HIBURAN

Ulasan filem The Chronicles of Narnia

Pelakon: Georgie Henley, Skandar Keynes, William Moseley, Anna Popplewell, Tilda Swinton, James McAvoy, Jim Broadbent, Liam Neeson (voice)
Pengarah: Andrew Adamson
Penerbit: Mark Johnson, Philip Steuer
Lakon layar: Ann Peacock, Andrew Adamson, Christopher Markus dan Stephen McFeely, diadaptasi dari sebuah buku karya C.S. Lewis
Sinematografi: Donald McAlpine
Muzik: Harry Gregson-Williams
Pengedar: Buena Vista International
Laman web rasmi: www.disney.go.com/disneypictures/narnia

Setelah kejayaan trilogi The Lord of the Rings dan siri Harry Potter, Hollywood hanya menanti kesempatan untuk membawa ciptaan sastera klasik lain ke layar perak. Kali ini, The Chronicles of Narnia: The Lion, The Witch and The Wardrobe karya C.S. Lewis.

Sewaktu Perang Dunia Kedua berada di kemuncaknya, Peter (William Moseley), Susan (Anna Popplewell), Edmund (Skandar Keynes) dan Lucy (Georgie Henley) berpindah ke rumah seorang profesor kenalan ibu mereka yang terletak jauh di pedalaman. Suasana bosan yang menyelubungi tempat tinggal tersebut bertukar apabila Lucy menemui sebuah almari pakaian yang membawanya terus ke sebuah dunia magis bernama Narnia; alam yang haiwannya berbicara seperti manusia dan sekalian tanahnya dirajai oleh seekor singa bernama Aslan. Adik-beradik yang lain tidak mempercayai kata-kata Lucy pada awalnya namun tidak lama sesudah itu, mereka sendiri melangkah ke dunia tersebut dan mendapati ia tidaklah seindah yang disangka. Angkara seorang nenek kebayan, seantero alam diselubungi musim sejuk yang tidak berpenghujung dan sesiapa yang melanggar perintahnya akan disumpah menjadi batu dalam setagal cuma. Keempat-empat adik-beradik tersebut kemudian bersatu dengan Aslan serta para pengikutnya untuk menghapuskan ahli sihir wanita itu dari muka bumi Narnia.

Narnia adalah sebuah filem yang bermasalah. Sekilas, ia kelihatan segar kerana para pembikinnya mengambil tajuk sastera lain untuk difilemkan dari menciplak terus premis francais fantasi yang telah pun popular sebelum ini. Begitupun, ia tetap kelihatan seperti material yang telah digunakan berulang-ulang kali. Pengarah Narnia, Andrew Adamson sudah terlazim dengan genre dongeng selepas mencapai kejayaan besar melalui filem-filem Shrek terbitan Dreamworks; dua filem yang sebaliknya 'mempermainkan' rona genre tersebut. Dengan melangkah buat pertama ke filem bukan animasi, beliau berdepan dengan tugas yang sukar dan nawaitu Adamson untuk setia kepada tema asal seharusnya dipuji. Pun begitu, meskipun sekalian hitam putih watak-watak berjaya dipaparkan, kekelabuan yang wujud di tengah-tengah karakteristik nyata telah diketepikan.

Terdapat tema yang umum berjalan pada naratif ketujuh-tujuh siri buku Lewis ini: Perjuangan di antara kebaikan dan kejahatan. Walaupun hanyalah sebuah dongeng kanak-kanak, 'The Chronicles of Narnia' mempunyai ramuan yang cukup untuk membekas di minda golongan dewasa. Keempat-empat pelakon kanak-kanak tersebut tidak dipilih dengan baik namun masih enak untuk penghadaman mata. Walau bagaimanapun, dengan pelbagai watak dan plot yang datang dan pergi begitu sahaja, mereka seolah-olah tidak diberi peluang untuk menjayakan karakter tersebut dengan baik sekali gus meninggalkan kesan kepada para audiens. Akhirnya, persembahan mereka hanya kelihatan biasa.

Filem ini cukup setia kepada material asalnya (dengan penambahan sedikit sebanyak adegan aksi di sana sini) namun begitu, ia juga boleh dikatakan 'terlampau' setia. Terdapat beberapa segmen cerita yang boleh dipendekkan dan terdapat juga yang boleh dipanjangkan untuk memberi ruang terhadap pembangunan watak agar mudah diterima penonton. Seperti tuturannya, kanak-kanak tersebut kelihatan terlalu cepat berubah menjadi seperti golongan dewasa dalam hal membuat keputusan. Segala tindakan mereka barangkali akan menjadi lebih bermakna sekiranya kita diberi masa untuk melihat mereka berkembang.

Kemungkinan besar, satu-satunya lakonan yang wajar diberi pengiktirafan di sini ialah Tilda Swinton sebagai White Witch Jadis. Swinton yang terkenal dengan penampilan yang acap kali kelihatan pucat dan tenang amat bijak menimbulkan roman muka di sini dengan gaya minimal namun cukup mengasyikkan. Kekuasaan Jadis untuk menukar sebarang makhluk kepada batu hanya boleh dipintas oleh kekerasan hatinya sendiri untuk berlembut dan meskipun Swinton hanya keluar dalam beberapa adegan, kehadiran masih tetap boleh dirasai sewaktu beliau berada di luar skrin. Setelah melihat kemunculannya buat beberapa ketika, kita faham mengapa Edmund begitu mudah termakan sihirnya.

Terdapat beberapa suara yang lazim didengari dari kalangan haiwan tersebut; baik daripada sang musang sehinggalah kepada sang singa. Liam Neeson mengambil alih tugas Brian Cox sebagai suara Aslan yang terpaksa berlalu kerana masalah kreativiti dengan Adamson. Walaupun suara Neeson enak ditelan gegendang dan para animator pula telah menanam ekspresi dengan cukup meyakinkan pada rautnya, watak singa tersebut masih tetap kelihatan biasa. Di dalam novel Narnia, kita boleh lihat keagaman Aslan jelas sekali terletak pada fizikal dan bukan suara. Meskipun vokal Neeson berjaya menarik perhatian namun melihatnya memegang watak mentor kelihatan sudah agak memualkan. Sekiranya mata tertutup biarpun sebentar, kita boleh membayangkan Neeson sedang memberi tunjuk ajar kepada Orlando Bloom (seperti dalam Kingdom of Heaven), Bruce Wayne (Batman Begins) dan Obi-Wan Kenobi (Star Wars).

Para penonton yang keluar menonton The Lion, the Witch and the Wardrobe pastinya mengharapkan filem ini mempunyai skop epik yang sama besarnya dengan filem-filem The Lord of the Rings arahan Peter Jackson. Kedua-dua filem ini bukan sahaja mempunyai tema yang sama; kuasa baik menentang kejahatan, malah Lewis dan J.R.R. Tolkien juga merupakan sahabat baik dan ahli sebuah kumpulan penulis bernama Inklings. Begitupun, sekiranya anda tertarik dengan promosi Narnia yang mempamerkan peperangan rakus antara dua pihak, anda pasti akan kecewa dengan perlaksanaannya sebaik sahaja keluar dari panggung kelak. Jauh sekali mencapai tahap dramatik seperti yang Tolkien tuliskan, peperangan yang tercetus dalam Narnia langsung tidak mempunyai sebarang baur-baur realisme mahupun memberi kesan yang mendalam.

Paling mengecewakan apabila kita membaca kredit dan mendapat tahu bahawa filem ini mendapat bantuan daripada syarikat-syarikat gergasi kesan khas seperti Studio Rhythm & Hues, Kumpulan KNB EFX, Sony Pictures Imageworks, Industrial Light & Magic milik George Lucas dan Weta Workshop milik Peter Jackson untuk menuang aspek keanggunan ke dalam filem ini. Segala wang yang dilabur jelas sekali tidak kelihatan di skrin.

Satu-satunya si polan yang wajar disabitkan kesalahan di sini adalah si tuan pengarah sendiri: Andrew Adamson. Kesalahan terbesar yang dilakukan oleh beliau ialah cubaan meniru gaya sinematik yang Peter Jackson lakukan di dalam karyanya. Jackson menggunakan kamera aerial dan udara untuk menerangkan geografi Middle-Earth kepada audiens selain memahat ciri-ciri drama di dalam; Adamson sebaliknya menggunakan teknik-teknik tersebut untuk membuatkan ia kelihatan seperti sebuah iklan yang panjang. Populasi Narnia yang terdiri dari golongan helang, dwarf, makhluk bota, minotaur, minoboar, serigala, satyr dan goblin dihidupkan dengan teliti; sayangnya, segalanya hilang ditelan dek kebiasaan cerita ini.

Dalam tempoh dua jam setengah berlalu, kita dapat merasakan setiap saat berlalu bagaikan sehari. Kebarangkalian, terdapat beberapa aspek (seperti pembangunan watak) disimpan untuk sambungan episod-episod akan datang yang pastinya akan difilemkan tidak lama lagi. Walaupun kelihatan cukup gah pada poster dan iklan, 'The Lion, the Witch and the Wardrobe' adalah sebuah contoh kegagalan mengadaptasi karya sastera ke layar perak - kegagalan yang jelas sekali menjadikan ia sebuah filem biasa.

Rating: C-

Selain dari menjadi penonton pasif, Nazim Masnawi gemar mensistesis dan merungkai aspek-aspek dalam filem kegemarannya.

Beliau kini bertugas sebagai pembaca pruf di sebuah penerbitan komik di Kuala Lumpur.

Ulasannya yang lain boleh dibaca di www.romankodian.blogspot.com

  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel