HIBURAN

Krew Jejak Rasul teroka bumi Palestine pula


"Saya merasakan bahawa musim ke-12 antara musim yang paling mencabar untuk krew Jejak Rasul di mana kami diberi peluang untuk memasuki negara yang penuh dengan pergolakan politik iaitu Palestine"
(Foto The Star Oleh T.K Lim)

Jejak Rasul merupakan antara dokumentari bercorak keislaman yang tulus dan paling berkesan dalam menyingkap perjuangan para nabi dalam sirah Islam.

Tambahan pula inilah satu-satunya dokumentari Islam yang pertama kali mendahului semua dokumentari tempatan dalam membuat penemuan begini di Malaysia.

Keunikan Jejak Rasul dari musim pertama lagi telah lama menambat hati penonton Islam dan antara program yang tinggi ratingnya dan paling popular sehingga kini.

Disebabkan kehebatan dan ketulusan format Jejak Rasul begitu mengesankan jutaan para penonton, maka siri ini akan memasuki musim ke 13 tidak lama lagi.

Pelancaran VCD/DVD Jejak Rasul 12 'Muhammad The Last Mesenger' telah diadakan di Sri Pentas, TV3 baru-baru ini. 

"Saya merasakan bahawa musim ke-12 antara musim yang paling mencabar untuk krew Jejak Rasul di mana kami diberi peluang untuk memasuki negara yang penuh dengan pergolakan politik iaitu Palestine," ujar hos dan penerbit Jejak Rasul, Haji Zainal Ariffin Ismail ketika diwawancara baru-baru ini.

Walaupun sudah 14 tahun berkhidmat dengan stesen televisyen swasta TV3, pengacara yang senantiasa mengekalkan imej kesilaman ini mengaku bahawa dia cukup gubra ketika menjejaki negara Palestine.

"Di mana-mana sahaja kawasan yang berada dalam lingkungan tembok bergerak iaitu tembok yang dibina oleh pihak Israel, terdapat tentera-tentera yang menggunakan senjata M-16 untuk menjaga setiap penjuru tembok itu.

"Sudah semestinya saya berasa takut melihat kehadiran tentera-tentera yang tidak sudah-sudah menyoal setiap orang yang ingin memasuki kawasan tersebut," ujarnya lagi.

Walaupun terdedah dengan pelbagai risiko yang mungkin membawa maut, krew Jejak Rasul selamat daripada sebarang ancaman mahupun bahaya.

"Tiada insiden yang merbahaya berlaku terhadap kami dan kami bersyukur bahawa rakaman di bumi Palestine dapat disiapkan sepenuhnya," ujar Zainal lagi.

Peluang keemasan untuk memasuki masjid Al-Aqsa merupakan satu peluang yang sangat dinanti-nantikan oleh pihak Jejak Rasul.

"Tahun yang lalu merupakan tahun yang penuh berkat apabila kami diberi peluang untuk memasuki Masjid Al-Aqsa yang menjadi rebutan di antara pihak yang bergolak," ujarnya lagi mengenai peluang keemasan yang diberi oleh pihak berkuasa kepada krew Jejak Rasul.


"Kami akan berangkat ke Mesir pada bulan hadapan untuk memulakan rakaman. Kami akan bertolak dengan kira-kira 11 orang krew termasuk saya"
(Foto The Star)

"Ketika menjejak kaki kami di masjid tersebut, kami dapat melihat ramai umat Islam mengejar ibadah  solat di sana seperti biasa.

"Kami merasa terharu melihat mereka kerana dalam keadaan yang tegang, tanggungjawab agama tidak pernah mereka lupakan," ujarnya lagi.

Kecantikan serta kebesaran masjid tersebut turut membuatkan Zainal tergamam dan tersentuh melihat keutuhan masjid yang berdiri di tengah-tengah tanah yang mejadi rebutan di antara pihak yang bertelagah.

"Sesungguhnya keindahan Masjid Al Aqsa tiada bandingan," tegasnya lagi.

VCD/DVD Jejak Rasul 12 'Muhammad The Last Messenger' sangat murah

Tidak dapat dinafikan dokumentari Jejak Rasul ini adalah antara dokumentari yang tersohor dan paling komprehensif di negara ini.

Oleh itu, pihak TV3 dengan kerjasama Grand  Brilliance dan Nickleodean Books Sdn Bhd mengambil inisiatif untuk memuatkan episod musim ke 12 di dalam bentuk VCD dan DVD.

Dan yang memeranjatkan adalah harga yang murah dikenakan untuk kompilasi musim ke-12.

"Jejak Rasul 12 'Muhammad The Last Messenger' akan dijual pada harga RM59.90 dalam bentuk VCD dan RM69.90 dalam bentuk DVD.

"Sememangnya harga ini amat berpatutan sekali malah murah untuk koleksi satu musim Jejak Rasul," ujar Zainal mengenai keunikan koleksi musim ke-12 yang dikatakan amat berpatutan berbanding dengan musim-musim yang lalu.

Tindakan ini turut membuatkan orang ramai mampu untuk memiliki koleksi DVD dan VCD original kerana harganya amat berpatutan.

"Jika dahulu hanya beberapa kedai sahaja yang menjual koleksi jejak Rasul, kini kedai-kedai yang gah seperti MPH Bookstore, Kinokuniya dan Borders akan menjual koleksi Jejak Rasul ini.

"Ini adalah kerana terdapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan-pelanggan mereka yang seringkali berkunjung ke kedai mereka untuk mencari DVD mahpun VCD Jejak Rasul," ujarnya lagi.

Menjejak sirah para sahabat Rasulullah

Krew jejak Rasul bakal membuat rakaman di negara Mesir dan Syria untuk rakaman Jejak Rasul ke-13.

"Kami akan berangkat ke Mesir pada bulan hadapan untuk memulakan rakaman. Kami akan bertolak dengan kira-kira 11 orang krew termasuk saya.

"Kami akan dibahagikan pada dua kumpulan untuk menghabiskan rakaman selama 90 hari," ujar Zainal yang akan mengetuai kumpulan tersebut.

Musim yang baru ini akan melihat krew Jejak Rasul menjejaki sirah atau sejarah sahabat-sahabat Rasulullah termasuk empat Khulafah Al-Rasyidin.

Walaupun tidak mencabar seperti musim yang lalu, Zainal tetap berharap bahawa musim ini bakal merungkai sejarah sahabat-sahabat Rasulullah yang turut serta memperjuangkan Islam.

"Walaupun kami sudah menerokai sejarah di Mesir dan Syria, perjalanan kami pada kali ini akan memberi fokus utama kepada peninggalan sejarah sahabat-sahabat Rasulullah," tambahnya lagi.

  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel