|
|
HIBURAN
Selasa Mei 29, 2007
Siapapun boleh jatuh cinta dengan 'Gemuruh'
Kalau lagu Menuju Puncak yang dinyanyikan oleh pelajar-pelajar Akademi Fantasia setiap musim mengambil masa untuk meresap di dalam jiwa sesiapa yang mendengarnya, berlainan pula dengan lagu tema program realiti baru TV3 My Starz yang bertajuk Gemuruh ciptaan Aubrey Suwito. Tidak mustahil lagu yang tinggi nilai komersialnya ini akan melalui proses yang lebih singkat. Ini terbukti ketika lagu tema ini berkumandang di setiap lokasi di mana audition My Starz dijalankan. Rata-rata siapapun yang mendengar lagu ini akan terus jatuh hati dan teruja untuk menyanyikan lagu ini bersama-sama. Begitulah penangan lagu Gemuruh hasil nukilan komposer tersohor Aubrey Suwito yang juga merupakan juri Audition dan tenaga pengajar My Starz. Siapapun boleh jatuh cinta dengan lagu ini.
Kehebatan lagu ciptaan Aubrey ini diakui sendiri oleh penerbit My Starz, Jafni Abu Bakar dan komposer Farihin Abdul Fatah yang juga akan bertindak sebagai pengetua My Starz bila program ini dimulakan pada awal Jun nanti. Di mana sahaja lagu ini dipasang, ianya mendapat sambutan positif dan ramai yang sudahpun jatuh cinta dengan lagu ini. "Belumpun disiarkan di udara tapi lagu tema Gemuruh sudahpun mendapat tempat di hati mereka yang mendengarnya buat pertama kali," jelas Jafni lagi Bagi komposer popular Aubrey Suwito, beliau mencipta lagu ini secara santai dan dalam keadaan yang tidak mendesak. "Mungkin sebab itu hasilnya seperti mendengar sebuah easy listening song. Komposisi melodinya juga mudah diikuti.
"Waktu Jafni memberitahu dia inginkan sebuah lagu tema yang menepati konsep dan citarasa My Starz, saya terpaksa memikirkan sebuah melodi yang sesuai. Nasib baik, apa yang saya hasilkan diterima dan disenangi Jafni juga Farihin," kata komposer yang mencipta lagu Gemilang dan Menuju Puncak. Aubrey bagaikan tidak percaya apabila warga asing dari Korea, Cina dan India meminta salinan lagu tersebut ketika audition My Starz dilakukan di Plaza Gurney, Pulau Pinang minggu sudah. Lagu Gemuruh nyanyian Faizal Tahir mempunyai universal appeal yang kuat dan sebenarnya sudah dijangkakan akan cepat popular kerana sambutan dan respon orang di keliling. Menurut Jafni lagi, dia terfikirkan sebuah lagu tema yang menarik, entertaining dan catchy. "Saya mahukan sebuah melodi yang progresif dan pada waktu yang sama mesti meresap terus ke dalam jiwa. Saya cukup puas hati dengan Gemuruh kerana lagu itu cepat melekat di hati pendengar. "Tidak keterlaluan kalau saya katakan dengar sekali saja sudah jatuh cinta. Ketika saya berbincang dengan Aubrey, dia memahami apa yang saya hendak dan hasilnya adalah sebuah lagu yang cukup menarik dan menghiburkan. "Melodi Gemuruh dan lirik yang dihasilkan menepati konsep My Starz dan respon yang diterima juga memberangsangkan dan begitu positif sekali ketika kami memasang lagu ini di tempat audition," jelas penerbit muda di Marketing Client Service Group TV3 ini.
Jafni yang juga penerbit komersial yang sering diburui kerana sering mencetuskan idea berani dan unik dalam hasilkerja seninya telahpun menghasilkan program-program seperti Oh Ayah Oh Ibu (Drypers), Sony Lets Handycam Challenge II, Fair & Lovely Penuhi Hasrat Hatiku, Mamee Slurp Menjana Impian, Selamba Serius, Teman (Olay) dan SKII - Songket A Journey To Remember. Tenaga pengajar My Starz selain komposer Farihin selaku Pengetua, Aubrey Suwito pengarah muzik sementara pemuzik iringan adalah Andy Peterson, Nan Salleh, Steve Thornton dan pemain drum Luke Mason. My Starz akan dihoskan bersama oleh Daphne Iking dan Naz Habibur Rahman. My Starz adalah hasil idea kreatif Jafni sendiri. Semuanya bermula ketika di meja perbincangan di sebuah restoran di Petaling Jaya dua bulan yang sudah. Ketika sesi brainstorming itu, Jafni berkata, "I only have a puzzle." Format program My Starz agak berbeza dari program realiti yang lain. Ianya lebih ke arah melahirkan bakat yang serba boleh dalam nyanyian dan penciptaan lagu. Kesemua 12 pelajar itu nanti akan diasah bakat mereka oleh sekumpulan pemuzik yang sudah lama bergiat di dalam industri hiburan. Kesemua pelajar akan menjalani pembelajaran muzik di LG House, sebuah kediaman tiga tingkat di mana semua fasiliti yang berkaitan akan disediakan.Walaupun pelajar tidak akan menetap di situ kerana mereka dibenarkan balik berjumpa keluarga setiap hari namun fasilitinya tetap seperti sebuah kediaman. "LG House adalah tempat belajar dengan fasiliti kediaman dan kelengkapan alat muzik dengan bilik latihan. Semua aktiviti akan dijalankan di sini. Pelajar juga akan dibawa keluar untuk menjalani ground activity di beberapa sekitar ibukota," jelas Jafni lagi. Pemilihan lagu dan corak persembahan pelajar akan ditentukan oleh kesemua tenaga pengajar atau pemuzik iringan. "Kami sengaja menekankan pelajar mesti menyanyi dengan iringan pemuzik kerana inilah jenis penyanyi yang kita inginkan jadi pelapis. Mereka kena tahu macam mana hendak interact, bekerjasama dan berkolaborasi dengan pemuzik," jelas Farihin pula. "Kami juga tekankan aspek penyesuaian diri di mana semua pelajar dikehendaki mempelajari dan bekerjasama dengan semua tenaga kerja di belakang tabir seperti sound and ligthing man, stage workers dan semua tenaga produksi. "Dengan cara ini, penyanyi akan tahu bagaimana sukarnya untuk menyediakan persediaan di belakang tabir setiap kali sesuatu persembahan itu dilakukan. Kami harap dengan cara ini pelajar My Starz akan menjadi penyanyi yang berpijak pada bumi nyata dan tidak akan terjebak dengan sindrom diva kelak," kata Farihin lagi. My Starz ingin terapkan kerjasama dan integrasi yang padu di antara pemain muzik, pelajar yang bakal bergelar penyanyi dan mereka-mereka yang bekerja di belakang tabir seperti juru makeup, penjaga wardrobe dan jurugambar. Menurut Farihin lagi, kesemua pelajar akan diasah bakat mereka menurut genre muzik yang mereka mahir dan sesuai. "Kami tidak akan memaksa mereka menjadi versatile. We dont want to kill their talent tapi cuba memberi panduan apa yang terbaik harus dilakukan untuk maximise kecenderungan mereka," kata Farihin lagi.
Pelajar-pelajar ini juga akan diberi tips tentang PR skills dan bagaimana bergaul dengan pihak media juga bagaimana menjawab soalan-soalan dari mereka. Setiap pelajar akan diberi grooming dari minggu pertama sehinggalah ke akhir episod dan perubahan dari segi ketrampilan, imej make-over dan juga peningkatan vokal akan pasti dinanti-nantikan oleh penyokong mereka. Sesi audition telah dan akan di jalankan di beberapa lokasi di Malaysia seperti Curve Damansara, Pulau Pinang, Kuching, Johor, Kuantan dan Kota Kinabalu. Pemenang My Starz berpeluang memenangi wang tunai berjumlah RM100, 000, sebuah TV LCD berukuran 42" (kedua-dua tajaan LG) dan membuat rakaman album dengan rekod label antarabangsa. Selain daripada hadiah-hadiah di atas, pihak LG juga akan menaja berbagai alat elektrik keluaran LG dan juga handphone terbaru keluaran LG iaitu LG Shine KE970, penghawa dingin dan juga Chocolate Audio sistem yang terbaru. "Dengan latihan komprehensif daripada tenaga pengajar yang terlatih, kami yakin akan mendapat 12 orang My Starz dan bukan setakat seorang saja. Kesemua 12 pelajar akan digilap menjadi My Starz kerana mereka telah melalui proses pembelajaran yang sama," jelas Farihin.
|
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES |