HIBURAN

Kenduri durian Media Prima meriah

Pelbagai aktiviti yang diatur bagi mendekatkan diri mereka kepada masyarakat Malaysia yang sentiasa inginkan kelainan dan mementingkan kepuasan dalam menjalani hidup seperti Media Prima yang mempunyai strategi tersendiri supaya namanya terus terpahat disanubari pengguna media ini.

Walaupun baru berusia hampir empat tahun, Media Prima tidak lupa untuk meraikan kejayaan pihak media khususnya kakitangan syarikat tersebut yang banyak 'mengerah tenaga' dari segi fizikal dan mental.

Minggu lepas bertempat di perkarangan Sri Pentas 2, Bandar Utama, syarikat 'multilevel marketing' CNI Enterprise menaja buah-buahan tempatan iaitu durian, manggis, langsat dan rambutan bukan saja kepada seluruh kakitangan Media Prima, malah untuk pihak media juga yang turut diundang sama sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang diberikan selama ini.


Kakitangan Media Prima Berhad menyerbu meja buah manggis,
rambutan, durian dan langsat

(Foto dari Media Prima Berhad)

Majlis yang bermula pada jam 4 petang itu begitu meriah dengan kehadiran 600 tetamu dan kakitangan yang ingin menikmati buah-buahan yang diimport dari Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan itu.

Antara yang turut serta ialah Pengerusi MPB Datuk Abdul Mutalib Razak,  Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen MPB Datuk Farid Ridzuan, Pengarah Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen MPB termasuk Pengurus Besar MPB Badariah Jalil.

"Ini adalah tahun kedua Media Prima menganjurkan majlis makan buah-buahan tempatan dengan kakitangan Media Prima melalui kerjasama dengan CNI.

"Lebih mudah buat di sini (Sri Pentas TV3) kerana nak bawa ke dusun secara beramai-ramai memang tak sempat," kata Badariah.


Antara yang hadir, Datuk Farid Ridzuan dan wartawan
Karam Singh Walia

Selain kakitangan Media Prima, seramai 10 orang dari CNI dan 20 orang anggota polis kawasan Damansara turut dijemput bagi memeriahkan majlis.

Menurut Badariah, semua buah-buahan yang dihidangkan itu memang betul-betul mencukupi kerana tiada sedikit pun baki yang tinggal dan kebanyakan dari mereka memang berpuashati menikmati buah durian gred satu itu.

"Sebanyak 800 kilogram durian, manakala bagi rambutan, manggis dan langsat adalah 100 kilogram setiap satunya.

"Memang ramai yang tak putus-putus makan dan kuantiti yang ada 'just nice', memang cantik.


Penyampai dan wartawan 999, Zakiah Anas tidak melepaskan
peluang menjamah durian gred satu

"Mula-mula ingat tak habis sebab banyak sangat dan takut diorang tak datang sebab sibuk dengan kerja, tapi Alhamdulillah ramai yang tak lepas peluang makan buah-buahan segar," ujar Badariah yang seronok menikmati dua biji buah durian.

Walaupun durian yang didatangkan itu bergred satu, namun tidak banyak ulas yang terkandung di dalam satu biji durian.

"Saya pertama kali makan dua biji sebab kualiti buah yang baik, jadi ulas tak banyak," jelas Badariah.

Ada yang hampir mual akibat terlalu banyak menjamah buah durian yang tidak henti-henti dikopek oleh beberapa orang ditugaskan untuk berbuat demikian. 


Wajah-wajah ceria antara 600 orang kakitangan Media Prima
Berhad yang menghadiri kenduri durian dan buah tempatan lain

CNI yang pernah menaja buah-buahan dan membuat majlis sedemikian pada tahun lepas turut menyediakan cenderamata berupa kopi untuk dibawa pulang bersama setelah puas menikmati juadah yang berakhir pada jam 6 petang ini.

"Kita memang bekerjasama rapat dengan CNI sebab CNI tiap-tiap tahun sumbangkan buah-buahan bila musimnya tiba sebagai menghargai media selain sebagai rakan perniagaan kami," akhiri Badariah.

Ternyata majlis seperti ini memang patut digalakkan pada masa akan datang agar dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara media yang memang memerlukan masa untuk bersosial setelah penat melakukan kerja seharian.


  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel