|
|
HIBURAN
Rabu Oktober 31, 2007
Sari tak kekok bertudung dalam Kisah Kaisara
TUAH memenangi pertandingan gadis penghias muka depan atau cover girl untuk sebuah majalah kira-kira dua tahun lalu nampaknya berterusan buat Sari Yanti Mohamad Nazari atau lebih mesra dengan panggilan Sari. Bukan saja dia semakin ligat menerima tawaran untuk berlakon iklan, malah gadis berusia 23 tahun ini juga tidak menyangka rezekinya di dalam bidang seni terus bercambah apabila kini dia turut berpeluang menjadi seorang pelakon. Percubaan pertamanya adalah di dalam filem Impak Maksima. Biarpun hanya watak kecil yang diberikan kepada Sari, namun pengalaman itu sudah cukup bermakna untuk dirinya memulakan kerjaya barunya ini. "Memang benar bila orang cakap menjadi model boleh dianggap stepping stone untuk seseorang itu pergi ke cabang seni lain. Saya akui perkara itu, tetapi bagi saya ia tidak semudah yang disangkakan.
"Pada awalnya, saya tidak pernah terfikir untuk serius sebagai pelakon kerana mula-mula tujuan saya adalah kerana sekadar mencuba. Lagipun, di dalam Impak Maksima, saya bawa watak kecil saja. "Peluang yang diberikan cukup saya hargai. Memang seronok dapat berlakon. "Walau bagaimanapun, saya tetap rasakan keutamaan saya ialah untuk tv commercial, sebab saya rasa jiwa saya lebih ke arah itu. "Tetapi, saya tetap akan terus berlakon drama atau filem jika ada tawaran daripada mana-mana pihak. "Cuma saya perlu belajar banyak perkara lagi untuk jadi pelakon yang berkaliber," kata Sari yang pernah muncul di dalam iklan Hotlink, KFC dan Sunsilk. Terbaru, gadis yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini diberi kepercayaan untuk menjadi tunggak utama drama bersiri terbaru, Kisah Kaisara, yang telah mula disiarkan di TV3 semalam. Kisah Kaisara yang ditaja oleh produk penjagaan dan kebersihan wanita, Kotex, ini memaparkan pelbagai episod dalam kehidupan seorang pelajar sekolah menengah dan dua sahabat karibnya dalam mengharungi liku-liku hidup dan suka duka dalam menangani masalah di sekolah, hubungan dengan remaja lelaki, ibu bapa dan pahit maung hidup sebagai remaja. Sebagai anak tunggal yang dibesarkan oleh bapa tunggal, Kaisara sering mendapati sukar untuk dirinya membincangkan isu-isu remaja dan wanita dengan ayahnya. Dia juga terpaksa menyembunyikan perasaannya terhadap seorang remaja kacak, yang kebetulan merupakan bekas teman lelaki sahabat karibnya sendiri. Selain Sari, drama terbitan Ace Motion ini membariskan bakat-bakat muda lain seperti Elliza AF3, Wan Sharmila, Nabila Nur Naquiyah dan Suhairil Sunari.
Turut menjayakan drama ini ialah aktor popular Norman Hakim yang membawa watak Hasnor, bapa kepada Kaisara. "Bila berpeluang sertai drama ini, saya semakin dapat rasa keseronokan jadi pelakon. "Selain pengalaman, dapat juga kenal dengan kawan-kawan baru. Malah kami juga cukup rapat walaupun di luar set," kata Sari. Bercerita dengan lebih lanjut tentang watak Kaisara yang dipegangnya itu, ujar Sari, dia tidak menghadapi banyak kesukaran untuk memegang peranan sebagai pelajar berusia 15 tahun, kerana dia banyak menggunakan pengalaman sendiri sebagai pelajar dulu. "Watak Kaisara ni seperti pelajar sekolah biasa, cumanya dia adalah seorang yang aktif berbanding dengan diri saya yang sebenar. "Dalam drama ini, Kaisara juga seorang yang bertudung. Perkara ini tidak jadi masalah buat saya kerana dulu waktu jadi pelajar pun saya bertudung kerana diwajibkan oleh pihak sekolah. "Malah, saya rasa kelainan drama ini juga adalah kerana ia mengangkat watak gadis remaja bertudung yang aktif, selain jalan ceritanya yang cukup menarik," kata graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan dari Universiti Tenaga Nasional ini. Ditanya sama ada pembabitannya di dalam Kisah Kaisara ini mampu melonjakkan namanya di dalam bidang ini, kata Sari, dia sendiri sukar meramalkan tentang penerimaan ramai terhadap dirinya. "Saya yakin drama ini boleh mendapat sambutan, tetapi untuk orang menerima saya, mungkin ia perlu ambil masa sebab saya masih sangat baru dalam bidang ini. "Tetapi, kalau betul watak Kaisara ini memang membantu saya diterima ramai, ia adalah satu bonus buat diri saya," katanya lagi. |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES |