|
|
HIBURAN
Khamis Mei 03, 2007
'Zombi' berjaya walau dikritik hebat
Walau dikritik hebat oleh pihak media, kehebatan filem terbaru pengarah Mamat Khalid ‘Zombi Kampung Pisang’ membuktikan kehebatannya apabila filem itu mampu mengutip sebanyak RM1.2 juta dalam masa tujuh hari tayangannya di panggung. Filem komedi seram yang diedarkan pada 19 April itu mencatat sejarahnya sendiri apabila menerima berbagai bentuk komen dan reaksi dari pengkritik filem, yang mana sedikitpun tidak menjejas kutipan panggung. Penerbit Eksekutif Tayangan Unggul Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai melahirkan rasa syukurnya kerana sambutan baik yang diterima oleh Zombi Kampung Pisang. “Setidak-tidaknya ia telah membuktikan bahawa filem Mamat Khalid yang satu ini berjaya mencapai tahap pecah panggung berdasarkan jalan cerita dan interprestasinya sendiri. "Pada mulanya kami agak skeptikal juga apabila rata-rata kritik yang diterima tidak begitu memberangsangkan. Akhirnya penantian dua tahun kami berbaloi juga,” kata Gayatri yang bercadang meraikan kejayaan filem ini.
Ramai juga yang mempersoalkan subjek zombi yang dipertaruhkan oleh Mamat Khalid, paparan adegan yang tidak logik dan mengarut tapi hakikatnya itulah yang dimahukan oleh peminat filem Melayu. Seperti kata Mamat, “Saya sudah banyak berkompromi dalam filem ini. Memang ada yang mempertikaikan cara filem ini dihasilkan tapi ramai juga suka. Malah, mereka suka kelainan yang dipaparkan oleh filem ini seperti komedi spoof. "Ini sebuah filem komedi. Apa-apapun boleh berlaku dalam filem komedi macam slapstick, adlib dan adegan ringan yang membuat orang terhibur. Sambutan yang menggalakkan oleh peminat filem Melayu bagai membakar semangat Mamat untuk berkarya lagi. "Saya suka buat filem yang menghiburkan, tak payah tension-tension fikir yang bukan-bukan. Mesej pula diselitkan secara indirect tapi tetap memberi kesan,” kata adik kepada kartunis terkenal, Lat ini. Kini, Mamat boleh menarik nafas lega kerana peminat filem Melayu sudah boleh menerima pembaharuan. Dalam filem ini, Mamat banyak menggunakan unsur parodi dan metafora dalam filem ini seperti adegan zombi makan otak manusia, tugu peringatan, lagu Negaraku dan babak budak tembak zombi sampai mati. Filem yang menelan belanja sebanyak RM1.2 juta ini turut menampilkan pelakon-pelakon Awie, Ezlynn, AC Mizal, Que Haidar, Ruminah Sidek, Lan Pet Pet, Zami Ismail, Jalil Hamid dan Nadia Mustafa. Antara trivia menarik tentang filem ini ialah: - Zombi Kampung Pisang sebuah filem ‘spoof’ Melayu sentuhan Mamat Khalid. - Dari hero romantik bermotor besar, Awie hanya berkain pelikat sepanjang filem ini. Begitu juga AC Mizal dan Que Haidar. - Mamat Khalid sendiri membawa watak ‘cameo’ dalam filem ini. - Watak budak menembak zombi sampai mati dibawa oleh anak Mamat Khalid sendiri, Johan. - Perbedaan watak yang berbeza oleh Que Haidar sebagai Deris, pemuda Kelantan yang suka bercakap besar tapi penakut. - Zombi Kampung Pisang menjalani penggambaran sepanjang bulan puasa, selepas solat terawih hingga ke pagi. - Membabitkan kira-kira 100 penduduk kampung sekitar Kuala Kangsar. - Filem Melayu pertama menampilkan rupa bentuk ‘Zombi’ (mayat hidup) versi Melayu. - Hantu jenis ‘Zombi’ TIDAK pernah ditemui dan TIDAK pernah wujud di kalangan masyarakat melayu. - Lakonan Mak Mah @ Ruminah Sidek, Jalil Hamid dan Zami Ismail tetap mengesankan walaupun beraksi sebagai ‘Zombi’. - Banyak unsur patriotik yang ditonjolkan secara tidak langsung di dalam filem Zombi Kampung Pisang. - Babak yang ditiru dalam beberapa buah filem Tan Sri P.Ramlee seperti ‘Masam-masam Manis’ dan ‘Keluarga 69’ di mana Awie bercakap dengan kamera. - Perkataan ‘Dahsyat giler ..!’ yang ditutur oleh Awie dalam loghat Perak, kedengaran amat lucu dan meninggalkan kesan pada penonton. - AC Mizal paling banyak adlib di dalam filem ini.
|
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES
|
|||||||