|
|
KOLUMNIS - MARCAPADA
Isnin November 9, 2009
Pengajaran Dari X-Men: Kekerasan Bukan Wadah Mencapai Maksud
SEPERTIMANA kanak-kanak dan remaja yang lain, saya juga pengemar komik superhero dan alam fantasi. Walaupun dibebankan dengan pelbagai bahan rujukan dan bacaan ilmiah yang perlu dihabiskan, saya tentunya akan “mencuri” sedikit masa untuk membaca komik kegemaran saya iaitu The X – Men, sama ada melalui sahabat–sahabat yang membeli komik tersebut ataupun dengan singgah ke kedai komik yang terdapat di bandar tempat saya melanjutkan pelajaran dahulu. Setelah siri ini dikomersilkan melalui beberapa filem blockbuster Hollywood, siapa yang tidak kenal akan manusia “luar biasa” siri komik ini, watak–watak baik seperti Professor Xavier, Wolverine, Cyclops, Storm dan juga karektor penjahat seperti manusia “luar biasa” paling berkuasa di dalam siri ini iaitu Magneto dan juak-juaknya iaitu Juggernaut, Sabertooth, Omega Red dan lain–lain lagi. Setelah lama mengikuti dan menelaah perkembangan jalan cerita serta watak–watak dalam siri komik ini, nyata terdapat pengajaran dan juga pengajaran positif yang tersirat yang mungkin dapat kita jadikan sebagai pedoman. Yang pertama, siri ini mempamerkan perjuangan dua ideologi berbeza antara dua tokoh iaitu Professor Xavier, yang memilih jalan toleransi dan perbincangan manakala Magneto yang memperjuangkan cara kekerasan dalam memperjuangkan hak mutant ataupun manusia yang boleh berubah bentuk yang dipaparkan dalam siri komik ini. Jelas sekali, dalam siri ini, cara toleransi, perbincangan dan konsensus yang diperjuangkan oleh Prof Xavier ini sentiasa memperolehi kemenangan dan dapat diterima dengan baik. Dari ini, pengajaran yang dapat kita lihat adalah amat jelas - memperjuangkan sesuatu dengan menggunakan cara konsensus, perbincangan dan “reasoning” tanpa mempergunakan keganasan merupakan suatu langkah yang baik dalam menegakkan sesuatu agenda, menyelesaikan apa jua permasalahan dan juga konflik. Ianya juga dengan jelas sekali menyampaikan mesej yang keganasan dan juga kekerasan tidak sepatutnya menjadi wadah atau metodologi untuk mencapai apa jua matlamat perjuangan. Falsafah perjuangan sebegini walaupun merupakan jalan yang lebih memerlukan kesabaran dan perit untuk diperjuangkan, namun ianya merupakan satu konsep yang mulia dan mengagungkan sifat kemanusiaan ke aras yang lebih tinggi. Lihat sahaja falsafah perjuangan tokoh–tokoh seperti Mahatma Gandhi dan Tunku Abdul Rahman yang berjaya memerdekakan tanah air masing–masing melalui kaedah anti–keganasan, perbincangan serta konsensus. Walaupun kaedahnya ini perit dan dugaannya besar, namun kejayaan yang dikecapi berjaya mendaulatkan bangsa dan negara tanpa menyebabkan kesengsaraan dan penderitaan kepada rakyat jelata adalah kaedah yang mulia dan terpuji. Dewasa ini, konsep dan falsafah anti keganasan ini sedang giat diperjuangkan oleh negarawan Tun Dr. Mahathir melalui kempen beliau untuk mengklasifikasikan aktiviti perang sebagai suatu jenayah di mata dunia. Yang keduanya, dalam konflik antara dua tokoh didalam komik X – Men ini, Prof Xavier merupakan seorang yang lumpuh tubuh fizikalnya tetapi mempunyai kekuatan minda yang tinggi, manakala musuhnya Magneto adalah merupakan karektor manusia mutan yang mempunyai tahap kuasa yang tertinggi di alam semesta. Namun, dalam setiap konfrantasi antara kedua pihak, jelas sekali Prof Xavier akan mencapai kemenangan. Malah, melalui kekuatan minda, Prof Xavier juga dipaparkan sebagai seorang tokoh yang mampu memberikan bimbingan kepada watak–watak manusia mutan lain, malah berjaya untuk membimbing Wolverine, seorang yang berperwatakan “ganas” di dalam siri ini kearah kebaikan. Dari sini, jelas sekali ianya menekankan akan kepentingan kekuatan minda, sama ada dari segi disiplin mental dan kapasiti minda untuk menghadapi cabaran mahupun penguasaan ilmu merupakan suatu kemestian di dalam usaha menjayakan sesuatu usaha dan perjuangan. Dari plot siri ini, ditekankan juga tentang kepentingan kekuatan minda terutamanya ketinggian ilmu dan daya pemikiran kritikal seseorang individu itu merupakan satu pre-rekuisit dan ciri penting yang perlu dikuasai oleh seseorang individu sekiranya beliau ingin dan bercita–cita untuk menjadi seorang pemimpin yang efektif, berjaya dan dihormati. Walaupun dahulu minat saya pada siri komik ini hanyalah berasaskan kepada plot ceritanya yang menarik dan juga aksi – aksi ganas yang dipaparkan, namun jelas sekali ada juga faedah didalam hobi saya yang selalu di “cap” sebagai membuang masa itu. Sebenarnya, apa mesej yang ingin saya sampaikan ialah didalam setiap cerita, kisah ataupun pengalaman yang dilalui, tentu sahaja ada pengajaran dan teladan baik akan kita dapati. Perjalanan kita sebagai sebuah negara juga sebegitu rupa, yang mana kita seharusnya belajar dari lipatan sejarah dan juga pengalaman dari sejarah tamadun, bangsa dan negara yang terdahulu dari kita, agar pengajaran dan pengalaman yang baik dapat kita sama – sama manafaati dalam usaha kita membina negara yang berdaulat dan dihormati dunia. Tatkala kita sekarang berada dipersimpangan, sama ada dari segi ekonomi, kestabilan politik dan juga keharmonian bangsa, ayuhlah kita segera menatap kembali kisah–kisah yang boleh kita manfaatkan teladannya, dan usahlah kita mengulangi kesilapan dan kekhilafan yang lalu yang dapat kita pelajarari dari lipatan sejarah kita sebagai sebuah negara bangsa. Sesungguhnya, apa sahaja permasalahan, sama ada pergolakan parti politik, perbezaan kehendak dan matlamat antara kaum mahupun permasalahan dan jurang ekonomi dikalangan rakyat tentunya dapat diselesaikan melalui kepimpinan yang mengamalkan kepimpinan yang berkonsensus, mahu berbincang serta menjadikan kuasa akal dan bukannya kuasa kekerasan sebagai paksi operasi kepimpinan mereka. Bagi menjayakan usaha ini, tentunya kepimpinan tertinggi negara kita perlu mempunyai kekuatan dan disiplin minda yang tinggi, dan pastinya pengalaman serta kebijaksanaan juga turut penting bagi memberikan inspirasi dan harapan agar rakyat dapat sama–sama mendokong perjuangan untuk memartabatkan negara kita. |
|
|||||||