HIBURAN

Jamal Abdillah gamit peminat dengan "Kembalilah"

BAGI penyanyi Jamal Abdillah yang senantiasa diselimuti kontroversi, nyanyian adalah sesuatu yang cukup dia minati. 

Menurut Jamal, dia menyanyi bukan sahaja disebabkan penonton malah komitmen yang diberikan.

"Juga untuk artis sendiri, pemuzik dan penganjur bagi menghasilkan sesuatu yang berkualiti bagi menunjukkan artis Malaysia setanding dengan artis luar," kata penyanyi Jamal Abdillah ketika sidang media "Malam 1001 Gemilang" di Telawi Street Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada malam 16 Disember nanti Jamal bersama penyanyi dan pelakon "Aduh Saliha" Asmawi Ani atau Mawi serta penyanyi dan komposer M.Nasir bakal menghiburkan penonton di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bersempena makan malam berkonsepkan "Arabic Nusantara" disamping membuat kebajikan.

Jamal bakal menunaikan Umrah buat kali kedua pada hujung bulan ini (Foto The Star oleh Azman Ghani)

"Saya merasa bangga dan merupakan satu penghargaan apabila dipanggil untuk menjayakan konsert bersama Mawi dan M.Nasir kerana dalam suasana sekarang yang dibanjiri oleh konsert artis luar, masih ada penganjur mengambil artis tempatan. Bagi saya mereka ini harus dipuji," ujar penyanyi yang popular dengan lagu "Kekasih Awal dan Akhir" ini.

Sutra D'Mega Event & Entertainment Sdn Bhd akan memberi sumbangan kepada dua badan kebajikan di Malaysia iaitu Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) dan Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia (YBKKM) hasil daripada penjualan meja yang telah dijual.

Pakej penjualan meja adalah satu meja untuk 10 orang berharga RM10,000 (pakej meja emas), RM5,000 (pakej meja perak) dan RM3,000 (pakej meja gangsa) manakala satu kerusi untuk pakej individu berharga RM300.

"Saya tak kisah berkongsi pentas dengan dua orang penyanyi popular tersebut asalkan konsert ini dapat kumpul peminat yang membesar dengan lagu-lagu saya dan M.Nasir.

"Saya menjangkakan penonton yang hadir pada malam itu terdiri daripada pemimpin, VIP termasuk mempunyai gelaran Datuk atau Tan Sri dan bukanlah daripada golongan mat rempit kerana saya rasa mereka tak mampu untuk membayar harga tiket ini. Tetamu yang hadir akan dapat apa yang mereka ingini dan terus membesar dengan muzik ini," jelas Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali.

Menurut Jamal, beliau menjanjikan kelainan bagi konsert ini berbanding konsert yang diadakan sebelum ini.

"Biasanya saya akan memilih lagu mengikut kehendak sendiri. Tapi kali ini saya akan mengikut kehendak peminat seperti mendendangkan lagu "Kembalilah" yang jarang saya nyanyikan dipentas.

"Lagu-lagu yang saya nyanyikan nanti akan disusun dalam irama Arab dan Hindustan," ulas penyanyi berusia 47 tahun ini.

Sebelum Jamal, Mawi dan M.Nasir dipertemukan di atas satu pentas, Jamal dijadualkan bertolak ke negara Timur Tengah.

"Saya akan ke Mesir untuk hiburkan penonton yang terdiri daripada pelajar di Cairo di

Jamal akan tampil dengan album terbaru pada bulan Februari
tahun depan

sana dengan anjuran Kementerian Penerangan pada 19 hingga 29 November ini. Selain itu kami akan membuat lawatan ke Arab Saudi.

"Antara yang akan mengikuti rombongan kami adalah pakar motivasi dan juga Yang di-Pertua Pengasih Mohd Yunus Pathi.

"Sudah diberi kesempatan ke sana, saya akan membuat umrah buat kali kedua. Apabila pulang dari umrah nanti saya berniat untuk mendapat jodoh yang betul dan lebih banyak  melakukan kebaikan.

"Jadi saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Penerangan kerana memberi peluang ini dan rasa terharu dengan sokongan serta keyakinan yang diberi kepada saya.

"Saya rasa sudah tiba masanya untuk saya memberi sokongan kepada diri-sendiri. Pertama kali saya rasa saya perlu menyayangi diri sendiri sebelum saya menyayangi orang lain.

"Banyak peristiwa lepas seperti kejadian dalam diri dan rumah tangga yang datang memberi kesedaran. Selepas ini saya tak perlu untuk berseronok dan berfoya-foya lagi. Kehidupan sekarang lebih bermakna dan saya sedar dengan diri saya. Saya rasa lebih bersemangat dan tidak berputus asa.

"Selebihnya terpulang kepada mereka untuk menjadikan ikhtibar. Kejadian lalu banyak memberi teladan dan saya boleh menerima hakikat ini," ulas Jamal.

Bermula bulan Februari tahun hadapan, Jamal bakal muncul dengan album terbarunya yang menampilkan dua buah lagu ciptaan Komposer terkenal Adnan Abu Hassan.

"Saya juga akan mencipta lima hingga enam buah lagu nanti. Saya tetap untuk mengekalkan irama pop walaupun saya ada membawakan lagu berentak balada dan etnik," akhiri penyanyi yang diberi jolokan Raja Pop Malaysia.

"Malam 1001 Gemilang" yang menampilkan M.Nasir, Mawi dan Jamal Abdillah bakal diadakan pada 16 Disember ini jam 8 hingga 10.30 malam di KLCC.

Sesiapa yang berminat boleh hubungi Sutra D'Image melalui talian tiket 03-77274515.

  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel