|
|
HIBURAN
Rabu Januari 10, 2007
Sikap penganjur punca konsert Samsons gagal?
Penganjuran serta sikap profesional pihak penganjur, Duago International Group yang membawa kumpulan jazz/rock tersohor dari Indonesia bagaikan punca kepada semua kelam-kabut yang dihadapi sepanjang 24 jam kumpulan tersebut berada di Malaysia. Sebelum kemuncak konsert pada 6 Januari lalu, pihak penganjur bagaikan tenggelam timbul dan ini menyukarkan tugas pihak wartawan yang mahu membuat liputan konsert tersebut. Kesemua informasi mengenai jadual konsert Samson hanya didapati sehari sebelum ketibaan mereka di Malaysia. Namun apa yang dirasa tidak profesional ialah menjelang hari konsert tersebut yang bertempat di The Loft, pihak media hanya diberi lima minit sahaja untuk menemubual Samsons yang terdiri daripada Bams (vokal), Erik (gitar), Aldri (bass) dan Irfan (gitar). Manakala Chandra (drum) pula tidak dapat berkunjung ke Kuala Lumpur atas sebab-sebab tertentu.
Jelas pada raut wajah menunjukkan mereka penat gara-gara kesibukan jadual sejak tiba pada awal pagi. "Kami tidak apa-apa. Walaupun jadual kami packed banget namun kami berjanji untuk memberi persembahan yang terbaik untuk peminat-peminat kami di Malaysia," begitulah kata-kata Bams apabila ditanya jika keupayaan mereka untuk memberi persembahan yang bertenaga di sebalik muka yang lesu pada malam tersebut. Sekali lagi pihak penganjur membuat kejutan kepada pihak media apabila gelaran konsert itu bagaikan tipu helah untuk mendapatkan para penonton untuk membeli tiket yang mahal yakni RM42. Samsons yang hanya mempunyai sebuah album sahaja iaitu 'Kenangan Terindah' dikatakan akan mendendangkan sepuluh buah lagu pada malam tersebut. "Ini merupakan sebuah konsert bukan showcase semata-mata. Walaupun mereka hanya mempunyai sebuah album sahaja, Samsons akan mendendangkan beberapa buah lagu baru dari album kedua mereka" kata Amin Jamadi, Ketua Eksekutif Duago apabila pihak waratwan membidas penggunaan 'konsert' untuk sebuah persembahan yang hanya berlangsung kira-kira satu jam dengan dendangan sepuluh buah lagu sahaja. Konsert Samsons dilanda hujan Konsert yang bermula satu jam lambat daripada jadual diserikan dengan persembahan daripada pendatang baru dunia hiburan tempatan, Sofaz. Mereka menyanyikan beberapa buah lagu seperti Janjiku dan Cintaiku.
Sejurus sahaja persembahan Sofaz, kumpulan underground popular, Gerhana Ska Cinta pula diberi mandat untuk menghiburkan kira-kira 3,000 orang penonton yang hadir pada malam tersebut. Namun, apa yang memalukan adalah pemilihan lagu kumpulan itu yang menyanyikan lagu-lagu Indonesia seperti Madu dan Racun serta Singkong dan Keju. Seperti yang dijangkakan, band-band pembuka tirai konsert tersebut bagaikan ditugaskan untuk memperlengah-lengahkan masa untuk memberi ruang kepada Samsons berehat.
Ini terbukti ketika persembahan OAG di mana vokalisnya, Radhi terlepas cakap bahawa mereka diamanahkan untuk 'membazir' masa yang ada sementara menanti kehadiran Samsons di pentas utama tersebut. Hanya pada jam 9.50 malam, kumpulan Samsons muncul di hadapan ribuan peminat mereka yang bagaikan tidak sabar menantikan kehadiran mereka. Kumpulan yang berasal dari Jakarta itu memulakan persembahan mereka dengan beberapa buah lagu rancak seperti Kehadiranmu, Penghujung Muda dan Akhir Rasamu. Ketika menyanyikan lagu popular mereka yakni Bukan Diriku, para penonton bagaikan 'hanyut' dengan vokal Bams serta terikut-ikut menyanyikan lirik lagu tersebut. Kesyhaduan lagu itu turut mengundang hujan yang turun secara renyai-renyai. Walaubagaimanapun, semangat kesetiaan yang ada pada peminat-peminat Samsons membuatkan mereka tidak berganjak sedikitpun daripada kedudukan mereka. Bams selaku vokalis utama band tersebut mengembalikan suasana dengan lebih energetik dengan mendendangkan yakni Dengan Nafasmu dan ini diikuti dengan lagu yang membawa sukses untuk mereka di Indonesia serta Malaysia iaitu, Kenangan Terindah. Namun, malang tidak berbau. Hujan yang turun secara renyai-renyai bertukar menjadi lebat. Ini membuatkan para penonton bertempiaran lari untuk mencari tempat berteduh. Ketika mendendangkan lagu 'Naluri Lelaki', hanya segelintir peminat yang sudi berdiri di dalam hujan untuk melihat Samsons yang semakin tidak bertenaga. Dengan hanya menyanyikan sembilan buah lagu dalam masa kira-kira 45 minit, Samsons mengambil keputusan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada saki-baki penonton yang ada di The Loft. Perancangan yang dilakukan oleh Duago bagaikan tidak rapi serta menunjukkan sikap tidak profesionalisma mereka untuk membawa artis luar ke dalam negara sendiri. Terdapat banyak kesilapan daripada segi audio seperti kerosakan mikrofon serta bunyi yang bercampur aduk ketika persembahan Sofaz dan Gerhana Ska Cinta . Pemilihan tempat konsert juga antara faktor ke arah kegagalan konsert sulung Samsons. Lokasi yang dikatakan strategik itu tidak mempunyai sebarang bumbung dan gagal melindungi ribuan penonton yang hadir daripada hujan lebat. |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES |