HIBURAN

ERA sengaja pinggirkan lagu Ramlah Ram?

"Kami tidak pernah cakap tidak akan mainkan lagu tersebut. Ia masih di dalam penilaian kami," - itulah luahan Pengurus Rancangan Radio ERA Rostam Said ketika mengulas kenyataan oleh penyanyi cukup popular pada era 80an, Ramlah Ram yang kesal dengan keengganan stesen radio swasta itu memutarkan lagu terbarunya, Ketentuan.

Menurut Rostam, radio ERA mempunyai panduan penilaian tersendiri dan segala proses penilaian lagu adakalanya memang mengambil masa yang lama sebelum diputarkan di radio tersebut.

"Setiap lagu yang dihantar kepada kami memang akan lalui pelbagi proses. Ada yang lama. Ada juga pernah lagu yang kami putarkan empat bulan selepas radio lain mainkan dulu.

"Jangan buat andaian lagu itu tidak dimainkan di radio kami kerana sudah ada radio lain yang mainkan terlebih dahulu. Kami ada cara kami tersendiri, tapi bukan bermaksud kriteria penilaian kami terlalu ketat," kata Rostam.

Penyanyi tersebut melahirkan rasa kecewanya ekoran lagu tersebut sudah pun lama dimainkan di radio lain, tetapi tidak di radio ERA yang bagi Ramlah seolah-olah stesen tersebut sengaja meminggirkan lagu nyanyiannya itu.

Rostam nafi ERA sengaja tidak mahu mainkan lagu 'Ketentuan'

Ini kerana, jelas Ramlah, dia amat yakin Ketentuan mempunyai potensi cerah kerana selain mendapat sentuhan komposer yang hebat, lagu balada itu juga mempunyai elemen moden sesuai dengan citarasa masa kini yang mampu menarik perhatian pendengar.

"Perlu ingat, bukan semua lagu akan dimainkan di ERA. Kita ada target market tersendiri dan orang tidak boleh pertikaikan perkara ini.

"Tentang lagu terbaru Ramlah itu, memang ketika ini ia masih di dalam proses penilaian. Insya Allah, kita akan mainkan lagu itu cuma masanya kita tidak tahu bila.

"Saya sendiri tidak pernah cakap lagu itu tidak bermutu, 'kampung' atau sebagainya.

"Ramai juga penyanyi lain sebelum ini pernah buat kenyataan seperti itu, tapi beberapa bulan selepas itu kami mainkan juga lagu mereka," jelas Rostam.

Kata Rostam juga, tidak timbul isu berbaur peribadi atau 'tidak suka' pada penyanyi itu yang membuatkan lagu Ramlah masih lagi diperap di stesen tersebut sehingga kini.

"Ini tiada kena-mengena sama ada kami suka atau tidak pada penyanyi itu. Benda itu tidak pernah wujud ketika kami membuat penilaian setiap lagu yang kami akan putarkan.

"Kalau nak cakap sebab saya tidak suka artis tertentu, pasti sudah banyak lagu oleh artis-artis yang saya tidak 'suka' tidak akan diputarkan di ERA. Saya menjalankan tugas saya secara profesional.

"Kami di ERA sentiasa buat kajian untuk mengetahui lagu yang macam mana pendengar inginkan. Bukan kami suka-suka mainkan mana-mana lagu mengikut kepala sendiri. ERA ada sasaran pendengar tersendiri," kata Rostam lagi.

Mengulas jika perkara ini boleh menjejaskan reputasi ERA sebagai radio nombor satu di Malaysia, Rostam yakin ia tidak akan mencalarkan imej ERA kerana perkara seperti ini boleh diatasi dengan baik melalui perbincangan.

"Saya percaya apa yang saya buat. Kami sentiasa cuba untuk jadikan stesen radio kami yang terbaik. Yang penting, saya buat kerja saya secara profesional dan apa saja tanggapan orang, itu terserahlah kepada mereka," katanya.

  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel