|
|
HIBURAN
Jumaat Oktober 05, 2007
Artis berkempen sambil beramal di J.Co Donuts & Coffee
SUDAH tiba masanya untuk para artis sama-sama mengadakan kempen yang dapat meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya terhadap keselamatan kanak-kanak. 3 Oktober lalu, J.Co Donuts & Coffee dengan kerjasama radio Suria FM telah menganjurkan satu kutipan amal 'Allahyarham Nurin Jazlin dalam kenangan' bersama selebriti tempatan di kafe yang terletak di Pavillion Bukit Bintang itu.
Antara selebriti yang hadir adalah Adibah Noor, Cheryl Samad, Faizal Tahir, Nita Malaysian Idol 2, Ruffedge, Iwan Mentor, Urban Method, Nurfatimah dan penyampai Suria FM seperti DJ KC Ismail, DJ Akhtar, DJ Zhana, DJ Tuah, DJ Azreen, DJ Zaff dan DJ Myra. Turut kelihatan adalah Jazimin dan dua orang anaknya. Tujuan program tersebut diadakan bukan sahaja untuk beramal malah menyahut kempen 'Stop Child Sexual Abuse' selain mempromosikan kafe tersebut yang baru beroperasi pada 20 September lalu. "Nama J.Co Donuts & Coffee masih baru dalam pasaran Malaysia dan kebetulan kes penganiayaan terhadap Allahyarham Nurin Jazlin timbul.
"Jadi, sebab itu kami merancang untuk membuat promosi dan amal secara serentak. Setelah mendapat kerjasama dari pihak Suria FM, kami terus menjemput mereka untuk mengadakan program ini bersama-sama. "Kami membuat program ini selama sehari sahaja kerana masing-masing mempunyai komitmen lain dan menunjukkan sokongan kami kepada kempen tersebut yang memfokuskan kepada Allahyarham Nurin. "Sebanyak 20 peratus daripada hasil jualan bermula enam petang hingga sembilan malam ini akan disalurkan kepada keluarga Allahyarham Nurin," jelas Pengurus Promosi dan Hubungan Awam J.Co Donuts & Coffee, Fazil Tahir. Manakala Pengurus Program Suria FM, KC Ismail berkata mereka hanya menyokong kempen tersebut dengan meuar-uarkan kepada pendengar supaya datang membeli donut dan sebagainya di sini.
"Diharap supaya banyak lagi program amal seperti ini diteruskan di mana ramai yang prihatin dengan isu Allahyarham Nurin dan ramai yang akan membantu. Insya Allah kami akan buat lagi pada masa akan datang," ujar KC Ismail yang juga penyampai Suria FM bagi slot 'Suria Baik Banget'. Mengenai aktiviti Suria FM pada masa akan datang, mereka merancang untuk membuat pelancaran stesen radio yang beroperasi secara rasmi pada awal tahun lalu tidak lama lagi. "Lepas raya nanti kita akan buat pelancaran Suria FM buat pertama kali secara besar-besaran dan mengadakan konsert. Lagipun sebelum ni Suria FM belum buat pelancaran lagi. "Kami belum pasti lokasi pelancaran ni tetapi akan hebahkan kepada media selepas raya nanti," kata KC Ismail.
"Apa yang kita tak patut buat adalah tidak menyalahkan antara satu sama lain. Kita tidak patut menyalahkan ibu bapa Allahyarham Nurin, masyarakat, polis dan sebagainya. "Ibu bapa dan polis pun kena kerja. Masing-masing saling berkaitan. Jadi ibu bapa perlu menjaga anak-anak mereka dan masyarakat juga perlu mengambil tahu tentang sekeliling mereka," kata Adibah yang sememangnya terkenal dengan sikap keprihatinannya terhadap kanak-kanak. Buktinya, Adibah telah menyanyikan lagu 'Terlalu Istimewa' yang ditujukan khas buat Allahyarham Nurul Huda dan kini kepada Allahyarham Nurin. Manakala Cheryl pula menyokong program ini di samping mempromosikan J.Co Donuts & Coffee yang berasal dari Indonesia itu membina tapak baru di Malaysia. "Mereka bukan sahaja membangkitkan populariti kafe tetapi juga menunjukkan keprihatinan terhadap isu-isu sekeliling seperti yang berlaku kepada Allahyarham Nurin. "Bermakna mereka fokus kepada promosi dan dalam masa yang sama membantu orang lain," ulas Cheryl yang sibuk dengan pengambaran drama terbarunya bersama Fobia Production untuk siaran 8TV pada tahun hadapan. |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES |