|
|
HIBURAN
Jumaat Jun 29, 2007
Safura dengan watak tragis dalam Raksasa
Sebut sahaja Raksasa, ramai akan menggambarkan ianya satu mahluk yang pelik dan menakutkan. Itulah yang ingin disampaikan menerusi drama terbaru yang bakal bersiaran di stesen televisyen swasta, TV3 yang ironinya berjudul Raksasa. "Raksasa melambangkan konflik kehidupan seorang wanita bernama Paridah yang terpaksa mengharungi kehidupannya dengan pelbagai diskriminasi. "Diskriminasi ini tercetus akibat penyakit kulit yang dihadapinya sejak lahir lagi," jelas Raja Ahmad Alauddin selaku pengarah semasa pratonton drama Raksasa di Sri Pentas baru-baru ini. Watak Paridah dimainkan oleh tiga orang pelakon daripada tiga peringkat usia yang berbeza. Mereka adalah Puteri Fatin Aleya, Puteri Fatin Nasuha dan Safura. "Namun, apa yang ingin saya tonjolkan adalah metamorfosis kehidupannya menerusi tiga peringkat yakni dari usia 12 tahun ke 17 tahun sehinggakan ke usia awal 30an. "Ketiga-tiga peringkat ini menunjukkan kepayahan yang ditempuhinya termasuk konflik dengan ibu tirinya serta kematian suaminya yang meninggal kerana penyakit HIV. "Konflik ini terus berlanjutan apabila dia memberikan anaknya untuk dijadikan sebagai anak angkat kerana tidak mahu anaknya terseksa dengan kehidupan yang dijalaninya," jelas pengarah itu lagi mengenai drama terbitan Grand Brilliance Bhd itu. Namun hasrat yang ingin disampaikan oleh pengarah filem Qaisy dan Laila itu adalah untuk menekankan perjuangan sesetengah golongan wanita yang memiliki keadaan fizikal yang lemah tetapi mempunyai semangat membara untuk hidup. "Menerusi episod-episod terakhir, Paridah yang dimainkan oleh Safura hanya mampu terlantar di atas katil hospital kerana sudah tidak berupaya melawan penyakit AIDS. "Namun, dia tetap berhasrat untuk bertemu dengan anaknya (dimainkan oleh Diana Rafar) yang sudah lama terpisah. Adegan seperti itu akan membuatkan orang teruja dan kagum dengan semangat yang ada dalam dirinya," ujar Raja Ahmad lagi. Raksasa yang turut dibintagi Azizah Mahzan, Maimon Talib dan Sidek Hussein akan bersiaran setiap Ahad pada jam 9 malam bermula pada 1 Julai ini.
Safura tidak kisah dikenali dengan watak tragis Wanita yang kini dikenali sebagai pelakon yang seringkali memegang watak tragis, Safura bagaikan sinonim dengan watak yang dimainkan menerusi Raksasa. "Walaupun ramai yang mengatakan bahawa setiap watak tragis yang saya mainkan adalah sama sahaja, namun saya memberi penghayatan yang berbeza untuk setiap watak. Menerusi watak Paridah, dia bukan sahaja sakit secara batin tetapi zahir jua. "Dia menerima diskriminasi yang teruk kerana penyakit kulitnya yang amat menonjol sejak kecil lagi. Apatah lagi, dia turut terseksa apabila dia terjangkit dengan penyakit AIDS daripada suaminya," ujar Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Seri Angkasa 2006. Namun pelakon drama Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan tidak kisah jika dirinya menerima stigma bahawa dia serasi membawa watak gologan hawa yang terseksa. "Saya tidak hanya melakonkan watak seperti Paridah sahaja. Sepanjang kerjaya saya sebagai pelakon, saya pernah memegang watak jahat serta komedi. "Apakan daya, saya merasakan bahawa saya lebih serasi dengan watak wanita yang ditindas dan hasil kerja saya menerusi watak seperti ini lebih diberi penghargaan," ujar pelakon yang memulakan kerjaya sebagai penyanyi.
Berpelukan dengan Kazza- Diana rasa pelik Turut membintangi drama bersiri ini adalah pelakon sensasi Diana Rafar yang memegang watak Fiona yakni anak kepada Paridah. "Menerusi drama ini, watak saya berada dalam proses pencarian siapakah ibunya yang sebenarnya. Bukan sahaja dia terpaksa melalui konflik pencarian ibunya, dia terpaksa menghadapi cobaan dunia remaja terutamanya gejala sosial," ujar pelakon yang berusia 24 tahun itu lagi. Drama Raksasa turut melihatkan Diana melakonkan beberapa adegan yang belum pernah dilakukannya. "Saya bersama Kazza yang memegang watak teman lelaki saya bernama Roy, terpaksa berpelukan dalam durasi yang agak lama sehinggakan saya naik angin dengan Kazza . Lantas saya menyuruhnya betul-betul memeluk saya agar adegan itu cepat ditamatkan," ujar pelakon Susuk itu lagi. Malah dia bersama Kazza turut melakonkan babak menginap di hotel bersama-sama. "Bayangkan saya membuat benda-benda yang saya tak pernah buat selama ini seperti check in bersama Kazza dalam bilik hotel serta berbaring di atas katil bersamanya. "Inilah kali pertama saya melakukan adegan-adegan yang berani seperti ini," ujar adik kepada Linda Rafar itu mengenai cabaran berlakon menerusi drama tersebut. Namun adegan kurang ajar kepada keluarga turut memberi cabaran yang baru terhadap Diana. "Setelah mengharungi pelbagai konflik, Fiona menjadi semakin degil dan biadap. Dia berani bertengkar dengan ibu angkatnya serta melarikan diri dari rumah. Ini merupakan sesuatu yang amat berbeza dengan sikap saya yang sebenar," ujarnya lagi. Fatin Nasuha berlari-larian di Pudu Pelakon muda, Puteri Fatin Nasuha adalah antara tunggak utama untuk drama bersiri Raksasa. Malah drama tersebut memberikannya satu peluang untuk memainkan peranan yang berat berbanding dengan drama-dramanya sebelum ini. "Inilah kali pertama saya harus bermain dengan emosi saya dengan sepenuhnya. Sebagai seorang pelakon muda, senario seperti yang dihadapi oleh Paridah merupakan satu senario yang amat sukar untuk dijiwai," ujar pelakon yang berusia 17 tahun itu. Watak Paridah turut mencabar Fatin dalam mengatasi norma-norma serta adat budaya masyarakat setempat. "Bayangkan dia berkahwin pada usia yang muda. Apatah lagi dia mengandung ketika dia dibangku sekolah lagi," ujar Fatin lagi. "Antara adegan yang saya harus lakonkan adalah beranak di dalam kelas serta membawa seorang bayi ke sekolah setiap hari," ujarnya pelakon filem Ablasa ini lagi. Namun, pengalaman berjalan di sekitar Pudu Raya dalam keadaan fizikal menjijikan ketika penggambaran antara pengalaman yang berharga untuknya. "Orang memandang saya dengan jijik dan menghinakan. Namun, ada yang prihatin kepada saya dan menawarkan saya makanan. "Pengalaman ini tidak akan saya lupakan. Malah, ini mengubah persepsi saya mengenai orang yang kurang bernasib baik. Ia mengajar saya untuk tidak merendah mereka yang mempunyai kekurangan fizikal," ujar Fatin lagi. |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES |