|
|
HIBURAN
Isnin Oktober 08, 2007
Leya Hot FM bakal bergelar isteri Disember ini!
SUARA Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Yahya atau lebih dikenali sebagai Leya lebih kerap didengar di stesen radio swasta Hot FM dalam program 'Hot FM Jam' yang berkumandang di udara bermula jam 4 petang hingga 8 malam. Peluang dapat bertemu dengan kakak kepada pelakon terkenal yang mula 'menjual' namanya melalui filem 'Sepet' iaitu Sharifah Amani atau Nani ini digunakan untuk bertanyakan bilakah beliau akan menamatkan zaman bujangnya bersama tunang tersayang yang juga ahli kumpulan Pretty Ugly, Muhammad Ashraf.
"Setelah bertunang selama dua bulan, kami merancang untuk berkahwin pada Disember ini. Namun kata putus dari kedua belah pihak belum ditetapkan lagi," kata Leya ketika ditemui dalam majlis berbuka puasa di Restoran Puteri beberapa hari lalu. Restoran Puteri yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail itu dimiliki oleh pelakon Rubiah Suparman dan produser filem Habsah Hassan. Menyentuh tentang impian majlis perkahwinannya, pelakon watak Mak Inom dalam filem 'Mukhsin' ini merancang untuk merakam saat-saat manis itu dalam keadaan yang ringkas sahaja.
"Kami bercadang nak buat seringkas yang boleh kerana kedua-duanya gemar sesuatu yang ringkas. "Simple as possible, nice, comfortable and cozy wedding," ujar anak sulung kepada pelakon veteran Fatimah Abu Bakar ini. Menyentuh tentang suaranya yang mempunyai mirip suara milik penyampai Hot FM Fara Fauzana yang lebih popular dengan gelaran Fafau itu, Leya mengaku ada pendengar yang mengkritik suaranya semasa beliau mula mengendalikan radio yang 'lebih hangat daripada biasa' itu. "Masa mula-mula dulu ada yang cakap suara saya macam Fafau tetapi sebenarnya kami sangat berbeza. "Saya jenis DJ yang 'ting-tong ' dan hiper aktif sikit manakala suara Fafau sedikit macam 'mak cik-mak cik'. "Tapi sekarang saya rasa pendengar dah boleh banding antara kami berdua di mana kami berbeza dari segi latar belakang, pendekatan (approach) dan personaliti. Lagipun Hot FM mana mungkin dapat mengupah (hiring) orang yang sama," ulas penyampai yang berbintang Taurus ini. Selama beliau bergelar penyampai radio di bawah konglomerat gergasi Media Prima Sdn Bhd ini, pelbagai komen positif mahupun negatif yang diterimanya. "Alhamdulillah, mereka memberikan komen yang sangat menyokong dan membantu saya. "Saya akan abaikan sahaja komen yang berbaur negatif kerana bagi saya mereka ini mungkin dengkikan saya serta kurang mendapat kasih sayang. "Mungkin apa yang mereka inginkan sebelum ini tidak kesampaian dan jiwa dah jadi 'hitam'. Mereka tak dapat dan tak berani melakukan apa yang saya buat. "Sebenarnya mereka ini adalah golongan yang bencikan diri-sendiri. Namun, lebih banyak komen yang positif berbanding negatif. Jadi rasa sakit hati timbul sebab banyak yang positif dalam diri saya," jelas Leya yang turut dikecam kerana penampilannya. Menurut Leya, keluarga mereka akan merasa perabot baru pada hari raya nanti memandangkan sudah lapan tahun mereka tidak menukar perabot yang sedia ada. "Persediaan raya sederhana sahaja kerana kami tak beria-ia sangat membuat persiapan. Kuih raya pun beli dalam dua balang sahaja memandangkan kami tak berapa gemar makan kuih raya. "Cuma kami mungkin tukar perabot baru sebab dah lapan tahun guna sofa tu sahaja," ujar wanita yang menggemari muzik, buku, filem dan sukan air ini.
Selain mengendalikan radio Hot FM, Leya juga sedang mengacara program 'The Breakfast Show' yang disiarkan oleh NTV7 dari jam 8 hingga 10 pagi itu. "Rancangan ini sudah ke udara kalau tak silap saya sejak tiga bulan lalu dan Nazruddin Rahman, Daphne Iking serta Hansen Lee juga adalah penyampai dalam program tersebut. "Ia merupakan program bicarawara (talk show) yang akan menjemput tetamu membincangkan sesuatu isu dan menggunakan bahasa Inggeris," kata Leya. |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES
|
|||||||||||