HIBURAN

ESDCO ingin sambung legasi KRU


Adam mahu ESDCO mewarnai industri muzik tempatan
(Foto The Star oleh Art Chen)

KALAU artis lepasan Akademi Fantasia sibuk ingin menjadi artis solo, lain pula halnya dengan Adam atau Mohd Aizam Mat Saman.

Walaupun mengecapi sukses yang amat memberangsangkan, bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke dua ini mengambil keputusan untuk meneruskan kerjayanya sebagai sebuah trio bernama ESDCO.

"ESDCO telah ditubuhkan sejak 1998 bersama-sama teman-teman saya Boy dan Ijan. Kami sudah pun membuat persembahan di Sabah.

"Saya sudah memulakan kerjaya saya di bidang hiburan ini sebagai ahli sebuah kumpulan dan bukannya penyanyi solo," ujar pemuda berusia 24 tahun ini.

Hajat mereka adalah untuk merakamkan album, sayangnya hampir tiga kali rancangan ESDCO itu tertunda disebabkan perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan.

"KRU sudahpun melamar ESDCO untuk merakamkan sebuah album selepas Akademi Fantasia.

"Memandangkan Ijan dan Boy sibuk dengan komitmen masing-masing ketika itu, Abang Edry (KRU) menawarkan kepada saya peluang untuk menjadi artis solo," ujarnya lagi.

Ketika ditanya mengapa dia mengambil keputusan untuk muncul bersama EDSCO sedangkan dia sudahpun mencipta nama sebagai penyanyi lelaki popular di Malaysia, Adam menjawab, "Saya percaya dengan penampilan ESDCO, kami akan muncul lebih gah lagi.

"Sebagai kumpulan trio, kami juga dapat menjanjikan satu kelainan dengan koloborasi ketiga-tiga kekuatan kami."

Namun Adam menafikan sekeras-kerasnya bahawa trio tersebut bakal menumpang populariti dirinya sahaja walaupun kenyataan itu sedikit sebanyak akan menjadi tanggapan orang ramai.

"Saya akan tampil dengan personaliti dan gaya yang baru untuk album ini," ujar pelakon utama Main-main Cinta itu lagi.

Malah, Adam turut akan menukarkan namanya sejajar dengan konsep band tersebut.

"Dari dahulu lagi kami sudah mempunyai nama samaran ini. Ijan dikenali sebagai Zeco dan Boy pula sebagai Byco.

"Manakala, saya pula dipanggil Aiko," ujar Adam tentang kelainan ESDCO.

Malah, konsep yang bakal dibawa oleh kumpulan tersebut badalah berkonsepkan genre ala gangster.

"Apa saya maksudkan adalah jenis muzik yang telah dibawakan oleh KRU pada lewat 90an di mana rentaknya rancak serta isi lagunya lebih kepada menasihati pendengar," ujar Adam yang turut bercadang untuk memuatkan lagu single keduanya Hai yang akan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

Selain daripada itu, Adam turut berharap agar ESDCO bakal membawa kesinambungan kepada legasi KRU yang pada suatu ketika dahulu menjadi kegilaan ramai.

"Tidak salahnya untuk meyambungkan apa yang dimulakan oleh KRU. Mereka telah memulakan sesuatu yang dianggap baru pada waktu itu dan usaha mereka ternyata berjaya.

"Kami ingin menjadi legasi mereka," ujar Adam.


Adam a.k.a Aiko
(Foto The Star )

Lancarkan album di Kedah

Walaupun sibuk dengan perancangan untuk EDSCO, Adam yang bakal menerajui filem Diva ini telah pun melancarkan album keduanya yang berjudul Adam 2 di Kedah baru-baru ini.

"Saya sengaja melancarkan album saya di sana kerana saya mahu memecah norma di mana ramai artis melakukannya di tempat-tempat seperti Planet Hollywood ataupun tempat-tempat popular di sekitar Kuala Lumpur.

"Malah, saya turut mengambil kesempatan ini untuk menghabiskan masa bersama-sama dengan peminat-peminat saya," ujarnya lagi.

Seramai 100 orang peminat bertuah telah dibawa ke Cinta Sayang Golf & Country Resort di Sungai Petani, Kedah pada hari Jumaat yang lalu untuk menemani penyanyi kesayangan mereka melancarkan albumnya.

"Kami telah melakukan pelbagai aktiviti riadah bersama-sama dan pelancaran dilakukan pada malam Sabtu," ujarnya yang turut melakukan satu mini showcase untuk memperkenalkan lagu-lagu barunya.

Album yang mendapat sentuhan emas Edry KRU itu mengandungi sepuluh buah lagu termasuk Joget Lambak, Hai, Tak Tahu Antara Dua dan Gila Bayang.

Namun, sesi rakaman lagu Joget Lambak antara yang paling lama pernah dilakukannya.

"Saya mengambil kira-kira 20 rakaman dalam masa lebih daripada tiga hari untuk lagu tersebut kerana saya kurang mencapai feel untuk lagu tersebut.

"Maklumlah lagu tersebut berkonsepkan joget dan saya memerlukan masa yang lebih lama untuk menghayati lagu tersebut," ujarnya yang turut mendengar lagu-lagu dendangan Datuk Ahmad Jais untuk mendapatkan inspirasi.

  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel