HIBURAN

Nana tidak kisah digelar 'penyanyi kampung'


Nana tidak kisah digelar penyanyi kampung
(Foto FMC)

Hampir sepuluh tahun penyanyi kecil, Siti Nordiana Alias menceburi bidang hiburan dan kini artis yang mesra dipanggil Nana ini sudahpun mempunyai lima buah album termasuk tiga buah album duet bersama-sama Achik Spin dan Syura.

Nana mula berjinak-jinak dalam industri hiburan ini sejurus sahaja memenangi pertandingan nyanyian Tunas 9 anjuran Radio Malaysia Seremban.

Untuk meraikan perjuangannya yang hampir sedekad dalam industri ini, Nana melahirkan sebuah VCD MTV Karaoke Cahaya Kekasih yang mengandungi 20 lagu-lagu popularnya termasuk dua buah lagu terbaru.

"Nana masih memperjuangkan genre pop Melayu kerana Nana merasakan bahawa album Nana sentiasa mendapat sambutan sejak dulu lagi," ujar Nana sewaktu pelancaran album MTV Karaoke Cahaya Kasih bersama-sama album kompilasi Anatologi oleh Rahmat Ekamatra di Red Box Sogo baru-baru ini mengenai konsep keseluruhan VCD tersebut.

VCD Karaoke Cahaya Kasih turut mengandungi lagu Kasihmu Seakan Berubah, Bukan Mengungkit Tapi Membangkit, Selamanya Cinta, Pada Siapa dan Syair Cinta.

Namun pembabitan Nana bersama-sama komposer-komposer dari Indonesia sejak kebelakangan ini turut menjadi tanda tanya jika Nana mahu mengubah arus konsep lagunya yang beriramakan Pop Melayu ke Pop-Indon.

"Nana sebenarnya sudah bergandingan dengan komposer Indonesia sejak tahun yang lalu. Nana telah berkoloberasi dengan Deddy Dores dalam lagu Biar Seperti Bidadari untuk albumnya Best Of Deddy Dores.

"Untuk album ini pula, Nana bergandingan dengan Choosy Pratama menerusi lagu baru saya yang bertajuk Aku Pun Rela," ujarnya lagi.


Nana kini gemar berkerja bersama-sama dengan komposer dari Indonesia seperti Deddy Dores
(Fail Foto The Star)

Dia turut mengakui bahawa lagu terbarunya itu sudahpun menerima sambutan yang memberangsangkan daripada peminat-peminatnya.

"Sememangnya Nana berhajat besar untuk melebarkan sayap Nana ke seberang. Tetapi  Nana kini  hanya menunggu masa sahaja kerana pihak FMC Records masih dalam proses perbincnagan dengan pihak di sana,"ujar Nana mengenai kelewatan perlaksanaan rancangannya ke negara seberang yang telah dilakukan oleh pihak FMC pada lewat bulan November tahun yang lalu.

Ketika ditanya tidakkah tindakan Nana bagaikan meminggirkan komposer-komposer tempatan, dia menjawab, "Nana amat menghormati komposer-komposer tempatan cuma Nana kini  mahu memasarkan album Nana ke Indonesia nanti.

"Oleh itu, Nana rasa ianya lebih baik jika Nana menggunakan khidmat mereka kerana mereka tahu apa yang dihendakki pasaran di sana ."

Namun sepanjang pembabitan gadis berusia 23 tahun ini, pelbagai gelaran dan jolokan nama telah diberikan kepadanya.

Antaranya jolokan penyanyi kampung kerana majoriti peminat-pemintanya adalah penduduk yang berada di luar kawasan bandar.

"Nana tidak kisah jika Nana diberi jolokan penyanyi kampung. Sungguhpun menerima jolokan itu, album dan lagu-lagu Nana tetap laku.

"Itu yang paling penting sekali. Malah, apa yang hendak dimalukan apabila kita dikaitkan dengan kampung, bukankah kita semua berasal dari kampung juga?" tegas penyanyi lagu Dalam Gerimis Hati Menangis itu lagi mengenai jolokan penyanyi kampung yang sentiasa diberikan kepadanya.

Nana belum berbadan dua

Sudah hampir setahun, Nana bersama-sama suaminya tercinta Mohd. Faizal Yusop mendirikan rumahtangga. Terdapat jua khabar angin yang mengatakan bahawa penyanyi jelita itu sudahpun berbadan dua.

"Nana belum lagi mengandung. Kalau Nana mengandung, sudah pastinya Nana akan memberitahu anda kalian," ujar Nana mengenai khabar tersebut.

"Siapa yang tidak mahu mempunyai anak? Nana teringin untuk menimang anak tetapi apakan daya, belum ada rezeki. Nana hanya berserah sahaja," ujar Nana lagi.

Rahmat Ekamatra kekalkan identiti rock melayu

Pada majlis yang sama, Rahmat Ekamatra turut membuat penampilan untuk menguar-uarkan kemunculan album repackaged Antologi.

"Saya tidak hilang ke mana-mana cuma saya masih dalam proses mencari bahan-bahan baru untuk album," ujar penyanyi yang berasal dari Kota Tinggi itu setelah ampat tahun menyepikan diri daripada persada hiburan tempatan.

"Salah satu sebab mengapa saya mengambil masa yang lama untuk kembali semula dalam bidang ini adalah saya mengambil masa yang lama untuk mencari Wan Zul.

"Dia merajuk selama lapan tahun dan saya bertekad untuk menariknya semula ke bidang hiburan ," ujar Rahmat yang lagi mengenai pencarian komposer yang pernah menghasilkan lagu Siapa Di Hatimu untuknya pada tahun 1995 menerusi album Rahmat 3.

"Saya teringin benar untuk bergabung tenaga bersamanya kerana saya tahu dia merupakan seorang komposer yang berbakat besar.

"Jika kita tidak memberi sebarang penghargaan terhadapnya, lama-kelamaan hasil nukilannya akan dilupakan," ujar Rahmat yang berjaya memujuk Wan Zul untuk menghasilkan baru Terpisah Jua yang dimuatkan ke dalam album Antalogi.

Antalogi turut memaparkan dua buah lagu baru yang lain termasuk Kasih Menantimu oleh Patrik Khamis dan Apa Makna Mencintai oleh Eddie Hamid dan Azam Dungun.

Ironinya, lagu-lagu yang baru tersebut tidak lari daripada lagu-lagu lamanya seperti Pusara di Lebuhraya, Siapa Di Hatimu, Kasihku Abadi dan Satu Persinggahan.

"Apabila saya membuat album, saya akan pastikan saya mempunyai arah serta identiti tersendiri. Saya mementingkan originality (keaslian) berpandukan siapakan diri saya yang sebenarnya.

"Saya membuat lagu untuk peminat-peminat saya sahaja," ujar Rahmat yang enggan berkompromi dengan perubahan arus perdana dunia muzik tempatan.

"Saya sudah melalui zaman dangdut, hip hop dan alternative tetapi saya tidak semestinya mengikut trend dengan mengorbankan identiti saya. Biarkah saya buat apa yang saya mahukan dan serasi dengan jiwa saya," tegasnya lagi.

  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel