini 'pondan'. Maklumlah di Asia, jenis macam itu yang lawa-lawa. Bayangkan, perasaan saya! Tak mahu saya berkenalan dengan lelaki itu," katanya diikuti dengan gelakan. Apa yang Sarimah jawab kepada dia? "Dengan nada suara yang rendah, saya kata, 'What do you think?'. Kasihan lelaki itu," jawabnya sambil bergelak. Kalau Sarimah boleh jadi seorang lelaki untuk sehari, siapakah yang Sarimah akan pilih? "Saya ingin jadi Presiden Amerika Syarikat. Kenapa? Agar saya boleh tampar muka diri saya sendiri dan berkata, 'Oi... Ingat main Cowboys and Red Indians ker? Suka hati nak berperang'. Selepas itu, tampar balik muka," kata Sarimah. Iskh... dahsyat. Dalam masa 10 tahun dari sekarang, di manakah Sarimah mungkin berada? "Saya dapat melihat diri saya di gym melakukan banyak lagi senaman dan keluarkan peluh banyak-banyak! Selain daripada itu, saya ingin menolong orang dengan masalah mereka sambil dibayar dengan lumayan. Dan mungkin masih menghibur dan membuat orang ketawa dengan celoteh saya ini," katanya. Kata-kata akhir sebelum berangkat ke Australia? " Tahun ini merupakan tahun yang tidak sibuk untuk diri saya. Saya amat merindukan suasana dunia hiburan dan amat berharap agar saya dapat berjumpa dengan semua peminat saya pada masa yang terdekat ini. Untuk pembaca mStar Online, banyakkan berbuat baik dan pandulah dengan cermat. Dan satu lagi, bersyukurlah dengan apa yang kita ada di negara kita ini.Kita dianggap bertuah jika hendak dibandingkan dengan negara yang lain," katanya mengakhiri temuramah bersama mStar Online. |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES
|
|||||||