|
|
HIBURAN
Khamis Jun 14, 2007
Natasha Hudson ceburi bidang penulisan
EKSPLORASI dan ingin mencuba sesuatu yang baru... Begitulah semangat yang ditanamkan oleh pelakon jelita Natasha Liana Hudson atau Natasha Hudson dalam mengembangkan bakat seninya. Pelakon jelita kacukan Australia-Melayu ini sekali lagi mengorak satu langkah ke hadapan apabila dia kini bergelar sebagai penulis. "Saya sememangnya meminati sastera baik Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris. Saya amat menggemari menulis dan cara yang terbaik untuk meluahkan perasaan adalah menerusi kata-kata," ujar wanita yang berusia 25 tahun itu ketika diwawancara menerusi telefon. Pembabitan Natasha dalam dunia penulisan bermula sejak dirinya dibangku sekolah lagi. Dia menjinak-jinakkan diri dengan menulis puisi berbahasa Inggeris. Hanya kini pelakon filem seram Chermin memberanikan diri untuk menghasilkan dua buah buku yang mengandungi puisi serta cerita pendek yang dikhususkan untuk kanak-kanak. Pelakon yang menggemari penulis seperti Tim Burton, Dewi Lestari dan Pablo Neruda memfokuskan penulisan bukunya untuk golongan kanak-kanak. "Saya telah menghasilkan dua buah buka yakni Puisi Indah Si Pari-Pari dan My Heart My Soul My Passion. Menerusi buku My Heart My Soul My Passion, saya telah mengumpul puisi-puisi yang saya hasilkan sejak umur 12 tahun lagi. "Manakala Puisi Indah Si Pari-Pari mememuatkan puisi serta cerita pendek yang saya hasilkan pada akhir tahun yang lalu," ujar heroin Tipu Kanan Tipu Kiri itu mengenai projek yang membuatkan dirinya teruja. "Puisi Indah Si Pari-Pari mengandungi 20 buah cerita dan puisi. Antaranya adalah Kepadamu dan Ratuku. Kepadamu merupakan sebuah kisah yang berkait rapat dengan kehidupan saya terutamanya perjalanan hidup saya serta liku-liku kehidupan yang saya sudah lalui," ujar natasha lagi. Manakala Ratuku pula diciptakan khas untuk ibunya yang menjadi nadi utama di dalam kehidupannya. "Puisi ini diciptakan untuk memberi penghormatan dan menunjukkan bahawa saya amat berterima kasih kepadanya kerana menjaga saya," ujarnya lagi. Namun, puisi-pusi yang dikompilasikan ke dalam My Heart My Soul My Passion memaparkan luahan hati Natasha secara lebih mendalam lagi. "Him and Her mengenai sebuah pertemuan di antara seorang lelaki dan wanita yang mempunyai banyak perbezaan di antara satu dengan yang lain serta ianya menceritakan bagaimana mereka disatukan dalam sebuah pertemuan yang aneh. "Ramai terutamanya keluarga serta penerbit saya menganggap bahawa pusi ini merupakan satu refleksi terhadap pengalaman hidup saya. Saya tidak mahu berkata apa-apa kerana ini adalah hak pembaca untuk mentafsirkan maksud tersirat di dalam puisi ini," ujarnya lagi. Antara hasil nukilan yang turut dekat kepada hati Natasha adalah Angel Of Mine, Boredom dan White Skies. Natasha turut menghasilkan sebuah puisi untuk ibunya menerusi buku ini yakni Mama. Kedua-dua buku mempunyai banyak ilustrasi serta gambar-gambar untuk menarik pembaca-pembaca kecil. "Kanak-kanak termasuk golongan dewasa suka sesuatu yang berwarna dan bergambar. Oleh itu, saya amat mementingkan elemen grafik termasuk lukisan serta fotograf-fotograf yang merupakan koleksi peribadi saya untuk dimuatkan ke dalam buku-buku saya," ujar graduan jurusan Rekaan Grafik di Univesity Of Chicago. "Saya sendiri memantau 100% produksi buku ini," ujarnya mengenai buku yang diterbitkan oleh Ned Production dan diedarkan oleh Ediplex Sdn Bhd. Sebanyak 5,000 naskah bakal diedarkan ke kedai-kedai buku. "Saya sendiri akan mengedarkan buku-buku ini secara peribadi," ujarnya lagi. Buku Puisi Indah Si Pari-Pari dan My Heart My Soul My Passion yang berharga RM29.90 akan diedarkan pada hujung minggu ini di semua kedai-kedai buku.
Status selebriti atasi risiko Namun setiap cabang baru kerjaya sudah pastinya ada risiko. Apatah lagi, jarang sekali ada artis yang mahu menceburi bidang penulisan kerana pasaran buku di Malaysia yang agak hambar. "Saya menyedari hakikat dan risiko ini. Namun, saya sudahpun mempunyai beberapa pelan tindakan yang saya bakal ambil. "Memandangkan kedua-dua buah buku ini adalah untuk kanak-kanak, saya sudahpun merangkakan satu promosi bergerak dari sekolah ke sekolah," ujar Natasha lagi mengenai kebimbangan jika buku-buku tersebut tidak mencapai sasaran pembaca. Selain daripada itu, Natasha mahu mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan Kementerian Pendidikan untuk menghasilkan satu usahasama bersama kementerian tersebut. "Saya mahu menyertai mana-mana festival buku yang dikelolakan oleh pihak mereka agar saya dapat mencapai sasaran saya dan saya mahu menyertai mana-mana persatuan penulis berdaftar," ujarnya lagi. Ketika ditanya jika status selebriti mampu mambantunya menjual buku-bukunya, Natasha menjawab, " Saya tidak dapat menafikan bahawa status saya membantu saya banyak. Bukan sahaja niat ikhlas Natasha untuk memupuk minat membaca di kalangan kanak-kanak tetapi pelakon ini juga turut akan mendermakan RM1 setiap penjualan bukunya kepada sebuah organisasi kebajikan. "RM 1 akan diambil daripada setiap penjualan buku untuk diberikan kepada Malaysian Children Aid Society (Masco)," ujar Natasha yang sudah membabitkan diri dalam organisasi kebajikan tersebut sejak dua bulan yang lalu. "Masco adalah sebuah badan kebajikan yang membantu kanak-kanak yang berada dalam kesusahan. "Kami mengambil kes-kes kronik di mana kanak-kanak tersebut mempunyai salah seorang ibu bapa yang menghidapi kanser dan mereka tidak berupaya untuk menjaga serta memberi bantuan kewangan kepada anak-anak mereka," jelas Natasha mengenai kegunaan tabung yang ingin disalurkan kepada Masco. Natasha turut dikatakan akan melangsungkan perkahwinannya bersama seorang pemuda yang berstatuskan 'Datuk' di Hotel Carcosa Seri Negara pada bulan Ogos nanti. Ketika ditanya mengenai gosip tersebut, Natasha sambil enggan mengulas lanjut menjawab, " Saya tidak suka membicarakan isu mengenai hal peribadi saya secara terbuka. Kalau nak tahu pun, kita tunggu dan lihat sahaja." |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES
|
|||||||