HIBURAN

Helmi Gimmick cuba nasib jadi "Pak Lawak"


Raja Lawak, yang telah memulakan siaran pengenalannya pada 23 Disember lalu akan menyaksikan 14 finalis berentap antara satu sama lain bagi merebut gelaran Raja Lawak Astro
(Foto The Star)

Bermula 20 Januari ini, sebuah lagi program baru berbentuk reality show yang menampilkan pencarian bakat lawak di kalangan rakyat Malaysia akan menemui penonton-penonton di Saluran Astro Ria.

Raja Lawak, yang telah memulakan siaran pengenalannya pada 23 Disember lalu akan menyaksikan 14 finalis berentap antara satu sama lain bagi merebut gelaran Raja Lawak Astro, selain meraih hadiah lumayan lain berupa wang tunai RM20,000 dan sebuah kereta TD 2000 bernilai RM145,311.

Menurut Penerbit program Michael Christian Simon, idea untuk menghasilkan program ini tercetus setelah menyaksikan ketandusan bakat-bakat lawak di negara ini dan justeru itu, Astro menyediakan platform untuk mengenengahkan bakat-bakat baru untuk menjadi pelapis di dalam bidang komedi ini.

"Sambutan yang diterima pada sesi ujibakat yang telah dijalankan dari 9 hingga 23 Disember lalu di tiga lokasi iaitu Johor Bahru, Pulau Pinang dan Selangor memang amat menggalakkan.

"Malah, kita ada juga menerima penyertaan daripada kaum wanita walaupun peratusannya hanya lebih kurang 30 peratus. Tetapi, nampaknya kesemua 14 finalis yang mara adalah lelaki kerana kita menilai dari segi bakat mereka.

"Kami yakin, dengan bimbingan dan tunjuk ajar yang bakal diberikan nanti, mereka mampu menjadi pelawak yang hebat seiring dengan senior-senior di dalam bidang ini," ujarnya pada sidang media program realiti itu, di Menara KL baru-baru ini.


Seperti mana Akademi Fantasia, setiap aktiviti dan perlakuan peserta di Akademi itu akan dirakam oleh kamera di mana penonton dapat mengikuti gelagat dan rutin harian para peserta sewaktu menjalani latihan melalui Ceritera Raja Lawak Astro
(Foto The Star)

Menariknya, selain menggunakan sistem undian SMS untuk menentukan juara, format program ini juga menyerupai konsep program realiti popular, Akademi Fantasia di mana para peserta akan menerima bimbingan dan latihan daripada tenaga-tenaga profesional di Akademi khas, yang dikenali sebagai Akademi Raja Lawak Astro bertempat di Shah Alam.

Tenaga pengajar program ini yang dikenali dengan gelaran Otai Lawak akan diketuai oleh pelawak terkenal, AR Badul dan dibantu oleh tiga lagi pelawak popular iaitu Datuk Jamali Shadat, Sabri Yunus dan Jalil Hamid. Manakala Sharifah Shahirah akan bertindak sebagai hos program.

"Gandingan empat Otai Lawak dari pelbagai genre dan generasi ini akan memperkukuhkan lagi usaha kita untuk mengangkat mutu lawak Malaysia ke satu peringkat yang lebih tinggi.

"Ini kerana setiap Otai Lawak ini memiliki pengalaman luas dalam bidang ini. Ada yang boleh berlawak secara berseorangan, penguasaan pentas dan teater serta terlibat di dalam pengarahan filem komedi," kata Pengurus saluran Astro Ria Khairul Mizan.

Finalis-finalis program ini adalah Iskandarshah Hashim (Angah, Johor Bahru); Suhaidil Azri Samsudin (Cicik, Klang); Harun Tahir (Helmi, Nilai); Shahril Fitri Samsudin (Idan, Klang); Mohamad Yazid Lim (Johan, Ampang); Razali Yusuff (Mail, Kota Bharu) dan Mohd Rahmat Saidin (Mat, Kangar).

Turut terpilih adalah Haszmi Abd Aziz (Mie, Petaling Jaya); Azmi Mamat (Pokde, Pasir Panjang); Zamatul Amri Zakaria (Tauke, Johor Bahru); Hanizar Abdul Hamid (Tokmoh, Pulau Pinang); Yussry Edoo (Yus, Alor Setar); Razali Ridzuan (Zali, Pulau Pinang) dan Mohd Razizan Abd Razak (Zizan, Kuala Terengganu).

Bermula 14 Januari lalu, kelas latihan diadakan tiga hari seminggu di Akademi selama lapan minggu.

Seperti mana Akademi Fantasia, setiap aktiviti dan perlakuan peserta di Akademi itu akan dirakam oleh kamera di mana penonton dapat mengikuti gelagat dan rutin harian para peserta sewaktu menjalani latihan melalui Ceritera Raja Lawak Astro yang akan disiarkan mulai 17 Januari ini, setiap Rabu hingga Jumaat pada jam 9 malam.

Setiap peserta akan diberi 'tugasan' setiap minggu berdasarkan tema untuk dipersembahkan di Gelanggang Raja Lawak Astro, program mingguan yang bakal disiarkan secara langsung dari Studio rakaman Astro di Wisma Ali Bawal, Petaling Jaya bermula Sabtu ini pada pukul 9.30 malam.

Setiap minggu, peserta yang menerima undian terendah akan disingkirkan.

Penyertaan Helmi Gimmick dipersoalkan

Di antara 14 finalis Raja Lawak, turut terpilih adalah pelawak yang sememangnya tidak asing lagi di negara ini, Helmi Gimmick.

Dan sudah tentu, jika penyertaannya membabitkan individu yang sudah mempunyai 'nama' di dalam industri, ia pasti akan dipersoalkan seperti mana yang terjadi pada penyanyi Dayang Nurfaizah ketika menyertai program realiti, One In A Million.

Helmi juga tidak terlepas daripada turut dipersoalkan apabila penyertaannya dilihat tidak adil kepada peserta-peserta lain yang tidak mempunyai sebarang pengalaman di dalam bidang ini, sedangkan Helmi sebelum ini sudah lebih 20 tahun bergiat aktif sebagai pelawak.

Mengulas hal ini, Khairul berkata, pemilihan Helmi dibuat berdasarkan seperti mana penilaian dilakukan kepada peserta-peserta lain memandangkan penyertaan program ini terbuka kepada semua.

"Tidak timbul isu tidak adil atau sebagainya. Semua ini bergantung kepada undian penonton juga. Objektif kami adalah untuk memberi peluang kepada mereka yang ingin terus mengasah bakat untuk menjadi pelawak," katanya.

Ketua Otai Lawak, AR Badul juga turut menambah bahawa penyertaan dan kesanggupan Helmi untuk bersaing dengan 13 lagi peserta lain adalah satu cabaran yang perlu dihadapi olehnya dan tidak menjanjikan laluan mudah walaupun Helmi sudah terlebih dahulu mencipta nama sebagai pelawak.

"Kita memang ada memikirkan tentang perkara ini ketika hendak memilih dia. Tetapi, kita kena ingat susah untuk pelawak-pelawak kita diiktiraf.

"Saya suka dengan cara dia yang sanggup sertai program ini walaupun sudah terkenal. Lagipun, semua ini bergantung kepada SMS," ujarnya.

Dalam pada itu, Helmi yang ditemui pada sidang media yang sama menafikan penyertaannya akan menggugat peserta-peserta lain kerana motif utama dia menyertai Raja Lawak adalah untuk menimba pengalaman dan mempelajari lebih banyak mengenai bidang komedi ini.

"Saya akui, saya memang sudah lama menjadi pelawak, tetapi saya tidak dapat tempat yang sewajarnya. Amat sedikit peluang yang diberikan kepada saya, terutamanya untuk muncul di kaca televisyen.

"Sebab itu, saya nampak program ini mampu beri peluang kepada saya untuk pergi lebih jauh lagi di dalam bidang ini selain hanya bergiat aktif di hotel dan kelab-kelab," ujarnya.

Kata Helmi lagi, dia tidak kisah akan kekalahan kerana yang penting, dia telah memberi peluang kepada dirinya sendiri.

"Saya tidak tahu bagaimana penerimaan ramai tentang penyertaan saya ini dan saya sendiri tidak anggap penyertaan saya ini seperti satu 'perjudian'. Menang atau kalah, terserahlah. Paling penting, saya sudah ambil peluang belajar secara profesional," kata Helmi.

Komen finalis:

Zizan, 22

"Sebelum ini, hanya berlawak dengan rakan-rakan saja. Jadi, rasanya sudah tiba masa untuk saya ketengahkan bakat melawak di peringkat yang lebih tinggi dan kalau boleh biarlah lawak-lawak saya tu yang berilmiah.

"Tentang penyertaan Helmi, saya akui ada juga rasa tergugat. Tetapi, terserahlah pada penonton."

Angah, 28

"Saya nak cuba tunjukkan bakat komedi yang ada. Insyaallah dengan adanya tenaga pengajar yang berpengalaman, saya harap saya mampu lakukan."

Mat, 22

"Sebelum ini saya banyak terlibat di dalam teater di kolej. Raja Lawak ni adalah platform yang baik untuk saya kembangkan bukan saja bakat berlawak, tetapi dari segi lakonan juga."


  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel