|
|
HIBURAN
Isnin Disember 31, 2007
Kemenangan Vee-Shidi bukan 'dirancang'
PROGRAM pertandingan tarian yang melibatkan pasangan selebriti, Sehati Berdansa melabuhkan tirainya Sabtu lalu apabila penonton akhirnya menobatkan pasangan suami isteri romantis ini, Vanidah Imran (Vee) dan Rashidi Ishak (Shidi) sebagai juara program tersebut. Kemenangan pasangan ini sememangnya bukanlah satu kejutan memandangkan sejak di awal program ini lagi, pasangan popular Vee dan Shidi memang disebut-sebut bakal menyandang gelaran tersebut. Malah, di awal siaran program ini dulu, turut timbul khabar angin yang mengatakan kemenangan pasangan ini sebenarnya sudah dirancang oleh pihak Astro sendiri dan lebih menghangatkan keadaan, mereka juga dikatakan ditaja oleh Astro bagi menjalani latihan menari sebulan lebih awal sebelum bermulanya program Sehati Berdansa ini.
Menyangkal kemenangan pasangan ini Sabtu lalu telah mengsahihkan khabar angin tersebut, kata Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah, dia akui perkara seperti itu sememangnya tidak dapat lari untuk program-program yang bercorak realiti. "Teori-teori konspirasi dan sebagainya memang akan wujud dalam program berformat seperti ini. Tetapi, dakwaan yang mengatakan kemenangan Vee dan Shidi memang dirancang adalah tidak benar. "Kalau dilihat, setiap pasangan menerima publisiti yang sama rata. Lagipun, malam ini keputusan bergantung sepenuhnya daripada undian SMS," ujar Zainir pada sidang media selepas berlangsungnya pertandingan akhir itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Sabtu lalu.
Vee dan Shidi membawa pulang hadiah sehingga RM200,000 iaitu sebuah kereta BMW Mini One 1.4, pakej bulan madu ke Paris beserta trofi setelah menewaskan pasangan Ngasriah Ngasri (Anne)/Abdul Wafi Hassan (Wafi) pada program yang disiarkan secara langsung di Astro Ria itu. Badan kebajikan yang diwakili oleh pasangan juara itu iaitu Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia pula menerima wang tunai berjumlah RM15,000 manakala koreografer pasangan tersebut juga, Sazlan Mat Adnan turut menerima hadiah sehingga RM8,000 iaitu pakej percutian ke Paris beserta sebuah trofi. Dalam pada itu, naib juara badan kebajikan yang diwakili oleh Anne dan Wafi iaitu Pusat Kebangsaan Yayasan Sindrom Down Kinwanis menerima wang tunai berjumlah RM10,000.
"Saya memang geram sewaktu keluar desas-desus itu. Saya tidak tahu siapa yang buat cerita sedangkan ketika itu baru saja di minggu kedua dan kalau dilihat, tarian saya pada ketika itu pun masih 'kayu' lagi. "Sebab itu saya hairan dari mana tercetusnya perkara itu. Kami juga risau peminat tidak akan undi kami lagi bila mereka dengar cerita seperti itu. "Tetapi, lama-kelamaan saya ketepikan perasaan marah itu dan setelah dinasihati oleh Vee, saya sudah tidak ambil peduli lagi tentang perkara tersebut dan teruskan cabaran program ini sebaik mungkin," kata Shidi. Pasangan itu juga turut mengumumkan bahawa pihak produk susu Dumex, turut menyumbangkan sebanyak RM10,000 lagi kepada badan kebajikan yang diwakili oleh Vee dan Shidi. Pasangan ini merupakan jurucakap bagi produk syarikat tersebut. Dalam pada itu, ditanya mengenai masa depan program ini kelak, kata Zainir, pihak Astro sememangnya mempunyai perancangan untuk menghasilkan Sehati Berdansa musim kedua pada tahun hadapan. "Kami bangga dengan format program ini kerana ia satu benda baru. Memang pada awalnya, kami agak risau sama ada program ini mampu mendapat sambutan atau tidak. Tapi, ternyata ia berjaya. "Kami akan pertimbangkan dan buat penilaian semula mengenai format ini, jadi kami boleh perbaiki apa yang kurang pada masa hadapan. "Mengenai status suami isteri yang menjadi kriteria utama program ini, memang kami sedar kriteria seperti ini sebenarnya telah menghadkan penyertaan selebriti lain. "Di negara lain, kemungkinan kriteria seperti ini tidak akan timbul, tetapi kita disini perlu mengambil kira isu sensitiviti juga," jelas Zainir lagi. Dua pasangan sama hebat Malam Kemuncak Sehati Berdansa Sabtu lalu menyaksikan dua pasangan selebriti itu mempersembahkan dua jenis tarian iaitu joget dan samba dengan bimbingan koreografer masing-masing. Pengkritik tetap pada malam itu ialah Fathee Abdullah dan Linda Jasmine manakala Ogy Ahmad Daud bertindak selaku pengkritik jemputan.
Melihat kepada aksi tari kedua-dua pasangan itu, sememangnya tiada istilah siapa yang hebat mahupun tidak kerana memang tidak dinafikan kedua-duanya mempunyai kehebatan masing. Jika Vee dan Shidi nampak seperti profesional dari segi 'teknikal', Anne dan Wafi pula dilihat lebih kreatif dalam gerak tari mereka. Bagi segmen tarian joget, pengkritik nampaknya lebih berpuas hati dengan pasangan Vee-Shidi, manakala Anne dan Wafi mengungguli segmen samba apabila berjaya menambat hati pengkritik dengan aksi 'berani' mereka yang turut menerima sorakan hebat oleh penonton di dewan tersebut. Meskipun gagal meraih sebarang hadiah biarpun bergelar naib juara, kata Anne, apa yang lebih penting buat mereka ialah berjaya menyumbangkan sebanyak RM10,000 kepada badan kebajikan yang mereka wakili iaitu Pusat Kebangsaan Yayasan Sindrom Down Kinwanis. "Bila mendapat tahu jumlah wang dinaikkan dari RM8,000 kepada RM10,000, saya memang cukup gembira. Kami tidak letak harapan yang sangat tinggi kerana walau apa pun, kami sudah cuba buat yang terbaik. "Kami cukup bersyukur sampai ke tahap ini, dari tiada sebarang asas menari, kami sekarang sudah boleh menari. "Apapun, memang kami sudah jangkakan Vee dan Shidi boleh menang kerana mereka memang bagus," ujar Anne. Program akhir yang dihoskan oleh Linda Onn dan Fahrin Ahmad itu juga turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa oleh enam lagi pasangan selebriti yang telah tersingkir daripada program tersebut sebelum ini iaitu Mohd Rizman Mohd Khuzaimi/Kartina Ayoob, Raianna Abdul Rahman (Rai)/Zain Shah Mohamed Shah, Raja Putri Atilia Raja Haron/Arif Johan, Azman Adnan/Asfarina Muhammad, Rohaizah Nordin (Haiza)/Norhanafpe Omar dan Radhi OAG/Shazlin Shariff. Semua koreografer bagi setiap pasangan itu juga turut membuat persembahan khas malam tadi. Turut menyerikan malam kemuncak itu ialah Mila dan Ferhad. Program pertandingan tarian yang disertai oleh para selebriti dan pasangan masing-masing itu adalah hasil adaptasi dari program India, Nachbaliye. Mereka mewakili badan kebajikan masing-masing di mana setiap minggu sebanyak RM1,000 akan disumbangkan kepada badan-badan tersebut jika pasangan yang mewakilinya masih kekal di dalam program itu. |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES |