HIBURAN

Anugerah Skrin 2007 serba tak kena!

TEMANYA sahaja sudah cukup menggambarkan harapan bagi satu acara hebat yang gilang gemilang. Namun "Hollywood glamor" dengan percikan dan kilauan pesona bintang-bintang tanah air kita di malam Anugerah Skrin 2007 seperti ada kekurangan.

Pentasnya sememangnya indah dihias dan sesuai dengan tema idaman. Dan dua pengacara Adiel Abdul Ghaffar dan Raja Azura diberi tugas menghidupkan malam kemuncak pengiktirafan bintang itu.

Lawak 'madu' Hans dan Awie mencuit hati (Foto The Star oleh Azman Ghani)

Majlis yang bermula dengan agak meriah sayangnya mula menurun grafnya di tengah dan di penghujung malam. Kegemilangan acara dua jam itu seperti kurang lancar disebabkan kelemahan teknikal, skrip yang lemah dan acara hiburan yang kurang menghiburkan.

Gandingan Aidiel-Azura juga dilihat kurang serasi di mana lawak spontan yang dibuat oleh Azura bagaikan tidak dapat disambut sebaiknya oleh Aidiel. Acara hiburan juga bagaikan ada pasang surutnya.

Pemilihan lagu tidak dapat membangkitkan suasana yang sepatutnya. Mood yang diharapkan hilang begitu saja selepas kehebatan vokal Ning Baizura-Yani dalam lagu Asmara.

Seharusnya lagu-lagu yang lebih menjurus memartabatkan Anugerah Skrin yang  dihidangkan. Tidak salah memilih Ferhad, Faizal Tahir, The Lima mahupun Mendua juga Dayang Nurfaizah-Adibah Nor dan Noryn Aziz. Pilihan penyanyi sudah sesuai tapi lagu macam tak kena.

Ferhad dan Faizal tidak seharusnya diberi lagu rancak yang 'hingar bingar' kerana pentas

Gandingan Otai Ogy Ahmad Daud dan Fara Fauzana juga tidak kurang hebatnya dengan gurauan 'panas' mereka

selayaknya ialah di gelanggang AIM atau Juara Lagu, bukan di Anugerah Skrin.

Begitu juga dengan skrip yang disampaikan oleh Aidiel. Lemah dan banyak kesilapan. Banyak kali beliau tersasul dan membuat kesilapan yang ketara seperti memperkenalkan Ashraf Sinclair sedangkan yang berdiri di pentas adalah adiknya, Aishah Sinclair. Dan ketika mengenang seniman yang tiada, beliau tersebut "Allahyarhamah".

Perjalanan majlis anugerah agak pincang bila gangguan teknikal kerap berlaku. Kekerapan menyebut dan memberi penghargaan kepada sponsor terbesar, Pantene juga agak melampaui batas. Adat-adatlah memberi penghargaan. Perlukah disebut Pantene hampir di setiap segmen? Terfikir juga ini Anugerah Skrin atau Anugerah Pantene?  

Kalau Aidiel tersasul, lain pula ceritanya dengan pasangan Awie-Hans Isaac yang mencuit hati penonton dengan lawak spontan mereka. Niat Awie mungkin berseloroh bila dia berkata kepada Hans, "Kita kan madu!". Lawak yang tidak ada di dalam skrip asal itu disambut dengan hilaian ketawa di dalam dewan. Mujurlah primadona filem Melayu kita Erra Fazira dan suami tiada di dalam dewan.

Gandingan "otai" Ogy Ahmad Daud dan Fara Fauzana juga tidak kurang hebatnya. Subjek gurauan Ogy pula ialah Eja dan bulu mata palsunya. Mungkin gurauannya agak kasar dan sedikit memalukan namun rasanya Eja mampu tersenyum, tetapi dalam hati siapa tahu. 

Pengacara yang mencipta trademark "Amboi-amboi-amboi" Azwan Ali juga tidak lepas dari usikan Ogy.

Begitu juga Chef Wan dan Karam Singh Walia semuanya jadi bahan gurauan di majlis yang berlangsung di dalam Dewan Merdeka, PWTC itu.


Paduan vokal hebat Ning dan Nikki menerusi lagu Asmara

Walaupun keputusan juri adalah muktamad, seperkara yang tidak terlepas pandang adalah banyak keputusan memihak pada tuan rumah. Mungkin ianya secara kebetulan atau untuk menjaga hati tuan rumah atau sememangnya telus keputusan yang dibuat. Pelbagai spekulasi dan andaian, juga desas desus sebaik keputusan diumumkan.

Yang penting, Hollywood glamor yang menjanjikan kilauan bagai bintang sudahpun melabuhkan tirainya. Bintang filem kita sudahpun memperaga pelbagai busana di acara red karpet.

Cukup jelita, anggun dan menawan tapi sayang sekali bila diminta memberi pendapat, yang keluar dari bibir mereka adalah kekurangan dan kedangkalan. 

Walau apapun, tahniah kepada semua pemenang yang sudahpun "menempah" tiket ke Los Angeles dan Las Vegas seperti yang dijanjikan!

  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel