HIBURAN

Aznil masih belum buat keputusan


Aznil kini masih memikirkan masa hadapannya setelah kontrak bersama Astro tamat
(Foto The Star oleh Glenn Guan)

NAMA Aznil Haji Nawawi bagaikan sudah sinonim dengan stesen televisyen berbayar Astro.

Ramai melihatkan personaliti televisyen yang tersohor itu antara pemangkin kepada populariti beberapa rangkaian yang bersiaran menerusi Astro seperti Ria serta Prima.

Pengacara yang memulakan sillaturrahim kerja bersama Astro menerusi Akademi Fantasia 1 pada tahun 2003, kini samar-samar akan masa hadapannya apabila kontrak bersama-sama Astro bakal berakhir pada bulan September ini.

"Saya kini membuka pintu peluang kepada diri saya sendiri untuk memilih yang terbaik untuk kerjaya saya.

"Saya sedar saya hanya mempunyai tiga bulan sahaja untuk memikirkan ke manakah hala tuju kerjaya saya sejurus sahaja kontrak saya tamat," ujar pengacara berusia 45 tahun itu ketika diwawancara di sesi rakaman program Tom Tom Bak di Studio 8, Wisma Ali Bawal baru-baru ini.

"Saya harus mengambil kira daripada setiap sudut sebelum membuat sebarang keputusan. Saya mahu sesuatu yang dapat menjamin kehidupan saya selepas bersara.

"Saya kan sudah berusia 45 tahun dan menghampiri ke penghujung kerjaya saya," ujar Aznil lagi mengenai beberapa pertimbangan yang diinginkan sebelum memberi sebarang keputusan muktamad.

"Saya memerlukan sesuatu yang stabil. Maklumlah, saya pernah melalui pengalaman ketika tiada sesiapa yang mahu mengambil saya sebagai pengacara," tambahnya lagi.

Namun, bekas pengacara Melodi ini turut terbuka kepada idea untuk bekerja sebagai pengacara freelance.

"Adakalanya elok jika seseorang itu berkerja secara freelance di mana dia tidak akan terikat dengan mana-mana pihak," kata pemenang anugerah pengacara terbaik Anugerah Seri Angkasa dua tahun berturut-turut.


Aznil banyak mengecapi pembaharuan dalam bidang penyiaran bersama-sama Astro seperti AF, Macam-Macam Aznil dan Tom Tom Bak
(Foto The Star)

Sayang untuk tinggalkan Astro

Tidak dapat dinafikan bahawa sememangnya berat untuk hati Aznil meninggalkan bumbung di mana dirinya berteduh sejak empat tahun yang lalu.

"Kemeriahan Astro semakin menjadi-jadi dan terdapat pelbagai rancangan baru yang dipaparkan oleh Astro," tegas Aznil lagi mengenai percambahan rangkaian di Astro serta peningkatan jumlah penonton yang melanggani stesen prabayar tersebut.

"Astro kini sudah mencatat peningkatan penonton yang amat memberangsangkan dan boleh diibaratkan setanding dengan keluasan yang dicapai oleh stesen televisyen percuma.

"Bayangkan konsert akhir AF boleh mencecah kira-kira 2.9 juta penonton," ujar Aznil yang bangga dengan pencapaian Astro.

Malah, Aznil turut kagum dengan inovasi yang ditunjukkan oleh Astro yang berani mencuba sesuatu yang baru.

"Sebelum ini, tiada siapa yang percaya rancangan realiti berbentuk hiburan mampu mencipta fenomena baru tetapi dengan adanya AF, Astro berjaya mengubah arus perdana bidang hiburan di Malaysia," ujar Aznil.

Pelakon antagonis filem Cicak-Man itu juga tidak menafikan bahawa dia dan Astro sentiasa bergabung tenaga untuk mencipta rancangan-rancangan yang berformat baru serta lain daripada lain.

"Macam-Macam Aznil berjaya membuka ruang untuk percambahan rancangan talkshow yang lain dan memberi peluang untuk pengacara-pengacara mengemudi racangan berkonsepkan talkshow. 

"Malah sekarang Astro sekali lagi mengambil langkah untuk menerbit rancangan hiburan yang berdasarkan kanak-kanak yang memberi peluang kepada mereka untuk bersuara dan menunjukkan bakat mereka yakni Tom Tom Bak," ujar Aznil lagi.

"Saya suka membuat kelainan dan saya sendiri suka mencabar kemampuan saya untuk membuat sesuatu yang belum lagi difikirkan oleh mana-mana pihak. Saya sentiasa memikirkan konsep-konsep yang baru untuk dipertengahkan dalam dunia penyiaran," ujarnya lagi.


Aznil berpeluang untuk menyelami dunia kanak-kanak menerusi Tom Tom Bak
(Foto The Star)

Tom Tom Bak selami dunia kanak-kanak

Bak kata Aznil, dirinya selalu ingin mencuba sesuatu yang baru. Menerusi format baru yang ada pada Macam-macam Aznil , ramai yang menyedari bahawa pengacara yang serba boleh ini seringkali memaparkan kanak-kanak menerusi rancangannya tersebut.

"Konsep Tom Tom Bak ini amat unik sekali. Ini adalah salah satu rancangan yang memaparkan kanak-kanak serta berusaha untuk menyelami dunia kanak-kanak," ujarnya mengenai rancangan yang baru sahaja selsesai rakaman musim pertama sebanyak 13 episod dan bakal disiarkan pada 24 Jun nanti di saluran Astro Ceria pada pukul 12 tengah hari nanti.

"Di sini jugalah, kanak-kanak diberi peluang untuk menyalami dunia orang dewasa dan kita dapat melihat pendapat serta reaksi mereka menerusi pemikiran mereka mengenai dunia orang dewasa," ujar Aznil lagi.

Rancangan tersebut mempunyai tiga segmen iaitu Siapa itu, Jom Borak dengan Haziq and Friends dan Ada Bakat Ke?

Menerusi segmen Siapa Itu, kanak-kanak akan diberi peluang untuk melakonkan salah satu watak yang biasanya dipegang oleh orang dewasa,

"Pernah sekali salah seorang kanak-kanak undangan melakonkan watak Perdana Menteri Malaysia. Dia masuk ke dalam studio dan diiringi dengan sekumpulan bodyguard.

"Bukan itu sahaja, dia siap bersalaman dengan kesemua penonton-penonton di studio," ujar Aznil yang kagum dengan daya kreativiti kanak-kanak yang terbabit.

Segemen kedua memaparkan sesi diskusi bersama-sama sekumpulan kanak-kanak yang diketuai oleh seorang kanak-kanak berbakat besar bernama Haziq.

"Haziq ini bagaikan sidekick saya dalam segmen ini. Tidak dapat dinafikan bahawa Haziq sememangnya mempunyai bakat semulajadi dan dia memang petah berkata-kata," ujar Aznil lagi.

Menerusi segmen ketiga iaitu, Ada bakat Ke?, kanak-kanak diberi peluang untuk memaparkan bakat mereka tersendiri.

"Bukan sahaja bidang nyanyian, ada yang menari serta membuat demonstrasi seni mempertahankan diri," ujar Aznil lagi.   

Aznil turut mengakui bahawa bakat nyanyian yang ada pada setiap kanak-kanak yang mengambil bahagian amat mengagumkan.

"Vokal mereka amat bagus dan setiap kali mereka menyanyi, saya pasti tergamam dalam suasana kekaguman," ujarnya lagi.

  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel