HIBURAN

Selamat Pengantin Baru Shugagi & Shugiga

HARI yang dinanti-nanti telah pun tiba. Hari ini, Jumaat, 13 Julai 2007, bakal menyaksikan Cat Farish dari The Fabulous Cats mengakhiri zaman bujang dengan buah hati pilihan hatinya, Hartini Ramly, 24.

Majlis pernikahan Cat dan Hartini akan diadakan di rumah pengantin perempuan di Bangi pada jam tiga petang selepas sembahyang Jumaat dengan hantaran sembilan dulang termasuk wang hantaran sebanyak RM13,000 berbalas 11 dulang.

 
Inilah dia Hartini, buah hati Cat - gambar yang diambil di hari pertunangan mereka
(Foto koleksi peribadi Cat Farish)

Kalau ketika ini kebanyakan pengantin lelaki biasanya sedang berpeluh menghafal lafaz akad nikah, Cat, 33, yang sentiasa 'cool' tidak sedikit pun merasa gentar menjelang hari pernikahannya.

"Tak ada rasa nervous atau kelam-kabut pun...sebenarnya saya tak sabar-sabar nak menikah ni, ujar Cat sambil tertawa ketika ditemubual baru-baru ini sewaktu menjayakan konsert SuriaFM Green Everyday 2007 di Bukit Jalil.

Menurutnya, mungkin salah satu faktor yang menyebabkannya begitu tenang adalah kerana dia tidak pernah menghadiri mana-mana majlis pernikahan.

"Selama ini saya cuma menghadiri majlis persandingan. Pada saya itu seronok," katanya yang turut teruja dengan hantaran sepasang kasut boots jenama Timberland, pemberian dari pihak pengantin perempuan.

"Memang saya boleh beli sendiri tetapi sebab ini hadiah dari bakal isteri, saya lebih menghargainya," ujar Cat yang telah mencipta lagu Bila Bila Katakan untuk Hartini yang dimuatkan di dalam album The Fabulous Cats yang meletup dengan lagu Papa Jahat


Cat dan the Fabulous Cats tetap membuat persembahan walaupun sibuk dengan persediaan menjelang perkahwinannya
(Foto fail mStar

Majlis persandingan di sebelah Cat pula bakal diadakan pada 21 Julai di Kuarters Pegawai Polis, Jalan Duta di Kuala Lumpur dan berkonsepkan "garden wedding featuring kampung dishes".

"Saya memang sukakan majlis yang santai tetapi ada unsur tradisional," ujar Cat yang mengeluarkan seribu keping kad jemputan ke majlisnya.

Ujar Cat lagi, saudara-maranya Melaka, Perak dan Johor akan turut hadir untuk memeriahkan majlis persandingan itu nanti selain dari rakan-rakannya yang akan turut membuat persembahan.

Cat menceritakan bahawa bakal isterinya itu adalah seorang yang serius dan bertanggungjawab.  Bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Putrajaya, Hartini merupakan anak sulung dan kakak kepada seorang adik lelaki dan seorang adik perempuan.

"Orang cakap perangai saya 'gila-gila' tapi entah macam mana kami berdua serasi bersama. Mungkin sebab saya sering buat dia ketawa dengan perangai saya," ujar Cat yang hanya mempunyai seorang adik perempuan.

Keluarga mereka turut merestui perhubungan mereka dan amat gembira dengan penyatuan kedua-dua merpati dua sejoli ini.

"Walaupun keluarga kami amat sporting, kami memang tidak pernah menyalahgunakan kepercayaan yang diberi. Sehingga sekarang pun saya masih meminta izin dari ibunya kalau ingin membawanya keluar dating dan saya akan menghantarnya balik sebelum jam 12 tengah malam," ujar Cat lagi sambil menambah bahawa panggilan manja antara mereka adalah Shugagi dan Shugiga.

Bakal berbulan madu di Pangkor Laut Resort, Perak, dan juga beberapa destinasi di Eropah, Cat berkata dia ingin mempunyai anak yang ramai.

"Saya memang inginkan keluarga yang besar. Keluarga kami di kedua-dua belah pihak kecil sangat," ujarnya.

Buat sementara waktu, Cat dan Hartini akan tinggal bersama keluarga mereka sebelum mencari rumah yang sesuai untuk membina keluarga mereka.

"Biarlah keluarga kami puas untuk bersama-sama kami dahulu," ujar Cat yang akan meneruskan kerjayanya dibidang hiburan ini.

Katanya oleh kerana Hartini bekerja di Putrajaya dan dia di Petaling Jaya, mereka perlu mencari rumah yang sesuai agar kedua-dua mereka tidak manghadapi kesukaran untuk ke tempat kerja.

Editor: mStar Online mengucapkan tahniah dan Selamat Pengantin Baru kepada Cat Farish dan Hartini. Semoga bahagia dan berkekalan ke akhir hayat.

  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel