|
|
HIBURAN
Isnin Januari 22, 2007
'Jangan Pandang Belakang' bukan untuk orang lemah semangat
Sejak kebelakangan ini, penulis sering mendapat jemputan untuk menyaksikan filem berbentuk horror. Filem horror diumpamakan sebagai satu trend terkini dan tidak sah jika mana-mana pawagam tidak menayangkan filem-filem seram. Begitu juga dengan syarikat kepunyaan David Teo yakni Metrowealth Movie Production yang kini tampil dengan 'Jangan Pandang Belakang' sebuah filem yang pernah mencetus kontroversi gara-gara kematian stuntmannya yang meninggal dunia di tempat lokasi penggambaran. Filem ini turut menampilkan pelakon muda Pierre Andre yang juga bertindak sebagai penulis skrip dan hero filem ini. Jangan Pandang Belakang mengisahkan seorang pemuda bernama Darma (Pierre Andre) yang cuba mencari punca kematian tunangnya yang bernama Rose (Intan Ladyana). Tunangnya itu didapati mati secara tiba-tiba tanpa sebarang sebab atau petanda kenapa dia pergi dengan begitu mengejut. Darma mengambil keputusan untuk menziarahi rumah arwah tunangnya bagi menyiasat punca kematiannya itu. Bertemankan saudara kembar Rose iaitu Seri (Intan Ladyana), mereka ke rumah Rose. Ketika mengeledah rumah Rose, Darma menjumpai sebiji botol misteri. Setelah membawa pulang botol misteri itu, beberapa perkara pelik berlaku terhadap Darma seperti melihat jelmaan hantu ke mana sahaja dia pergi serta mendengar suara-suara yang pelik di sekitar rumahnya. Daripada situlah, Darma mengesyaki bahawa botol tersebut merupakan punca kekacauan serta mengakibatkan kematian tunang tersayang.
Lantas, Darma mengambil keputusan utnuk kembali ke kampung halaman untuk meminta bantuan daripada Mak Lang (Khatijah Tan) untuk mengubati dirinya. Namun, keadaan bertambah teruk bila Darma pula dirasuki hantu tersebut. Apabila mengetahui bahawa anak buahnya itu dirasuki hantu , Mak Lang terus memanggil uztaz di kampung tersebut untuk meyembuhkan keadaan Darma. Rupa-rupanya hantu itu merupakan hantu yang diwarisi keluarga Darma sejak turun temurun lagi dan telah membunuh arwah datuk Darma. Setelah kembali ke Kuala Lumpur, Darma yang yakin dirinya telah sembuh. Namun, dia sekali lagi diganggu oleh jelmaan yang sama. Lantas, Seri mengambil keputusan untuk membawa Darma kembali ke kampung untuk berubat untuk kali yang kedua. Akhirnya, Uztaz serta orang-orang kampung berjaya menghalang percubaan hantu tersebut daripada membunuh Darma serta menanamkannya dalam sebatang jagung di kawasan rumah Mak Lang sebagai penunggu. Di manakah kelemahan atau kekuatan serta keunikan filem Jangan Pandang Belakang? Bukan niat mahu mencari kesalahan namun ianya perlu untuk pihak produksi meningkatkan lagi kualiti pada hari-hari yang akan datang.
Sekali lagi Intan Ladyana diberi tanggungjawab yang besar untuk menggalas watak utama bukan sahaja untuk satu tetapi dua watak yang berbeza dalam filem ini. Namun, Intan gagal kerana dia kelihatan kaku dan sukar untuk menyampaikan dialog secara spontan dan natural. Gadis yang berusia 24 tahun ini bagaikan sedang membaca skrip dan nampak tidak natural ketika membawa kedua watak ini. Walaupun watak-watak yang dipegang sepatutnya berbeda antara satu dengan yang lain, namun Intan gagal menunjukkan perbezaan sikap Rose (periang dan manja) dan Seri (tegas serta sukar berkomunikasi). Kedua-duanya sama sahaja! Penulis juga pasrah melihat hantu-hantu yang dipaparkan oleh filem Asia, semuanya sama sahaja. Jika dulu penulis pernah memberi komen tentang pergerakan pontinanak filem Kuntilanak, kini sekali lagi terpaksa menegur 'pergerakkan popular ala Ju On ' dalam hantu jelmaan filem Jangan Pandang Belakang. Agak kecewa sedikit melihat Hantu Rayanya merangkak-rangkak ketika menghampiri watak Darma pada penghujung filem ini. Agak cliche, bukan?
Namun kekaguman tetap berbunga di hati melihat transformasi dan kemajuan yang ditonjolkan oleh filem-filem seram di Malaysia. Percubaan pertama filem berbentuk seram daripada Ahmad Idham ini sebenarnya mempunyai banyak unsur-unsur positif. Penataan bunyi yang amat baik berjaya mengejutkan penulis sepanjang filem ini ditayangkan. Hampir setiap minit penulis mendapat 'kejutan' kerana audio yang cukup berkesan dan juga kelibat jelmaan Hantu Raya menerusi filem ini. Penulis turut kagum dengan paparan hantu yang seakan-akan benar dan realistik. Walaupun ada kelemahan daripada aspek make up dan kostum, namun ianya satu percubaan yang baik. Daripada segi lakonan pula, Pierre serta beberapa pelakon pembantu seperti ibunya, Khatijah Tan berjaya menjiwai watak yang diberikan. Di manakah tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi - begitulah hebatnya lakonana kedua beranak ini.
Malah, watak Opah yang dimainkan oleh pelakon veteran Ruminah Sidek amat mengkagumkan di mana dia diberi peranan sebagai seorang nenek yang nyanyok serta mangsa rasukan. Ahmad Idham memang bijak mengekspolitasikan sekumpulan pelakon yang berbakat. Pada keseluruhan, filem Jangan Pandang Belakang mampu menyaingi filem-filem seram yang sama genre dengannya terutama dari negara-negara jiran kita. Walaupun terdapat beberapa kelemahan yang harus diperbaiki, percubaan berani Ahmad Idham ini harus diberi pujian. Sebagai pesanan, "Jangan berani menonton filem ini kalau anda lemah semangat!" |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES
|
|||||||