HIBURAN

Idan terkeluar kerana idea lapuk

SETELAH  lima minggu berturut-turut barulah sesetengah peserta Raja Lawak Astro menunjukkan taring mereka.

Itupun bukan semua lawak menjadi atau lucu tapi jelas kesemua mereka telah bekerja keras untuk menangani tema yang diberikan minggu ini iaitu membuat persembahan atau lawak dari simpulan bahasa.

Untuk minggu lepas, undian SMS telah 'memilih' Idan untuk meninggalkan Raja Lawak Astro. Dan untuk pertama kalinya undian SMS hampir sama dengan undian otai lawak dan juri jemputan Bob Lokman.


Lawak Idan tak menjadi sehingga dia disingkirkan
(Foto The Star oleh Ricky Lai)

Bob yang terkenal dengan kritikan pedasnya cuba memberi teguran secara diplomatik agar tidak menyinggung hati peserta namun komennya tetap pedas dan sememangnya wajar.

Pada minggu lepas, dari tujuh peserta yang bertanding hanya dua orang sahaja yang nampak hebat, kreatif dan bijak mencuit hati penonton dengan telatah lucu dan cerita 'simpulan bahasa' mereka.

Idan yang merupakan peserta pertama, cuba membuat lawak dari 'Tangkai Jering' namun gagal meninggalkan kesan. Tidak ada siapapun yang ketawa apabila dia habis membuat persembahan. Ramai bagaikan bosan melihat idea lapuk yang dipetik dari filem Labu Labi. Jelas sekali Idan seperti sudah habis modal. Seperti kata Bob, "tindak balas dan mimik muka tidak selari dengan idea yang dikeluarkan."


Angah antara peserta favourite Raja Lawak tetapi kurang menyengat minggu lalu
(Foto The Star)

Angah pula cuba menggunakan simpulan bahasa 'Panjang Tangan' dan sayang sekali ceritanya kurang menjadi. Bagaimanapun Bob memuji usaha Angah dan menasihatkannya memberi penekanan kepada 'punch line'.

Tauke pula bagaikan hilang fokus apabila bercerita pasal 'Mata Duitan'. Bak kata Bob, pengupasannya kurang dan Tauke kena pandai melarikan diri dari konsep jual ubat yang sudah menjadi trademarknya saban minggu.

Peserta keempat, Johan yang paling bijak antara kesemua peserta apabila menghangatkan keadaan dengan lawaknya di sekitar cerita 'Batu Api.' Di sebalik penceritaannya yang selamba dan menghiburkan, terselit mesej untuk semua orang.

Komen yang diberi Bob juga amat memberangsangkan dan membakar semangat Johan yang dikatakan anak saudara pelawak Salih Yaakob ini. Johan berada di tempat selesa kerana sering berada di tempat ke atas saban minggu.


Yus berjaya menarik perhatian penonton dengan lawaknya
(Foto The Star)

Yus, peserta favourite seterusnya membawa simpulan bahasa bertajuk 'Hidung Belang' yang cuba mengupas maksudnya dari sudut tiga peserta Thailand, Jepun dan Malaysia.

Lawak Yus juga menggamatkan suasana pada hari Sabtu lepas di Wisma Ali Bawal Petaling Jaya. Sorakan yang diberikan untuk Yus dan Johan jelas menunjukkan mereka berkebolehan untuk pergi jauh. Mungkin inilah sahaja pelapis yang dapat dicungkil dari program ini kerana jenaka mereka lucu, menghiburkan dan selalu konsisten setiap minggu.

Zizan yang mengupas cerita 'Berat Tulang' bagaikan tidak ada modal. Sehingga habis, Zizan cuba buat kelakar tapi tidak ada satupun yang melucukan. Begitu juga dengan peserta 'season' Helmi Gimmick yang cuba buat jenaka dalam 'Muka Tembok'. Sudahlah jenakanya tidak melucukan, komen yang diberi oleh Bob sepatutnya memberi kesedaran pada Helmi.

Walaupun pedas, namun kritikan itu diharap dapat membuat Helmi berfikir kembali apa misinya di dalam 'Raja Lawak Astro'.

"Awak ni aktivis bukannya opportunis. Untuk menjadi pelawak, awak kena jadi opportunis. Awak perlu kelahiran semula untuk menjadi pelawak," sinis sekali teguran Bob untuk Helmi. Jika dilihat keberkesanan lawak yang cuba dibuat oleh Helmi sememangnya ada kebenaran kata-kata Bob itu.


Helmi berhempas pulas untuk buat lawak
(Foto The Star)

Helmi sudah membuktikan yang dia adalah penghibur yang berjaya menyelitkan lawak-lawak 'cari makan' dan sudah ramai peminatnya dari berbilang kaum yang terhibur dengan persembahan Helmi selama ini. Sekarang Helmi cuba hendak jadi pelawak pula. Bukan senang nak jadi pelawak. Rasanya pengalaman selama lima minggu di Raja Lawak Astro boleh membuka mata Helmi dan peserta lain samada mereka ini benar-benar berbakat ke arah itu atau tidak.

Bila lawak yang dibuat tidak menjadi, hendak senyumpun susah, kadang kala akan timbul pula perasaan meluat di hati. Hendaknya janganlah sampai ke tahap itu. Pengundi SMS hendaklah bijak mengundi keluar mereka yang tidak berbakat tu. Cukuplah penyeksaan menyaksikan pelawak yang tidak ada bakat lawak!  

  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel