HIBURAN

Jangan pandang rendah 'Budak Lapok'!

Menghasilkan filem animasi bukanlah seperti membuat filem-filem bercorak cinta, drama dan sebagainya. Cukup rumit sebenarnya, lebih-lebih lagi untuk memastikan grafik animasi yang dihasilkan itu berkualiti dan benar-benar berkesan di mata penonton.

Di dalam industri kita, penulis sendiri pernah menonton dua buah filem animasi tempatan, Silat Lagenda dan Putih tidak lama dulu.

Meskipun kurang sambutan, tetapi itu tidak bermakna 'petanda buruk' untuk penerbit-penerbit filem menghasilkan filem sedemikian rupa.

Jika ingin melihat dari aspek risiko, memanglah tinggi risikonya! Jika silap dan kurang kemahiran akan teknik penghasilannya, maka filem animasi tersebut boleh menjadi 'carca-merba'.

Namun, dengan teknologi canggih yang sedia ada sekarang ini rasanya sudah mampu untuk penggiat-penggiat filem ini untuk cuba tampil membangunkan pula filem bercorak animasi ini.


Sudin, Ramlee dan Ajis dalam bentuk 'animasi'...

Kali ini, penulis berpeluang pula menonton sebuah lagi filem animasi tempatan terbitan Matahari Animation & Production Sdn Bhd, Budak Lapok.

Filem yang dianggap sebagai satu tribute untuk artis lagenda kita, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Datuk Aziz Sattar, S.Samsudin dan penggiat filem terdahulu ini sememangnya cukup menarik bagi pemerhatian penulis secara peribadi.

Tahniah buat penerbitnya, Wafa Tan Sri Abdul Kadir dan pengarah Anwardi Datuk Jamil yang berani menghasilkan filem bercorak animasi ini yang menelan belanja kira -kira RM2.58 juta untuk kos produksi dan promosi filem ini walaupun mengambil masa lebih kurang enam tahun untuk menyempurnakan pembikinan Budak Lapok ini.

Menariknya, filem berdurasi 90 minit ini adalah sebuah filem yang diinspirasikan dan diceritakan semula oleh Datuk Aziz Sattar dan S. Shamsudin di mana penonton dibawa semula ke alam kehidupan anak-anak mengenai pertemuan P.Ramlee, Aziz Sattar dan S. Samsudin.

Watak animasi Ramlee

Kisah bermula apabila tiga anak muda iaitu Ramlee, Ajis dan Sudin yang telah menjadi kawan akrab yang tinggal di Kampung Sebatang Pinang.

Ketiga-tiga rakan karib ini telah menyertai pertandingan bola sepak bagi mewakili kampung mereka untuk menentang Kampung Semerah Padi yang diwakili oleh Sarip Dol, Megat Komeng dan Brahim.

Dalam masa yang sama, mereka cuba memikat hati tiga anak gadis di sekolah mereka iaitu Nani, Salmah dan Eton dengan menyertai pertandingan drama antara sekolah, walaupun Ajis dan Sudin sebenarnya gerun untuk berhadapan dengan orang ramai, lebih-lebih lagi di atas pentas.

Keadaan bertambah rumit apabila kedua-dua pertandingan itu akan diadakan pada hari yang sama dan mereka perlu memikirkan cara terbaik supaya boleh berada di dua tempat tersebut.

Antara bintang yang menyumbangkan suara bagi menghidupkan watak-watak di dalam Budak Lapok ini adalah Aziz Sattar dan S.Samsudin sendiri, Nasir P.Ramlee, Dian P.Ramlee, Maizurah Hamzah, Jalil Hamid, Jasmin Hamid, Vanida Imran, Isma Alif, Abon, Sabri Yunus, Eric Fuzi dan ramai lagi.

Bukan semata-mata hiburan yang dapat ditonjolkan di dalam filem ini. Apa yang boleh dilihat, nilai persahabatan juga menjadi elemen penting di dalam mesej yang cuba ingin disampaikan menerusi filem ini.

Cukup jelas mesej yang terkandung dan bersesuaian dengan sasaran penonton filem ini iaitu golongan kanak-kanak dan generasi muda, filem ini mampu menghiburkan serta pada masa yang sama dapat memupuk nilai-nilai positif yang ada di dalamnya.

Walaupun karektor watak tersebut digambarkan di dalam kehidupan mereka sebagai kanak-kanak, tetapi ia bijak dicorakkan mengikut karektor peribadi tiga sahabat itu.


Budak Lapok mampu menghiburkan serta pada masa yang sama dapat memupuk nilai-nilai positif yang ada di dalamnya

Cara percakapan, body language dan tindak tanduk mereka memang nampak ada persamaan dengan watak Ramlee, Ajis dan Sudin seperti mana yang sering kita saksikan di dalam filem Bujang Lapok dan sebagainya.

Penulis mengagumi karakter watak-watak dalam filem ini yang mendapat sentuhan 12 orang pelukis komik tempatan dan mengilhamkan lukisan kartun, Datuk Lat. Diakui, agak sukar untuk menandingi animasi dari luar negara yang memakan belanja yang begitu tinggi.

Tetapi, dengan penggunaan teknik animasi 2D yang berkualiti tinggi di dalam filem ini seperti yang digunakan dalam filem animasi Tarzan ini, penulis tidak nampak mengapa animasi tempatan kita seperti Budak Lapok ini perlu dipandang rendah.  

Masih ada ruang untuk diperbaiki daripada aspek animasinya, tetapi apa yang boleh penulis katakan di sini, Budak Lapok ada kekuatan tersendiri selain dapat mengimbau semula nostalgia kegemilangan P.Ramlee dan rakan-rakannya.

Budak Lapok akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada Hari Raya Aidilfitri nanti 

 

 

  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel