suria

Jelajah Pak Chong Timba Ilmu Industri Tenusu

PAK CHONG adalah daerah terbesar yang terletak di dalam wilayah Nakhon Ratchasima, Thailand dan mempunyai populasi penduduk seramai hampir 190,000 orang.

Ketika era pemerintahan Raja Chulalongkorn antara tahun 1868 hingga 1910, baginda telah  yang membina landasan keretapi ke wilayah utara melalui daerah Pak Chong.

Oleh kerana daerah itu mempunyai dua buah gunung iaitu Nok Yung dan Noi, terowong terpaksa dikorek merentasi kaki gunung tersebut bagi membolehkan landasan keretapi itu dibina. Dari situlah Pak Chong mendapat namanya yang diberikan oleh penduduk tempatan yang bermaksud “Mulut Terowong”.

Dengan jarak kira-kira 155 kilometer dari Bangkok, menaiki kenderaan untuk ke daerah Pak Chong akan mengambil masa perjalanan antara dua hingga tiga jam, bergantung kepada keadaan trafik.

Penduduknya pula rata-rata adalah golongan petani dan penternak lembu serta kambing. Boleh dikatakan, daerah Pak Chong merupakan nadi industri penternakan lembu susu bagi negara Thailand.

Bagi ahli-ahli Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia atau GTR, jelajah daerah Pak Chong ini sangat bermanfaat. Mereka yang rata-ratanya merupakan pengusaha dan penternak lembu dan kambing dari seluruh Malaysia, mengambil peluang menyertai jelajah ke daerah Pak Chong ini untuk menimba ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh Thailand dalam sektor ternakan yang sememangnya terkenal dengan kemajuannya jauh terkedepan berbanding Malaysia.

Disertai kira-kira 60 orang ahli GTR, jelajah ke Pak Chong diketuai oleh Timbalan Presiden GTR iaitu Nordin Mat yang turut menjadi orang tengah mengaturkan pertemuan dengan beberapa pengusaha dan penternak lembu tenusu persendirian yang berjaya di daerah itu.

Penulis mengikuti jelajah GTR ini atas faktor turut meminati bidang pertanian dan penternakan sejak menceburkan diri di dalam dunia kewartawanan di sebuah stesen televisyen swasta dan sering membuat liputan mengenai industri ternakan di luar negara sejak lebih 15 tahun lalu. 

Penulis juga mengambil peluang menyertai jelajah ini kerana belum pernah meninjau industri tenusu di Thailand.

GTR sebelum ini aktif menganjurkan pelbagai bengkel dan juga lawatan sambil belajar untuk ahli-ahlinya menimbul ilmu-ilmu baru serta berkongsi pengalaman dan kemahiran dengan penternak-penternak lain bagi memajukan lagi industri yang mereka ceburi.

GTR didaftar secara rasmi pada bulan Februari 2014, mempunyai keahlian hampir lima ribu orang. Kelab tersebut turut mempunyai tiga cawangan berdaftar di Zon Utara, Selatan dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. GTR turut mempunyai koperasi yang didaftarkan tahun lalu atas nama Koperasi GTR Malaysia Berhad.

Menurut Nordin, jelajah ke Pak Chong kali ini ternyata telah membuka mata ahli-ahli GTR yang baru hendak menceburi industri ternakan ruminan. 

Mereka amat kagum dengan kejayaan yang telah dicapai oleh penternak-penternak di Thailand dan ingin mengaplikasikan segala teknik di Negara Gajah Putih itu di Malaysia.

“Ramai dalam kalangan ahli-ahli GTR masih baru dalam industri ternakan ruminan ini dan mereka juga kurang berpengalaman. Jadi ini adalah satu peluang bagi mereka menimba ilmu di Pak Chong ini menerusi jelajah yang GTR anjurkan ini”, jelas Nordin kepada penulis.

Tambah beliau, GTR pada awalnya hanya membuka 40 penyertaan sahaja kepada ahli-ahlinya untuk mengikuti jelajah ini. Namun, maklum balas yang diterima amat memberangsangkan dan terpaksa ditambah menjadi 60 penyertaan.

Jelajah selama tiga hari dua malam itu membawa ahli-ahli GTR ke beberapa ladang ternakan lembu susu dan kambing milik persendirian, ladang rumput Napier, kilang pemprosesan susu milik Koperasi Thai Milk, Ekspo Ternakan Pak Chong dan juga ladang ternakan lembu terbesar di Thailand iaitu Chokchai Farm.

Paling mencuri tumpuan ahli-ahli GTR ialah lawatan ke ladang rumput Napier Pak Chong di mana ladang tersebut berkeluasan beratus hektar dan menjadi nadi kepada industri ternakan ruminan di daerah itu dengan bekalan makanan rumput berkhasiat tinggi untuk ternakan.

Turut dikagumi ialah inisiatif seorang saintis yang telah berjaya menghasilkan spesis rumput Napier dikenali sebagai Pak Chong 1 dan Pakcong 2 yang lebih berkhasiat berbanding rumput Napier asal yang tumbuh.

Rata-rata ahli GTR terpegun bukan sahaja dengan keluasan ladang rumput Napier Pak Chong, tetapi juga inovasi penambahbaikan rumput Napier Pak Chong 1 dan 2 yang disifatkan sebagai rahsia utama industri ternakan ruminan di daerah itu cukup berjaya.

Selain itu, ahli-ahli GTR juga teruja apabila dibawa melawat ke ladang ternakan lembu terbesar di Thailand dan kedua terbesar di Asia Tenggara iaitu Chokchai Farm. Ladang tersebut bukan sahaja menjalankan aktiviti tenusu, malah turut memberi fokus kepada aktiviti lain seperti penternakan lembu daging, agro pelancongan dan juga perniagaan restoran stik.

Ladang Chokchai asalnya dibuka pada tahun 1957 sebagai ladang sayur-sayuran yang diusahakan oleh pengasasnya bernama Chockchai. 

Menjelang 1965, Chockchai cuba melibatkan diri dalam penternakan lembu daging sehingga berjaya menternak 10,000 ekor. Pada 1978, Ladang Chokchai memulakan aktiviti penghasilan produk tenusu yang menerima permintaan tinggi selain aktiviti pembiakan lembu baka.

Seterusnya pada tahun 1985, ladang tersebut berjaya mengeluarkan produk susu segar berpastur di bawah jenama Farm Chockchai sebelum memperkenalkan susu berjenama Umm!...Milkpula pada tahun 2002.

Dengan saiz ladang seluas 4,800 hektar, ahli-ahli GTR dibawa menaiki traktor gondola berangkai untuk meninjau ke seluruh pelusuk ladang. Tiada ungkapan yang lebih sesuai untuk diperkatakan mengenai ladang Chokchai ini selain ungkapan “serba lengkap dan sungguh mengkagumkan”.

Bagi penulis, siri jelajah dan lawatan sambil belajar seumpama ini bermanfaat dan dapat membantu para penternak di negara kita menimba ilmu dan pengetahuan mengenai industri yang mereka usahakan.

Lebih-lebih lagi tahap industri tenusu di negara kita yang masih rendah iaitu pada tahap 5 peratus pengeluarannya berbanding Thailand yang sudah mencapai tahap lebih 40 peratus pengeluaran sara dirinya.

Sesungguhnya inisiatif yang digerakkan oleh GTR menerusi penganjuran jelajah ke Pak Chong ini nampak kecil dimata, tetapi besar sumbangannya kepada para penternak, pengusaha dan juga pengamal industri ternakan ruminan di Malaysia. Seterusnya, GTR mungkin boleh merancang untuk menganjurkan siri lawatan dan jelajah untuk ahli-ahlinya ke lain-lain negara yang sektor pertanian dan penternakannya lebih maju seperti Australia dan Belanda. 

Syabas dan tahniah diucapkan kepada GTR dan penggeraknya yang pro-aktif dalam mengembangkan sebuah sektor dan industri yang cukup penting kepada rakyat dan negara secara keseluruhannya.

Pak Chong, Thailand, lembu, Nok Yung, GTR

Artikel Sebelum

Artikel Lain