|
|
HIBURAN
Khamis September 27, 2007
Ahli Fiqir tulis lirik dari 'kisah benar'
EMPAT orang anak muda iaitu Noor Hidayati Mohamed Yusop (Dayat), Fadali Mohd Darif (Daly), Ceza Mutyara dan Samsolnahar Sibengat (Samsol) bukanlah nama baru dalam industri seni ini. Nama mereka bukan sahaja menjadi siulan anak-anak muda zaman sekarang malah lagu-lagu yang dinyanyikan turut menjadi ikutan kanak-kanak. Kumpulan hip hop dan rap, Ahli Fiqir yang berasal dari Singapura ini telah mengukir nama menerusi album pertama 'Hari Ini Dalam Sejarah' pada tahun 2005 melalui lagu-lagu hits seperti Samseng dan Angguk-Angguk Geleng-Geleng. Pada tahun ini pula, mereka sekali lagi menghiburkan peminat yang meminati lagu-lagu perjuangan bahasa melalui album kedua, "Rap Untuk Rakyat' yang diedarkan oleh Warner Music Malaysia bermula 16 Jun lalu.
Apa yang pasti mereka ini menulis lirik bukan sekadar memperjuangkan bahasa, malah turut menyelitkan pengalaman silam mereka. "Kami tak nak menjadi hipokrit. Berdasarkan lirik-lirik lagu yang ditulis, kami banyak mengaitkan ia dengan pengalaman lalu untuk kesedaran semua termasuk diri kami sendiri," ujar Dayat atau Mawar Berduri mengenai ilham mereka menulis lirik sesebuah lagu. Oleh sebab itu tidak hairanlah jika ada yang perasan Samsol atau Tukang Kata menitiskan air mata ketika menyanyikan lagu 'Manusia Lupa' dengan Akbar di majlis Anugerah Era 2007 pada 8 September lalu. "Apa yang dia katakan kepada saya, pada waktu tu dia terlalu menghayati lirik dan sekaligus memberi kesedaran kepadanya kerana jika dihayati lirik lagu itu secara mendalam memang boleh meninggalkan kesan dalam diri," ujar Dayat mewakili Samsol yang tidak hadir semasa temubual dijalankan iaitu ketika majlis rakaman Melodi Raya lalu. 'Single' kedua tidak lama lagi
Selepas kemunculan single pertama mereka yang menampilkan lagu '2x5', tidak lama lagi peminat kumpulan yang memenangi Artis Singapura Terbaik Anugerah Planet Muzik 2006 ini bakal tampil dengan 'single' kedua yang menampilkan lagu rakyat 'Kelentong' dan 'Dia Datang'. "Kami mengetengahkan kelainan bahasa yang lebih ringan dari segi penulisan yang terang serta jelas dan disampaikan dalam bentuk seloka. "Seperti lagu 'Dia Datang', kami ambil lagu lama dengan mengekalkan lirik "Dia datang" sahaja manakala lirik lain diubah sama sekali," jelas Daly yang dikenali sebagai Ahli Fiqir ini. Menyentuh tentang penerimaan peminat terhadap album kedua ini, Dayat menyatakan mereka bersyukur dan berasa gembira dengan sambutan album yang memuatkan 10 buah lagu itu. "Harapan kami semoga album pada kali ini mendapat sambutan seperti album lepas. Selepas raya nanti, kami akan membuat promosi album tersebut di Singapura dan Indonesia," tambah Dayat yang sibuk dengan persembahan di pusat membeli belah selain mendapat jemputan berbuka puasa bersama anggota Ahli Fiqir yang lain. 'Pertunjukan fesyen' apabila Raya Terdapat perkara menarik yang akan dilakukan oleh Dayat dan keluarganya di Singapura apabila menjelang hari Raya. "Kami akan mengadakan 'pertunjukan fesyen' dengan memperagakan baju yang sedondon serta menonjolkan semangat Raya yang diraikan," kata Dayat. Berlainan dengan Daly yang juga beraya di Singapura ini hanya menikmati suasana Raya pada hari Raya pertama sahaja. "Saya akan beraya sehari sahaja dengan menziarahi rumah saudara-mara. Namun, jika ada masa saya akan beraya ke rumah saudara-mara yang belum sempat beraya serta rumah kawan-kawan lain," ujar Daly. Manakala Ceza atau Dj Cza/turtable pula berkata beliau akan beraya di Indonesia di mana situasinya tiada banyak beza dari Malaysia dan Singapura. |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES |