|
|
HIBURAN
Isnin Julai 30, 2007
Betty: Saya tak sinonim dengan watak penggoda
SEWAKTU ditemui seorang wartawan selesai tayangan prebiu Haru Biru tempoh hari, Betty Banafe agak terkedu setelah mendengar komen si wartawan itu tentang lakonannya sebagai Suzi, perempuan simpanan Big Daddy. "Berlakon macam itu, bagi aje kat awak ye," ujar wartawan itu dengan senyuman sinis. Betty yang baru sahaja mengucapkan selamat jalan kepada seorang rakan terus terdiam dan tidak dapat membalas kenyataan wartawan itu.
Wartawan itu pula terus berlalu kerana ada majlis lain yang perlu diliput katanya. "Dia perli I ke?" tanya Betty kepada saya yang menyaksikan "adegan yang tidak ingin dilihat" yang baru sahaja berlaku. Saya juga tidak mampu berkata apa-apa kerana mulut penuh dengan kuih karipap yang baru disuap tetapi tangan saya membuat isyarat tangan "tunggu" kepada Betty. Wajah manis Betty yang teruja dengan penayangan Haru Biru di pawagam bertukar menjadi muram. "Saya bukan selalu berlakon watak antagonis, banyak juga watak baik yang saya lakonkan," ujar Betty kepada saya seperti membuat penjelasan tentang komen yang baru diterimanya itu. Ujar Betty lagi, ke mana-mana dia pergi - para peminatnya lebih mengingati watak Aleya Maisarah yang dilakonkannya di dalam telefilem dengan tajuk yang sama yang disiarkan di TV3 pada tahun 2004. Di dalam filem Haru Biru yang telahpun memulakan tayangannya di seluruh Malaysia minggu lalu, Betty melakonkan watak Suzi yang merupakan bekas kekasih Kid (Que Haidar). Suzi cuba memporak-perandakan hubungan Kid dan Ariyana (Dynaz Mokhtar) kerana ingin kembali ke pangkuan Kid. Suzi yang menjadi perempuan simpanan Big Daddy cuba melarikan diri setelah kerap dipergunakan dan didera oleh "sugar daddynya" itu.
Menurut Betty, sebagai seorang pelakon yang versatil, tentulah dia ingin mencuba pelbagai watak tetapi itu tidak bermakna dia lebih suka berlakon watak antagonis. Pelakon berkelulusan dari UiTM ini telah berlakon di dalam berpuluh-puluh drama dan telefilem tetapi namanya mula dikenali setelah berlakon di dalam filem Buai Laju-Laju arahan U-Wei Shaari pada tahun 2003. Antara lain, Betty turut dikenali setelah berlakon di dalam drama VCD Inggeris, Father, disamping aktor Bollywood Kabir Bedi. Betty juga terlibat di dalam pementasan teater Lorong Neraka, Hering, Demi Zaitun dan Sarah. Pelakon dan penyanyi berketurunan Arab dan Jawa ini banyak mendapat tawaran berlakon drama dan telemovie, antaranya Dilema Wanita, Tak Pulang Nak Pulang, Bila rama-rama Terkopak Sayapnya, Sifu, Symbiosis, Yang Tulus, Aleya Maisarah, Hijab & Kabur, Hijrahku, Talkin Syahadah, Kepulangan, Kiranya Ku Tahu, I’m Muslim, Lady Anne, Nenek Sidah Dr. Syakila, Dari Maisara ke Qistina, Cats, Cikgu Siti, Shamsuddin, Siva & Partner dan Nur Penyuluh Alam. Menurut Betty dia memang agak risau jika watak yang dilakonkannya di dalam Haru Biru akan disalah ertikan. "Saya cuba memberikan lakonan yang terbaik terutamanya setelah mendapat bimbingan yang baik dari Adlin (Aman Ramli - penerbit dan penulis skrip), U-Wei dan Eman Manan. "Sewaktu watak Suzi dan Ariyana bergaduh, saya sudah minta maaf awal-awal kepada Dynaz kerana "menyerangnya" kerana saya tidak mahu adegan itu nampak kekok," ujar Betty yang menunjukkan kekuatan kakinya dengan menendang pintu yang berkunci sehingga terbuka di dalam filem itu. Betty yang kini menjalani promosi album berbahasa Arabnya di negara-negara Timur Tengah berharap orang ramai akan menonton Haru Biru di pawagam. "Saya bukan memegang peranan utama tetapi ini adalah antara watak yang paling stres yang pernah saya lakonkan. "Tidak ada babak yang tenang, semuanya memerlukan saya berada di dalam keadaan yang negatif," ujarnya ketika mengimbas semula penggambaran filem yang dilakonkannya itu dua tahun yang lalu. Menurut Betty, dia percaya para penonton tidak akan kecewa dengan filem arahan Shadan Hashim ini kerana ianya memang lain dari yang lain. |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES
|
|||||||