|
|
HIBURAN
Selasa Jun 19, 2007
Kumpulan MyStarz 'pulihkan' LG House
Tentunya lebih afdhal jika kita membuat kenduri tahlil dan doa selamat sebelum memasuki rumah baru. Dan inilah yang berlaku ketika tenaga pengajar dan 12 orang pelajar MyStarz, LG masuk rumah LG House yang terletak di atas bukit, di Jalan Permai, Taman Seputeh. Tenaga pengajar, krew dan juga pelajar cuba 'pulihkan' keadaan rumah banglo tiga tingkat yang tersergam indah di atas bukit itu pada malam Jumaat minggu lepas dengan memulakan dengan bacaan yasin. "Rumah ini agak keras. Tambahan pula sudah lama tidak diduduki. Maka kami keluarga di MyStarz mengusulkan agar membuat tahlil, doa selamat dan acara membaca yasin pada Malam Jumaat yang lalu," jelas penerbit MyStarz, LG Jafni Abu Bakar. Menurut Jafni lagi, upacara membaca yasin dan juga kenduri tahlil akan dilakukan dari masa ke semasa untuk mengeratkan lagi tali silaturrahim sesama pelajar dan juga tenaga pengajar. "Kami menggalakkan acara kekeluargaan supaya kesemua mereka yang terlibat akan merasa yang mereka satu keluarga. Nilai-nilai begini penting supaya mereka sedar dalam mengejar nikmat dunia, kita tidak boleh lupakan didikan agama yang telah diterap sedari kecil," jelas Jafni. 12 orang pelajar yang terdiri dari berbagai latar belakang telah pun mula menyesuaikan diri dengan persekitaran baru mereka. Segala pembelajaran muzik dilakukan di LG House sementara tempat penginapan pula disediakan oleh Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, antara penaja utama MyStarz, LG. Namun tahap kesihatan beberapa pelajar agak merunsingkan apabila hampir enam pelajar telah jatuh sakit dan demam sejak mereka memulakan pembelajaran. Proses penyesuaian diri yang sedang dilakukan ternyata memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit dari pihak tenaga pengajar, tenaga produksi dan juga pelajar sendiri. "Mungkin ada di antara mereka masih tidak biasa dengan persekitaran yang baru. Ada disebabkan keadaan cuaca yang berbeza antara sini dengan tempat asal mereka," jelas Jafni lagi. Menurut Jafni lagi, pihaknya sentiasa memantau perkembangan setiap pelajar MyStarz, LG baik dari segi kesihatan, prestasi mahupun emosi. "Kami mahu kesemua mereka bersedia dari segi mental dan emosi apabila konsert pertama bermula. Kami cuba memberi mereka tips untuk meghadapi saat sukar apabila mereka berdepan dengan tekanan dan apa saja yang negatif. "Ini adalah kerana mereka akan dapat melihat sendiri prestasi mereka melalui sistem SMS yang mengundi mereka, liputan media, respon dari penonton dan proses eliminasi. Mereka perlu bersedia melalui saat-saat ini," kata Jafni lagi. LG House yang dilengkapi barang-barang teknologi tinggi seperti bilik sound proof, pentas persembahan, audio, bilik editing dan bilik latihan bersama band iringan jelas membuat kesemua pelajar teruja. Mereka tidak sabar-sabar untuk mula berlatih bagi konsert pertama mereka yang akan dilakukan pada 1 Julai ini. "Kami cuba memberi pendedahan yang sewajarnya pada kesemua pelajar MY Starz, LG. Setiap orang berbakat dan kami cuba mengasah bakat mereka dengan memberi support system dan backup yang betul dari semua tenaga pengajar," jelas Jafni.
Bermula dari Ahad lepas 17 Jun nanti penonton boleh menyaksikan konsert 'live' daripada 12 finalis tersebut di TV3 pada jam 6 hingga 7 petang. Program realiti yang mempunyai format yang agak berbeza ini akan dihoskan bersama oleh Daphne Iking dan Naz Habibur Rahman. Format undian SMS juga digunakan di dalam program ini di mana hanya 40 peratus undian dikutip daripada SMS dan 60 peratus lagi daripada penilaian juri. PELAJAR MYSTARZ DIBERI PENDEDAHAN PERTAMA 12 finalis yang akan mula menunjukkan kemampuan masing-masing kelak adalah Hamiza Tasyha Bashir (Kuala Lumpur); Mimie Aishah (Kuala Lumpur); Rubisa Tiasin@Mimie (Kota Kinabalu); Rachel Wesley (Kota Kinabalu); Shaza Marina Azmi (Johor Bahru); Ahmad Aliff Afif Tirmizie (Kuala Lumpur); Russel Curtis (Kuala Lumpur); Mohd Emeer Iskandar Mohd Bakri (Kuantan); Badri Ibrahim (Kuala Lumpur); Andy Adrian J (Kota Kinabalu); Khairul Hizam Kaha (Kuching) dan Awang Jasmin Jaimin (Kota Kinabalu). Kesemua mereka terpilih daripada 24 peserta yang berjaya melepasi pusingan saringan yang dijalankan pada 8 Jun lalu di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka Pada hari Ahad lepas, untuk pertama kalinya juga, tiga orang pelajar telah diberi exposure untuk menyanyi di khalayak ramai sempena sambutan Hari Bapa di Zende Restaurant, Hotel Seri Pacific baru-baru ini. Tiga pelajar iaitu Emeer, Afif dan Awang telah diberi cabaran pertama untuk menyanyi secara live dengan diiringi kumpulan in-house Hotel Seri Pacific iaitu penyanyi utama Nico dan pemain piano bernama Mohd Nor. Afif dan Awang telah diberi lagu Biar Bulan Bicara dan Emeer pula menyampaikan lagu Gadis Melayu. Penampilan artis kecil berusia 11 tahun ini ternyata berjaya membuat ramai orang terpesona dengan gaya persembahannya yang bersahaja. Menurut Jafni lagi, "Latihan seperti ini adalah satu tugasan khas untuk para pelajar dan ianya akan selalu dilakukan untuk membiasakan diri mereka dengan keadaan mereka sebagai artis baru dan juga untuk memupuk semangat keyakinan mereka." MyStarz mempunyai kelainan tersendiri dimana setiap pelajar akan diberikan pendedahan untuk menjadi penyanyi. Mereka juga akan terlibat dalam program kebajikan dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Peserta juga akan diberi tips tentang perhubungan awam dan bagaimana untuk menjawab soalan-soalan dari pihak media. Setiap peserta juga akan diberi grooming dari minggu pertama sehinggalah ke akhir episod. Juara MyStarz berpeluang memenangi wang tunai berjumlah RM100,000, sebuah TV LCD berukuran 42" (kedua-dua tajaan LG) dan rakaman album dengan rekod label antarabangsa. Selain daripada hadiah-hadiah di atas, pihak LG juga akan menaja berbagai alat elektrik keluaran LG dan juga telefon bimbit terbaru keluaran LG iaitu LG Shine KE970, penghawa dingin dan juga Chocolate Audio sistem yang terbaru. Penaja utama MyStarz, LG ialah LG sementara penaja penginapan rasmi ialah Best Western Premier Seri Pacific Hotel. Penaja bersama lain ialah Yamaha Music, Proton Holdings Berhad, KCC Paint Sdn Bhd, Ayamas Food Cooperation manakala penaja pakaianialah Rizman Ruzaini, ADIDA (M) Sdn Bhd dan Converse (M) Sdn Bhd. |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES |