|
|
HIBURAN
Isnin Februari 12, 2007
Macam-Macam Aznil pindah ke Astro Prima
AGAK terkejut juga apabila pengacara nombor satu negara, Aznil Haji Nawawi, mengumumkan bahawa program Macam-Macam Aznil yang telah mempunyai peminat yang ramai bakal diubah rangkaian siarannya daripada saluran Ria ke saluran Prima. "Macam-Macam Aznil akan diubah dari Astro Ria ke Prima bermula pada musim baru kelak. Ini adalah antara proses rebranding untuk rangkaian Prima," kata pengacara yang sudahpun mempunyai 16 tahun pengalaman di dalam bidang ini. Rancangan yang sudahpun dianggap antara rancangan berjaya di saluran Ria ini akan dipindahkan ke Prima bagi membantu saluran tersebut mencapai sasaran penonton yang mememuaskan. "Bagi saya, ini merupakan satu cabaran untuk saya. Saya mahu melihat kekuatan Macam-Macam Aznil menarik rating penonton di Prima. "InsyaAllah, saya yakin pengikut-pengikut rancangan ini pastinya akan mengikut rancangan ini tidak kisahlah di mana ianya akan disiarkan," ujar pengacara yang berusia 45 tahun ini.
"Lagipun, Macam-Macam Aznil boleh dikatakan sesuai untuk Prima kerana ianya berbentuk kekeluargaan dan Ria pula lebih urban dan keremajaan," ujar pemenang Pengacara Popular ABP 2006 ini lagi. Musim baru, format baru Macam-Macam Aznil musim ketiga turut menampilkan format rancangan yang baru untuk disesuaikan dengan konsep ala kekeluargaan. "Format kini adalah bersantai. Kami tidak akan membicarakan mana-mana topik eksklusif bersama-sama tetamu yang hadir. "Tetapi kami akan banyak mengadakan permainan di antara artis dan penonton di studio untuk merapatkan silaturrahim di antara mereka,"ujarnya lagi yang mengambil konsep game show di Hong Kong yang menjadi satu kegilaan di sana.
"Keunikan pada musim ini adalah Panah Sakti di mana artis akan memutar panah sakti ini berdasarkan soalan yang diberikan menerusi balang beracun. "Kebanyakan soalan-soalan ini adalah gurauan semata-mata seperti contoh artis manakah yang meminati artis yang lain dan sebagainya," ujarnya lagi. Malah, permainan-permainan yang diselitkan turut melibatkan artis menjadi "comot" di penghujung rancangan tersebut. "Kebanyakan mereka tak kisah dengan permainan kami. Semasa rakaman pertama kami, habis kepala botak Eric Leong kami sapu dengan krim. "Mereka semuanya supporting habis dengan Macam-Macam Aznil," ujarnya mengenai sambutan di kalangan artis mengenai konsep tersebut. Aznil turut rasa gembira bahawa tiada artis yang menolak pelawaan ke rancangan tersebut. "Jika ada yang tidak dapat hadir pun disebabkan oleh percanggahan jadual. Ada sesetengah mereka meminta kami untuk mengatur semula jadual rakaman agar mereka dapat hadir," ujarnya lagi.
Pada hari diwawancara itu jua, dua selebriti tersohor Maya Karin dan Datuk Siti Nurhaliza diundang sebagai tetamu untuk episod lima Macam-Macam Aznil. Kelihatan kedua-dua mereka begitu supporting dan tidak teragak-agak untuk berseronok walaupun wajah jelita mereka comot dengan krim kek di segmen bersama-sama penonton di studio. "Datuk Siti sendiri yang tertanya-tanya bilakah lagi giliran dia untuk diundang ke rancangan saya. "Terharu saya dibuatnya," ujar Aznil dengan penampilan eksklusif Datuk Siti Nurhaliza sebelum berlepas ke Amerika syarikat. Saya bukan punca kesuraman AF4 Aznil turut dikejutkan dengan gosip yang mengatakan bahawa dia bakal digandingkan dengan pengacara baru untuk memantapkan lagi Akademi Fantasi 5.
"Saya terkilan apabila membaca gosip itu. Tidak sangka ada yang mendakwa bahawa saya merupakan punca kesuraman AF4. "Bagi saya , saya selalu melakukan yang terbaik apatah lagi untuk AF. Saya sudahpun bersama AF sejak peringkat awal rancangan tersebut sehingga kini. "Jiwa saya boleh dikatakan sebati dengan rancangan tersebut," ujarnya pelakon antagonis Cicak Man itu lagi mengenai paparan gosip tentang gandingannya bersama AC Mizal serta isu pengundurannya menerusi rancangan AF. Aznil menegaskan bahawa dia tidak akan meninggalkan rancangan realiti itu dan menyangkal segala dakwaan yang dilemparkan terhadapnya. "Saya selalu disuruh hadir untuk sesi brainstroming mengenai cara-cara untuk memantapkan lagi AF. Saya akan melakukan apa sahaja untuk memastikan AF5 kembali dengan gahnya," ujarnya lagi. |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES
|
|||||||||