|
|
HIBURAN
Selasa Mei 01, 2007
Olivia Newton-John masih istimewa
Pertunjukan satu malam yang diberi nama Olivia Newton John 'live' in Malaysia yang berlangsung pada Ahad lepas di Genting Arena of Stars tidak lebih dari satu bingkisan istimewa untuk peminat Olivia di rantau ini. Buat pertama kalinya Olivia membuat kunjungan dan pertunjukan untuk peminatnya di sini. Sudah tentu ramai yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan kehebatan penyanyi yang sudah berganjak usia 58 tahun ini. Setelah menyaksikan persembahan yang memakan masa lebih 1 jam setengah ini, rasanya lebih enak kalau dapat menghayati lagu-lagu Olivia dengan memejamkan mata saja kerana itulah penghayatan yang paling sesuai untuk lagu-lagunya yang tidak lekang dek zaman. Olivia memulakan persembahan dengan pemilihan lagu yang agak perlahan. Semakin lama, perjalanan konsert semakin selesa. Tidak ubah seperti mengubah gear kereta mendaki pinggiran kaki bukit Genting Highlands, begitulah perjalanan konsert Olivia pada malam itu. Kadang perlahan, kadang laju dan adakalanya sederhana saja. Namun yang pasti, konsert itu mencapai destinasi, yakni menghiburkan peminat setianya yang rata-rata dibesarkan dengan lagu-lagu beliau. Untuk menguji mood penonton pada malam itu, Olivia memulakan dengan lagu malar hijaunya seperti Have You Never Been Mellow? diikuti dengan lagu If You Love Me, Let Me Know dan banyak lagi lagu syahdu yang meninggalkan kenangan manis buat penonton. Ketika menukar mood ke lagu country music, Olivia telah memulakan dengan Please Mr Please dan ini adalah satu permulaan yang lebih baik kerana peminatnya sudah bersedia 'warm up' bersamanya. Olivia juga tidak ketinggalan menghiburkan penonton dengan pilihan lagu rancak Physical yang mengundang lebih ramai penonton bernyanyi bersama-samanya. Di usia warga emas, kejelitaan Olivia masih mempesona. Berbagai rentak lagu dicubanya pada konsert tersebut dan ramai terpaku dan terhibur dengan telatah bersahajanya yang sesekali membuat jenaka. Wajah Olivia yang tidak dimamah usia tampil bergaya dengan susuk tubuh yang cantik dan stamina yang mengagumkan, telah mengenakan dua busana ala kebaya untuk persembahannya - satu kebaya moden dan satu lagi kebaya labuh yang dipadankan dengan selua labuh. Olivia berjaya memikat hati peminatnya meskipun dia seringkali meminta izin agar dapat membasah tekaknya dengan seteguk air teh. Sambil meminta maaf, Olivia mengajak peminatnya minum bersama dengan ucapan.....'Cheers.'
Mungkin juga faktor usia membuat Olivia terpaksa kerap minum atau juga kehangatan lagu-lagu pilihannya membuat dia lebih kepenatan. Namun yang penting, penyanyi yang dilahirkan di Cambridge, England pada tahun 1948 ini tidak cuba membuat sesuatu yang dia tidak biasa. Olivia adalah anak bongsu kepada pasangan Professor Brin Newton-John dan Irene, anak perempuan pada pemenang Anugerah Nobel, Max Born telah dibesarkan di Melbourne, Australia sejak usia 5 tahun. Beberapa buah lagu yang didendangkan pada malam itu bagai menggamit memori silam, kenangan lama tempat ia dibesarkan seperti lagu Sam dan Jolene. Dua lagu hit romantik ini banyak meninggalkan memori manis pada Olivia sendiri. Penyampaiannya dalam nada yang cukup bersahaja seolah-olah berbisik amat menghiburkan. Penyanyi dan pelakon yang perwatakan periang ini agak terbuka dengan cerita masa silamnya. Tanpa menyentuh dengan lebih dalam, Olivia cuma perlu menyatakan..."Seperti anda, saya juga melalui pahit getir kehidupan..." Seperti termaktub apa yang pernah dilaluinya - perkahwinan dengan pelakon/penari Matt Lattanzi ketika dia berusia 36 dan Matt, 25, kelahiran anak mereka Chloe yang kini 21, penceraian dengan Matt dan kehilangan kekasihnya secara misteri Patrick McDermott - banyak meninggalkan parut luka dalam diri Olivia. Yang paling pahit adalah pertarungannya dengan kanser payudara pada tahun 1992, kematian ayahnya juga kerana kanser pada hari yang sama dan semua peristiwa ini hanya mampu diluahkan melalui lagu oleh Olivia. Olivia berjaya merungkai segala memori pahit manis yang diharunginya bersama kesemua 4 ribu peminat dalam lagu-lagu seperti Magic, Suddenly, I Honestly Love You, You’re the One That I Want dan Hopelessly Devoted To You. Kekecewaan hidup yang ditempuhinya banyak membantu Olivia dalam pembikinan album baru yang bertajuk Grace and Gratitude dan sebuah lagi lagu baru yang dinyanyikan oleh Olivia malam itu ialah Love is Letting Go of Fear, lagu yang cukup tipikal dengan genre yang sering disampaikan Olivia selama ini.
Peminat bertepuk gembira ketika Olivia menyanyikan lagu Summer Lovin' dan menemaninya menyanyi bersama-sama. Ramai juga yang melonjak gembira ketika Olivia mengembalikan saat-saat gemilang lagu dari filem Grease dan Xanadu. Dan ketika Olivia mengumumkan yang dia begitu sayang akan peminatnya dan ingin dedikasikan sebuah lagu, ramai yang sudah boleh mengagak lagu apa yang akan disampaikan - Hopelessly Devoted To You. Lagu ini sebenarnya adalah satu perakuan jujur Olivia terhadap sanjungan dan rasa penghargaannya terhadap mereka yang banyak berjasa kepadanya selama ini termasuklah jutaan peminatnya. Persembahan Olivia di Genting Arena of Stars telah ditaja oleh JoJo Events dan LiteFM, di mana The Star adalah media rasminya. Dengan harga tiket yang berharga RM480, RM368, RM268 dan RM168, ramai yang mengharapkan sebuah persembahan hebat dari Olivia. Mereka yang hadir memberi reaksi berbeza setelah show tamat. Rata-rata ramai terhibur walaupun bukan tahap maksima. Hanya peminat setia Olivia akan terhibur dengan dendangan 29 buah lagu dari Olivia. Namun bagi mereka yang hanya menggemari lagu-lagu lama, konsert Olivia tidak lebih dari satu hiburan ringan yang tidak begitu menghampakan. |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES |