|
|
HIBURAN
Selasa Disember 25, 2007
Hannah Tan sambut Krismas dengan bekerja!
PENYANYI seksi Hannah Tan tidak sangka yang dia akan menyambut Hari Natal pada tahun ini dengan bekerja. Tapi itulah hakikatnya apabila penyanyi genit ini terpaksa menyambut hari kebesaran orang Kristian ini bersama keluarga tersayang seminggu lebih awal.
"Ini kerana saya terpaksa bekerja pada Hari Krismas. Seawal jam 7 pagi lagi, saya terpaksa bergegas ke TV3 untuk menjayakan Malaysia Hari Ini (MHI). Saya akan menyampaikan sebuah lagu. Kemudian sebelum jam 9 pagi, saya akan ke set Breakfast Show di ntv7. "Mungkin selepas itu, barulah saya ada kelapangan sikit untuk bersantai dengan rakan-rakan saya. Kemungkinan saya akan lepak di rumah saja, tengoklah macam mana," kata Hannah yang jelita dan peramah. Walalupun tidak berkesempatan menyambut Krismas dengan keluarga tersayang, Hannah akan tetap meluangkan masa selepas ini untuk bercuti Krismas dengan mereka. "Saya seorang yang homely dan rapat dengan keluarga. Apa saja yang saya lakukan perlu mendapat restu dari mereka. Tentu saja apabila ada masa terluang, saya akan bersama mereka," katanya lagi. Bagi pelakon kacak Hans Isaac yang baru sahaja menyempurnakan hasrat hati untuk bergelar sutradara melalui filem sulung "Cuci" yang akan menemui penonton awal Januari depan, sambutan Hari Krismas tahun ini agak meriah. Apa tidaknya, inilah masa untuk berlibur bersama keluarga tersayang. "Abang saya baru pulang dari Myanmar dan saudara mara saya dari Filipina ingin menyambut Krismas di Malaysia. Jadi agak meriahlah juga. Tambahan anak-anak saudara saya bertambah ramai dan besar kini," kata Hans lagi.
Seperti juga sambutan di tahun-tahun lepas, Hans akan membuat rumah terbuka di rumah keluarganya di Taman TAR, Ampang untuk kenalan dan saudara mara. Lebih 200 orang telah diundangnya dan tradisi "rumah terbuka" Hans akan dimeriahkan dengan sajian makanan enak seperti ayam turkey, kambing panggang, satay dan bermacam lagi. "Pendek kata semua makanan orang Malaysia akan disajikan. Jangan risau, ianya betul-betul konsep rumah terbuka bermula 6 petang. Sampai lewat pagi pun kami masih menerima kedatangan tetamu," kata Hans lagi. Untuk tahun ini juga, hans telah menyediakan 'angpow' untuk ibu tersayang, Nina Anciano dan semua ahli keluarganya. "Apa salahnya bersedekah untuk orang tersayang. Setelah berpenat lelah mencari rezeki selama setahun, inilah masanya untuk berkongsi dengan keluarga," kata Hans yang sememangnya terkenal dengan sifat pemurahnya. Bagi Rich, penyanyi vokal kumpulan popular Estranged, hari Natal hanya untuk dia dan keluarga tersayang.
Berbeza pula dengan aktres Janet Khoo yang agak keberatan berkongsi perancangan di hari Krismas. "Yang penting, saya cuma mahu bergembira dengan kawan-kawan saja. Tidak ada open house atau sebagainya. Cuma kawan-kawan yang terdekat saja," jelasnya lagi. Bagi pelakon kacak dari bumi kenyalang, Tony Eusoff, sambutan Krismas agak 'simple' dan hanya di kalangan keluarga tersayang. "Ibu dan abang saya baru sampai dari Sarawak. Kami menyambutnya dengan sederhana sekali mengikut budget yang ada. Kami tidak buat rumah terbuka...," kata Tony lagi. Makanan tradisi seperti tuak, spaghetti, itik masak kicap dan Ayam Pansuh menjadi kemestian keluarga Tony setiap Krismas. "Yang penting perut kenyang dan saya bersama orang tersayang....," kata Tony.
|
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES
|
|||||||||||||