|
|
HIBURAN
Selasa Januari 09, 2007
Azam harijadi Haziq
Pada awal pembabitan Haziq atau nama sebenarnya Hazwan Haziq bin Rosebi menerusi program realiti popular Akademi Fantasia 4 bagaikan hambar gara-gara imej serta genre irama Melayu Asli yang dikatakan kurang popular di kalangan penonton program tersebut. Setahun selepas bakatnya diasah menerusi rancangan itu, Haziq ternyata banyak mengalami arus perubahan daripada segi kemantapan vokal serta gaya penampilannya. Irama Malaysia yang dikatakan sebati dengan jiwa anak kelahiran negeri Johor ini tetap dikekalkan sebagai trademark untuk Haziq.
Ketika menghadiri majlis harijadinya bertempat di Hotel Grand Continentel baru-baru ini, Haziq tidak terputus-putus melafazkan rasa syukur terhadap pencapaiannya menerusi bidang hiburan walaupun dirinya masih setahun jagung. "Saya bertuah sangat kerana terdapat ramai yang menyokong kerjaya saya selama ini. "Apatah lagi keluarga saya yang tidak pernah luntur memberi sokongan moral dan emosi kepada saya," tegas anak muda yang meraikan harijadinya yang ke-19 pada 7hb Januari yang lalu. "Azam saya sempena harijadi saya pada tahun ini adalah untuk meningkatkan lagi usaha untuk memantapkan lagi kerjaya saya. "Selain daripada itu, saya turut bercita-cita untuk memartabatkan lagi irama Malaysia terutamanya irama asli di kalangan golongan remaja," ujarnya lagi mengenai azam untuk tahun 2007 ini. Sememangnya kejayaan Haziq bagaikan sesuatu yang tidak diduga, apatah lagi kini popularitinya memintas pemenang Akademi Fantasia 4, yakni Faizal. "Ini semua merupakan rezeki masing-masing. Jadi, tidak adil untuk ditafsirkan bahawa saya lebih popular daripada Faizal. "Mungkin saya mempunyai show yang diberi banyak publisiti jika dibandingkan dengan Faizal. Malah, Faizal kini giat menjalani sesi rakaman untuk album sulungnya nanti," ujar Haziq yang pernah dikaitkan menjalani hubungan romantis bersama-sama bekas pelajar AF4 dan pelakon Astana Idaman , Leez.
Mahu mencari syarikat rakaman untuk mengedarkan album Bagaikan satu trend untuk pelajar-pelajar Akademi Fantasia yang kini seringkali mengambil syarikat rakaman luar untuk membuat album mereka. Antaranya seperti Velvet yang kini bernaung di bawah Frimzz Records dan Adam AF2 yang sudahpun merakamkan album bersama-sama KRU Records. "Ada beberapa buah syarikat yang sudahpun menawarkan saya untuk merakamkan album. " Tetapi saya harus meneliti pilihan-pilihan yang ada agar saya dapat mencari syarikat yang baik serta mampu untuk mempertengahkan genre irama asli sebagai konsep utama album pertama saya nanti," ujar Haziq mengani rancanganya untuk album studio pertama. Baginya, langkah ini merupakan langkah yang penting untuk memastikan album dikeluarkan tepat pada waktunya terutama ketika popularitinya yang kian meningkat. "Terdapat banyak pelajar AF yang menunggu giliran untuk merakamkan album. Oleh itu, saya mahu menggunakan masa yang ada untuk membuat album. Jangan sampai terlambat, cukuplah," tegas Haziq lagi. Haziq turut melafazkan keinginan untuk bekerjasama dengan beberapa komposer irama Malaysia yang popular seperti Pak Ngah.
Pada majlis sambutan harijadinya, beberapa sahabat dari AF4 seperti Farhan, Nora, Karen dan Diddy turut hadir untuk memberi sokongan terhadap Haziq. Malah, cikgu-cikgu seperti Fauziah Nawi dan Dr Fazley dan COO Maestro, Freddie Fernandez turut diundang sebagai tanda berterima kasih atas didikan serta bimbingan mereka. Haziq turut membuat persembahan untuk meraikan kedatangan keluarga, sahabat-sahabat serta peminat-peminatnya. Antara lagu yang dibawanya adalah Rebutan Acheh dan Tak Seindah Wajah. Majlis yang dihadiri oleh puluhan ahli-ahli Haziq FC turut menyaksikan pelancaran laman web, www.haziq.net.my pada malam tersebut. Haziq FC yang bermula dengan kira-kira empat orang ahli sahaja kini mempunyai seramai 300 orang ahli berdaftar. Haziq FC turut mengadakan kutipan derma di kalangan mereka yang menghadiri majlis tersebut untuk diberikan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri Johor. |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES
|
|||||||