|
|
HIBURAN
Jumaat September 21, 2007
Album 'Dayang 2007' dapat pelbagai reaksi
Satu berita baik buat penyanyi wanita yang memperjuangkan lagu berkonsep pop, R&B dan hip hop ini apabila album terbarunya, 'Dayang 2007' mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada peminat-peminat muzik tempatan. Dayang Nurfaizah Awang Dowty akui sambutan pasaran albumnya yang keenam ini lebih drastik berbanding jualan albumnya sebelum ini, 'Kasih'.
"Lagipun lagu-lagu dalam album tu mudah diingati kerana liriknya yang mudah dan boleh dikatakan Dayang berpuas hati dengan sambutan album setakat ini," kata gadis kelahiran Kuching, Sarawak ini sambil tersenyum semasa majlis berbuka puasa bersama artis New Southern Records Sdn. Bhd. (NSR). Menurut Dayang, beliau masih meneruskan promosi album yang dilancarkan pada Julai lalu di Shah Alam dan Bukit Bintang. Album yang memuatkan lagu hits 'Inginku Miliki', 'Hilang' serta lapan buah lagu lain yang berentak balada dan pop ini bagaimanapun mendapat kritikan positif mahupun negatif daripada pendengar melalui emel. "Peminat ada hantar emel kepada Dayang dan memberi respon mengenai lagu-lagu dalam album ni. "Ada yang komen dari satu lagu ke satu lagu. Kebanyakan daripada mereka memberi komen yang positif. "Namun, ada juga yang memberi komen negatif. Biasalah, ada orang yang suka kalau lagu tu macam ni, ada yang suka lagu rancak dan ada yang suka lagu 'slow'. Bergantung kepada seseorang tu," kata Dayang di mana enam buah lagu daripada 10 buah lagu berirama rancak.
Selain itu, Dayang dapati kebanyakan daripada mereka yang mendengar albumnya terhibur dan tidak bersedih dengan lagu-lagu yang menyentuh perasaan seperti yang pernah dimuatkan dalam album sebelum ini. "Lirik-lirik lagu kali ini lebih memberi kesan yang positif kerana ia bukanlah lirik yang membawa kepada kisah orang putus harapan dan kecewa. Contohnya lagu 'Hilang' memanglah kedengaran sedih tapi akhirnya lirik tu "Kau rela" yang membawa maksud positif," ujar Dayang yang bakal menganjurkan sebuah konsert tidak lama lagi.
Artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman NSR ini akan mengadakan sebuah konsert di No Black Tie, Bukit Bintang pada 2 dan 3 November ini. Memandangkan sekarang adalah bulan puasa maka aktiviti seni Dayang pun hanya tertumpu kepada menghadiri persembahan sempena majlis berbuka puasa selain meneruskan promosi album. "Dayang tak pernah hadkan aktiviti cuma menanti kalau ada rezeki," ulas Dayang yang akan pulang ke Sarawak bermula 8 Oktober ini bagi menyambut hari raya selama dua minggu di sana. Majlis yang bertempat di Hotel Dynasty, Kuala Lumpur itu turut dihadiri oleh Ketua Bahagian Lagu Melayu NSR Anthony Gan serta artis-artis NSR seperti Andy (Flop Poppy), Naqiu (Boboy) dan OG (Aboi). |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES
|
|||||||||