|
|
HIBURAN
Selasa Jun 19, 2007
Sofaz lebih dikenali di negara jiran
Jarang sekali mana-mana band tempatan berjaya mencipta nama di negara luar sebelum mengecapi sukses di negara sendiri. Begitu juga band tempatan yang merangkul kejayaan mahupun menerima anugerah di negara jiran terlebih dahulu sebelum menerima sebarang pengiktirafan daripada negara sendiri. Tapi itulah kisah kumpulan yang terdiri daripada enam orang anak muda yang terdiri daripada Amir Mahiyiddin (Are-Meer), 23, selaku vokalis, Wan Shahbaharin Niktah (Shah), 28, gitaris; Ahmad Fairouz Mohamad atau Fairouz, 26, pemain bass; Wan Shah Baharom Niktah (One), 26, dram, Zarimi Zahari (Zimi), 23 sebagai vokal dan gitar kedua serta Rodie Jamun, 28, pemain keyboard yang menerima anugerah sebagai Duo / Band Paling Popular Anugerah Planet Muzik 2007 yang berlangsung di Singapura baru-baru ini. "Kami terkejut dan tidak sangka bahawa kememangan ini milik kami. Apatah lagi, bila kami menewaskan nama-nama besar seperti Dewa 19, Search, Nidji dan Samsons yang dikatakan otai serta kumpulan favourite yang dijangka memenangi kategori tersebut," ujar Are-Meer menerusi wawancara telefon. "Ini merupakan anugerah pertama kami sepanjang empat tahun pembabitan kami dalam industri ini. Kami sangat terharu apatah lagi anugerah itu berdasarkan undian peminat-peminat di tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura," ujarnya lagi. Malah, anggota-anggota band tersebut pada mulanya agak terkejut ketika dicalonkan menerusi kategori tersebut. "Sememangnya kami merasakan bahawa kami tidak akan layak disenaraikan sebagai finalis untuk kategori tersebut. "Kami cuma bersyukur ada pihak yang memberikan pengiktirafan untuk meletakkan nama kami dengan nama-nama yang gah di persada muzik nusantara. Kami tidak pernah meletakkan sebarang harapan untuk menang," ujar Are-Meer lagi. Ketika mereka diumumkan sebagai pemenang pada malam tersebut, Sofaz berada di Danga Bay, Johor Bahru untuk promosi bergerak Hotlink di karnival Jom Heboh. "Kami hanya ke Singapura pada hari berikutnya untuk mengambil anugerah tersebut. Walaubagaimanapun, kami tidak pernah menyesali keputusan kami untuk menghadiri anugerah tersebut kerana kami sudahpun berjanji kepada penganjur untuk turut serta di Johor," ujar Are-Meer ketika ditanya jika Sofaz menyesali keputusan mereka yang tidak menghadiri majlis berprestij tersebut. Sofaz yang pernah dicalonkan untuk kategori Album Pop Rock Terbaik AIM 2006 menerusi Janjiku turut menafikan bahawa mereka berasa hati kerana belum menerima sebarang pengiktirafan dalam industri muzik tempatan. "Terpulang pada hak masing-masing untuk menilai kami. Kami cukup berbangga dengan pencalonan kami menerusi AIM yang lalu dan kami tidak kisah jika kami belum lagi memenangi sebarang anugerah di bumi sendiri," tegas Are-Meer mengenai fenomena yang melanda Sofaz apabila mereka dikatakan kurang diberi perhatian di dalam industri muzik tempatan.
Kami bukan band celup dari Indon Menerusi album kedua mereka, Sofaz seringkali menerima jolokan band celup dari Indonesia kerana terdapat persamaan yang banyak menerusi lagu-lagu mereka dengan band-band dari negara jiran. Namun, Sofaz bertegas bahawa hasil karya mereka merupakan sesuatu yang diadaptasi daripada muzik dari Barat. "Kami amat meminati band-band seperti Muse dan Greenday. Malah mereka merupakan idola kami dalam menghasilkan karya-karya kami. "Walaupun ramai yang mengatakan bahawa lagu-lagu Sofaz bagaikan mengikut pop Indon, kami percaya bahawa ini merupakan sesuatu kebetulan sahaja. "Band-band seperti Peterpan dan Nidji mengambil langkah untuk mengadaptasi lagu mereka dengan muzik dari barat jua. Mungkin kerana inilah lagu kami seakan-akan seperti dari seberang," jelas Are-Meer lagi mengenai persamaan muzik dengan band-band dari Indonesia. "Hanya mereka yang kenal dan mempunyai album Sofaz sahaja yang tahu bahawa inilah konsep kami sejak album pertama kami iaitu Cintaiku. "Cuma menerusi album Janjiku kami banyak membuat improvasi serta perubahan mengikut kehendak pasaran yang ada," ujar Are-Meeer yang mengambil kira-kira dua tahun untuk menghasilkan Janjiku bersama anggota-anggota yang lain. Album ketiga bakal menyusul? Dengan album yang sudahpun laku di pasaran Maalysia dan Indonesia, Sofaz masih dalam perancangan untuk merangka album ketiga mereka. "Kami sudahpun menyiapkan kira-kira empat ke lima buah lagu untuk album ketiga kami. Walaupun ianya masih awal lagi untuk membiacarakan dengan lebih lanjut, kami tetap berhasrat untuk menggunakan khidmat komposer baru tempatan seperti Taja dan Taz. "Merekalah yang bertanggungjawab menghasilkan lagu Janjiku," ujar Are-Meer mengenai perancangan album terbaru mereka nanti. Selain daripada itu, Sofaz turut berhajat meminta bantuan vokalis band Ungu dari Indonesia, Pasha untuk menghasilkan lagu untuk mereka. "Sewaktu kami di Indonesia tidak lama dahulu, kami berkunjung ke rumah Pasha. Dia telah mendengar album Janjiku dan menyukai album kami. "Malah, isterinya turut meminati lagu Janjiku. Dia berkata jika ada masa, dia akan menghasilkan sebuah lagu untuk kami," ujarnya mengenai koloberasi bersama-sama vokalis tersebut. |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES |