|
|
KOLUMNIS - KHABARNYA...
Published: Selasa Julai 17, 2012 MYT 6:09:00 PM
Updated: Selasa Julai 17, 2012 MYT 7:30:37 PM
Tiga Abdul, SOP & Penulis...
TIGA ABDUL... PERTAMA sekali, ramai yang mengikuti dengan penuh minat dan perihatin perihal tulisan penulis minggu lalu yang menyentuh tentang bagaimana seorang bekas usahawan yang bergelar 'Datuk' berakhir dengan menjadi tukang buka pintu teksi dan angkat bag penumpang di hadapan KLCC. Datuk itu kini sedang berhadapan dengan kes penipuan melibatkan wang lebih RM1 juta dan kesnya akan didengar di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur minggu ini. "Pada mulanya cerita saudara terasa seperti kisah dalam drama atau cerita Tiga Abdul dalam filem P. Ramlee tetapi apabila saya mengambil daya usaha untuk melihat dengan kepala mata saya sendiri hujung minggu lalu barulah saya percaya," tulis seorang pengirim emel. Tidak sepertimana penulis, pengirim emel ini tidak langsung menunjukkan sebarang rasa kasihan atau simpati dengan nasib malang yang menimpa 'Datuk' itu. Sebaliknya dia berkata; "Memang patut pun dia jaga pintu teksi dan saya harap Datuk itu benar-benar insaf kerana dia cuba mengaut keuntungan daripada orang lain yang berada di dalam keadaan terdesak untuk menyelamatkan reputasi dan maruah diri." Malah katanya, hakikat bahawa Datuk itu sedikit pun tidak berasa segan dan malu melakukan kerja-kerja seperti ini memperlihatkan personalitinya yang sebenar. Penulis: Hanya sekadar melaporkan... SOP... PADA Isnin, Panel Siasatan Bebas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar berhubung isu demo Bersih 3.0 telah mendapati tiadanya Prosedur Operasi Standard (SOP) di kalangan pasukan polis dalam menangani petugas-petugas media menjadi punca kepada mengapa berlakunya insiden wartawan dan jurufoto turut menjadi mangsa kecederaan. Panel itu mendapati tiadanya arahan daripada pihak atasan kepada anggota bawahan bagaimana hendak menangani pihak media yang bertugas telah menyebabkan setiap anggota polis secara individu mengambil keputusan di tangan mereka sendiri. Jadi pada masa yang sama ini bukanlah aksi pasukan polis secara keseluruhannya tetapi aksi beberapa anggota secara individu mengambil keputusan di tangan mereka sendiri. Dalam apa-apa organisasi pun, SOP adalah satu prosedur yang sangat penting kerana ia akan menjadi panduan kepada tindak-tanduk kakitangan dan juga anggota bawahan dalam melaksanakan tugas masing-masing. Oleh yang demikian penulis mengalu-alukan keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mewujudkan SOP khusus di lapangan sebagai panduan kepada anggota-anggota mereka menangani pihak media yang turut dihantar ke lapangan untuk melaporkan berita. Salah satu SOP penting yang boleh penulis cadangkan ialah untuk anggota polis di lapangan melihat tag media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia kepada wartawan-wartawan dari organisasi media sebagai langkah pertama untuk mengenalpasti sama ada individu yang berada di lapangan itu adalah wartawan atau sebaliknya. Hari ini boleh dikatakan semua organisasi media mendaftarkan wartawan mereka dengan Jabatan Penerangan Malaysia untuk membolehkan kad perakuan media dikeluarkan. Dengan kad ini jugalah seseorang wartawan itu dibenarkan memasuki Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk membuat liputan sidang parlimen dengan mudah. Jika dahulu, setiap organisasi media perlu menulis surat dan menamakan wartawan mereka secara individu untuk membuat laporan sidang parlimen. Masalahnya jika wartawan itu sakit atau tidak bekerja, mereka menghadapi masalah untuk menghantar wartawan lain membuat liputan kerana namanya tidak dikemukakan lebih awal sebagai salah seorang pemberita yang ditugaskan membuat liputan di parlimen. Tetapi hari ini dengan kad perakuan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia, ia bukan sahaja sudah memadai untuk mengesahkan yang individu itu adalah seorang wartawan malah mempermudahkan urusan birokrasi. Selepas identiti wartawan itu disahkan melalui kad perakuan media yang dipegangnya, langkah SOP yang kedua ialah dengan membuka ruang dan mempermudahkan wartawan itu melakukan tugasnya di lapangan. Dan untuk keselamatan para petugas media ini juga, mungkin pihak keselamatan boleh menentukan satu ruang atau sudut yang sesuai bagi para petugas media berkumpul dan membuat laporan mereka dari situ tanpa diganggu gugat oleh sesiapa. Ini semua akan membantu melancarkan lagi tugas semua pihak tanpa perlu berhadapan dengan sebarang insiden yang tidak diingini. Tetapi bagi penulis, secara peribadi, SOP yang terbaik ialah untuk membenarkan sesiapa sahaja hendak berarak, berarak mengikut laluan pilihan mereka. Yang penting ialah tetapkan tempoh waktu perarakan itu dari jam berapa sehingga ke jam berapa dan dari mana sehingga ke mana. Pihak berkuasa hanya memantau agar tidak ada perbuatan anarki yang berlaku. Selebihnya serahlah kepada pihak awam untuk menentukan apakah ini yang mereka mahukan. Setelah menilainya, mereka tahu apakah yang perlu mereka lakukan ketika pilihan raya umum nanti. PENULIS... PENULIS ingin mengucapkan syabas kepada wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin di atas anugerah Tokoh Wartawan Negara yang diperolehinya pada malam Isnin. Beliau adalah seorang penulis yang sangat peka dan analitis di dalam penulisannya. Beliau boleh dijadikan mentor dan juga guru di dalam dunia kewartawanan. Wartawan seperti ini harus dan perlu diberi ruang untuk menjadi pensyarah tamu di fakulti media dan penulisan kreatif di mana-mana universiti awam kerana pengalaman mereka sangat berharga, berguna dan tidak mungkin dapat dibeli dengan wang ringgit. Ilmu di dada mereka bukanlah diperolehi daripada teori di dewan kuliah tetapi melalui pengalaman diri mereka sendiri ketika bertugas di lapangan. Pengalaman inilah yang perlu didengar oleh bakal-bakal wartawan atau penuntut tahun akhir pengkhususan kewartawanan sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan sebenar sebagai seorang pemberita. Dan pengalaman ini jika gagal atau tidak dikongsi bersama dengan yang lain akan terkubur bersama-sama diri yang empunya badan apabila nyawa tidak lagi dikandung badan. Maka teringatlah penulis akan satu pesanan yang amat berguna oleh mentor dan bekas ketua pengarang penulis dulu, kini dan selamanya, iaitu Tan Sri Zainuddin Maidin. Suatu hari ketika penulis baru pulang dari tugasan dari luar daerah membuat liputan dan temuramah eksklusif dengan penghuni pusat pemulihan dadah, beliau pun datang bertanya; "Mana cerita you pergi ke pusat pemulihan dadah tu..." "Eeeer...saya baru sahaja balik Encik Zam. Ni baru sampai semula ke pejabat dari Batu Pahat. Esok pagi saya siapkan," jawab penulis. Kemudian Zainuddin Maidin hanya menjawab ringkas; "kalau you mati malam ni siapa nak tulis cerita tu...you seorang sahaja yang pergi ke sana." Memang benar. Lalu penulis langsung mengeluarkan mesin taip dan menaip laporan tersebut malam itu juga sehingga selesai jam 3 pagi dan meletakkan di atas meja beliau. Pengajaran dari kisah itu ialah, wartawan tidak seharusnya menangguhkan tulisannya kerana ia adalah satu tabiat yang buruk dan tidak baik. Dan yang paling tepat ialah benar apa yang dikatakan oleh ketua pengarang penulis itu. Jika ditakdirkan malam itu penulis meninggal dunia, tiada siapa yang berkesempatan membaca hasil tulisan penulis kerana ia terkubur bersama-sama yang empunya badan. Inilah pengajaran terbesar yang penulis perolehi daripada seorang mentor dan penulis berpengalaman. Kini setelah diri sendiri menjadi pengarang, penulis pula memberi ingatan kepada pemberita-pemberita penulis dengan menggunakan ayat dan analogi yang serupa. Pesanan dan ingatan seperti ini tidak mungkin dapat diperolehi di bilik kuliah tetapi hanya di lapangan dan dunia kerja oleh mereka yang telah melalui proses dan pengalaman yang sama dan sebenar. |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES |