HIBURAN

MyStarz: 24 mara ke final 'showcase' hari ini

Bertempat di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka semalam, 41 finalis program realiti terbaru, MyStarz telah berkumpul bagi mengikuti bengkel pembelajaran muzik selama dua hari bermula semalam dan hari ini.

Melalui pusingan saringan yang turut diadakan semalam, 24 daripada 41 peserta program tersebut layak ke peringkat seterusnya di mana 12 finalis akan dipilih menerusi satu lagi pusingan saringan yang akan diadakan pada hari ini bertempat di lokasi yang sama.

24 peserta yang berjaya melepasi pusingan tersebut adalah Noraniza Nordin; Hamiza Tasya; Mimi Aisya; Ahmad Alif Afif; Russel Curts; Hazlinda Haniff; Rubisa Tiasin; Ridzuan Wahid; Mohd Emeer Iskandar; Rachel Wesley; Umi Illyana; Al-Faharalrazi; Shaza Marina; Badri Ibrahim; Andy Adrian; Shaffienas Awang; Khairul Hizam Kaha; S.Saladin; Akbar Azmi; Khasyirah; Mohd Fauzi; Amran Sha; Norayu Damit dan Awang Jasmin.


24 finalis yang bakal ke peringkat seterusnya (Foto The Star oleh Azman Ghani)

"Sebenarnya kita memilih top 50 untuk dibawa pada hari ini, tetapi ada peserta yang menarik diri pada saat-saat akhir berikutan masalah tertentu, jadi kita hanya berjaya kumpulkan 41 peserta yang kita telah saringkan menerusi beberapa sesi ujibakat yang diadakan di seluruh negara.

"Kami tahu kami akan menghadapi kesukaran untuk memilih separuh daripada peserta ini untuk dibawa ke peringkat seterusnya kerana mereka memang benar-benar berbakat.

"Saya sendiri tertanya-tanya mengapa mereka ini tidak berada di dalam pertandingan lain yang pernah diadakan sebelum ini," ujar penerbit program, Jafni Abu Bakar.

12 finalis yang terpilih nanti akan mengikuti pembelajaran muzik di 'LG House' di mana mereka akan dilatih oleh sekumpulan pemuzik. Setiap Ahad, bermula 17 Jun nanti penonton boleh menyaksikan konsert 'live' daripada 12 finalis tersebut di TV3 pada jam 6 hingga 7 petang.

MyStarz diketuai oleh komposer hebat Farihin Abdul Fatah selaku Pengetua, Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik sementara pemuzik iringan adalah Andy Peterson, Nan Salleh, Steve Thornton dan pemain drum Luke Mason.

Ia akan dihoskan bersama oleh Daphne Iking dan Naz Habibur Rahman.

Format undian SMS juga digunakan di dalam program ini di mana hanya 40 peratus undian dikutip daripada SMS dan 60 peratus lagi daripada penilaian juri.

MyStarz mempunyai kelainan tersendiri dimana setiap pelajar akan diberikan pendedahan untuk menjadi penyanyi. Mereka juga akan terlibat dalam program kebajikan dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Mohd Emeer Iskandar, peserta paling muda juga layak ke peringkat seterusnya (Foto The Star oleh Azman Ghani)

Peserta juga akan diberi tips tentang perhubungan awam dan bagaimana untuk menjawab soalan-soalan dari pihak media. Setiap peserta juga akan diberi grooming dari minggu pertama sehinggalah ke akhir episod.

"Tujuan kita adakan program ini sama sekali bukan untuk bersaing dengan mana-mana program pencarian bakat yang lain. Kita ada kelainan dan kita sajikan kepada penonton apa yang mereka mahukan.

"Yang pentingnya bukan hadiah yang patut dikejar oleh peserta, tetapi ilmu dalam bidang muzik yang mereka pelajari sepanjang berada di dalam program inilah yang patut mereka hargai sebenarnya," kata Jafni lagi.

Juara MyStarz berpeluang memenangi wang tunai berjumlah RM100,000, sebuah TV LCD berukuran 42" (kedua-dua tajaan LG) dan rakaman album dengan rekod label antarabangsa.

Selain daripada hadiah-hadiah di atas, pihak LG juga akan menaja berbagai alat elektrik keluaran LG dan juga telefon bimbit terbaru keluaran LG iaitu LG Shine KE970, penghawa dingin dan juga Chocolate Audio sistem yang terbaru.

Komen finalis 'top 41'

Hamiza Tasya (20 tahun):

"Ini adalah pertandingan nyanyian pertama yang saya sertai dan tidak sangka berjaya hingga ke tahap ini. Saya lihat kebanyakan peserta memang ada bakat tersendiri. Jika berjaya mara ke peringkat seterusnya, memang satu tuah untuk saya!"

Siti Saerah Taruddin (24 tahun):

"Selepas gagal dalam One In A Million, memang saya nekad untuk tidak putus asa dan sebab itu saya sertai MyStarz. Jika ingin dibandingkan dua program ini, terus-terang saya katakan MyStarz lebih mencabar sebab ramai peserta boleh bermain muzik dan ada yang sudah berpengalaman di dalam bidang ini."

Mohd Emeer Iskandar (12 tahun):

"Menjadi peserta yang paling muda memang menakutkan saya sebenarnya. Tetapi saya kena beranikan diri dan nasib baik ibubapa saya sentiasa bagi sokongan pada saya. Tentang persekolahan, saya sedar saya akan menduduki UPSR tidak lama lagi tetapi saya tidak begitu risau sebab tutor akan disediakan oleh pihak penerbit. Jadi, kalau saya berjaya mara ke pusingan seterusnya, saya masih lagi boleh beri tumpuan pada pelajaran dan pada masa yang sama cuba buat yang terbaik untuk program ini.

  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel