HIBURAN

MyStarz, LG terapkan ikatan kekeluargaan yang erat

Bukan mudah menzahirkan kebahagiaan melalui sebuah institusi yang bernama ‘keluarga’. Kata-kata dan perbuatan adalah penting untuk menyalurkan rasa sayang sesama keluarga, tambahan pula kalau kita mempunyai anggota keluarga yang besar seperti MyStarz, LG.

12 finalis MyStarz, LG yang terdiri dari Tasyha Bashir (Kuala Lumpur); Mimie Aishah (Kuala Lumpur); Rubisa Tiasin@Mimie (Kota Kinabalu); Rachel Wesley (Kota Kinabalu); Shaza Marina Azmi (Johor Bahru); Ahmad Aliff Afif Tirmizie (Kuala Lumpur); Russell Curtis (Kuala Lumpur); Mohd Emeer Iskandar Mohd Bakri (Kuantan); Badri Ibrahim (Kuala Lumpur); Andy Adrian J (Kota Kinabalu); Khairul Hizam Kaha (Kuching) dan Awang Jasmin Jaimin (Kota Kinabalu) sudah mula menunjukkan persefahaman dan kemesraan bagaikan 'adik-beradik.'


Pengetua Farihin Abdul Fattah mahu mengenali pelajarnya dengan lebih dekat
(Fail Foto The Star)

Sokongan padu yang ditunjukkan oleh Penerbit MyStarz, LG Jafni Abu Bakar atau Mat Jepp, Pengetua Farihin Abdul Fattah, pengarah muzik Aubrey Suwito dan juga tenaga pengajar yang lain menjadi proses mengenali hati budi masing-masing di antara mereka menjadi lebih mudah dalam waktu yang cukup singkat.

Mereka dapat rasakan asam garam kehidupan sebuah keluarga bahagia sejak berada di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur (penginapan rasmi) selama 3 minggu dan juga ketika mengikuti pembelajaran di LG House di Jalan Permai, Taman Seputeh.

Dengan latar belakang berbeza,  pelajar-pelajar yang berusia dari 11 tahun hingga ke 32, sedar perhubungan kekeluargaan bukan sahaja menuntut kesabaran tapi persefahaman.

Sesiapa yang melihat keakraban mereka pasti akan tersentuh kerana kemesraan yang terjalin bukan sekadar satu tontonan atau dibuat.


Russel Curtis bertindak sebagai abang
(Fail Foto The Star)

"Kami tidak pernah membiarkan apa sahaja yang terbuku dalam hati begitu sahaja tanpa meluahkannya. Gurau senda, usik mengusik merupakan perkara biasa dan kami bergaul seperti adik beradik dalam sebuah keluarga yang besar," jelas Russell Curtis yang selalu bertindak sebagai 'big brother' dalam keluarga MyStarz, LG.

Russell yakin kesemua mereka dapat memelihara perasaan harmoni yang ada sekarang sehinggalah mereka keluar nanti.

"Kami diajar supaya menerapkan perasaan keluarga dan bukan bersaing. Ini penting dan telah menjadi teras perhubungan antara kami. Apa saja masalah diselesaikan bersama. Yang muda akan beralah dengan yang lebih tua. Dan kadang-kala, yang tua pula kena mengalah.

"Adik-beradik saya di sini semuanya bijak menyesuaikan diri. Apa saja masalah ditangani bersama supaya ianya tidak berpanjangan. Kami ambil berat tentang satu sama lain, tidak kira soal kewangan atau nyanyian. Semuanya dikongsi bersama,'' ujar Shaza Marina atau lebih mesra dengan panggilan Nina.

"Kami senantiasa berkumpul ketika waktu makan dan latihan. Suasana yang bising dan gamat beginilah yang mewujudkan lagi kemesraan kami sebagai adik-beradik. Abang Jepp dan tenaga pengajar yang lain sering mengingatkan kami supaya menjaga ikatan keluarga ini dan jangan sesekali bergaduh.

Pesanan ini akan selalu kami ingat dan ianya membuat hubungan kami lebih rapat. Dia pesan jika berlaku perselisihan faham hendaklah diselesaikan supaya tidak melarat menjadi pergaduhan yang besar.

"Abang Jepp selalu pesan supaya sayang adik-beradik. Kami digalak tegur menegur dan menasihati satu sama lain dan senantiasa ingat asal usul kami supaya kami tidak mudah lupa diri," kata Rubisa pula.

Bagi Tasya, persefahaman dan tolak ansur menjadi asas yang kuat perhubungan ke12 mereka.

"Dalam sebuah keluarga yang besar seperti di MyStarz, kami diajar untuk tidak bersifat pentingkan diri dan utamakan ikatan keluarga. Rasa hormat untuk abang atau kakak yang lebih tua penting,'' jelas Ijam yang mesra dengan panggilan Abang Long.

Di samping sering berinteraksi, kesemua pelajar di MyStarz, LG dapat mencari kekuatan dan semangat di antara mereka terutama apabila menghadapi cabaran menghadapi konsert pertama mereka Ahad ini, 1 Julai di Plaza Alam Sentral, Shah Alam dari jam 6 petang hingga 7 malam.

Menurut Jepp, beliau amat titik beratkan silaturrahim antara ke 12 pelajarnya.


Menurut Jepp, manfaat yang bakal diperoleh daripada MyStarz amat berharga
(Fail Foto The Star)

"Bila dah keluar nanti takut lain cerita. Maklum sajalah dalam industri hiburan, mereka akan terdedah dengan dengki mendengki, hasut menghasut, khianat, fitnah dan apa saja perkara negatif. Ini semua akan menyisihkan dan merenggangkan hubungan antara mereka. Dan saya tidak mahu ini berlaku," ujar Jepp.

Katanya lagi, "Apabila perhubungan kekeluargaan ini longgar, kesannya besar dan tidak sihat. Jadi saya cuba terapkan nilai-nilai murni seperti peribadi seorang kakak atau abang perlu bersifat tolak ansur terhadap adiknya, seorang adik pula perlu hormat pada yang lebih tua."

"Di harap konsep kekeluargaan yang kami terapkan akan mampu mengekang apa saja sifat negatif yang akan timbul belakang hari nanti," jelas produser berhemah ini.

Walaupun ianya sebuah program realiti seperti Akademi Fantasia, One In A Million dan Mentor, MyStarz, LG mempunyai kelainan tersendiri dimana setiap pelajar akan diberikan pendedahan mengenai tips perhubungan awam dan bagaimana untuk menjawab soalan-soalan dari pihak media. Setiap peserta juga akan diberi grooming dari minggu pertama sehinggalah ke akhir episod.

Juara MyStarz berpeluang memenangi wang tunai berjumlah RM100,000, sebuah TV LCD berukuran 42" (kedua-dua tajaan LG) dan rakaman album dengan rekod label antarabangsa.

Selain daripada hadiah-hadiah di atas, pihak LG juga akan menaja berbagai alat elektrik keluaran LG dan juga telefon bimbit terbaru keluaran LG iaitu LG Shine KE970, penghawa dingin dan juga Chocolate Audio sistem yang terbaru.

Penaja utama MyStarz, LG ialah LG sementara penaja penginapan rasmi ialah Best Western Premier Seri Pacific Hotel. Penaja bersama lain ialah Yamaha Music, Proton Holdings Berhad, KCC Paint Sdn Bhd, Ayamas Food Cooperation manakala penaja pakaianialah Rizman Ruzaini, ADIDA (M) Sdn Bhd dan Converse (M) Sdn Bhd. 

Kesemua 12 pelajar MyStarz, LG akan menjadi Duta LG sebaik mereka tamat tempoh pembelajaran.

  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel