suria

Kiddie Pack...Kesannya Bukan Pada Saiz

DESAS-desus usaha untuk mengembalikan semula penjualan rokok 'kiddie pack' atau pek kecil 10 batang rokok kembali hangat diperkatakan.

Usaha yang ditunjangi syarikat tembakau dan sekutunya untuk melobi kerajaan ini tidak pernah putus meskipun telah dibantah sekeras-kerasnya oleh majoriti rakyat Malaysia sebelum ini.

Manakan tidak, 'kiddie pack' ini merupakan alat utama mereka untuk memanjangkan lagi pewarisan perokok tegar dalam setiap generasi masyarakat kita.

Berikutan prevalen perokok di kalangan pelajar dan remaja yang semakin menurun saban tahun, rokok pek kecil ini boleh menjadi penyelamat dan kelangsungan syarikat tembakau.

Hasilnya nanti perokok dalam kalangan anak muda akan kembali meningkat dan ia akan terus relevan kerana ketagihannya berpanjangan hingga ke usia tua.

Sekiranya pelobi ini berjaya mengembalikan semula pengeluaran kiddie pack, ia akan memberi tamparan  kepada kerajaan kerana mengambil tindakan 'u-turn' dalam langkah-langkah pencegahan merokok. Perkara ini sangat-sangatlah menyedihkan jika ia benar-benar berlaku nanti.

Alasan pelobi untuk mengatasi masalah penyeludupan rokok haram memang sudah basi dan tidak boleh dipakai kerana mekanisme terbaik sebenarnya adalah menerusi penguatkuasaan dan lesen produk pengeluaran tembakau.

Pelesenan atas tembakau dan hasil tembakau sebenarnya telah diluluskan dan diwartakan melalui Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 (Akta 692) sejak 1 April 2010. Malangnya, peruntukan bagi pelesenan hasil tembakau (rokok) belum dilaksanakan sehingga ke hari ini.

Melalui pelesenan khas, bukan sahaja isu rokok seludup atau haram yang akan dapat diatasi, bahkan juga dapat menangani isu penjualan rokok dalam kalangan pelajar sekolah dan remaja.

Sistem pelesenan ini juga akan membantu kerajaan dalam mengemaskini data yang boleh diselaraskan melalui pihak berkuasa tempatan serta memantau kedai-kedai yang menjual rokok di sesuatu kawasan. Sebagai contoh, kedai runcit yang terletak 500 meter daripada pagar sekolah yang berdekatan tidak boleh diberi lesen menjual rokok.

Cara seperti ini jauh lebih baik, sistematik dan efektif dalam menghadapi masalah isu penjualan rokok dan rokok seludup. Bahkan kerajaan dapat mengelak kerugian hasil cukai rokok akibat kegiatan haram penyeludupan.

Jadi, apakah yang menghalang akta ini untuk dikuatkuasakan sepenuhnya seperti mana yang  diwartakan?

Adakah pelobi ini sedang menjalankan kerja-kerja mereka di belakang tabir untuk menghalangnya?

Lebih-lebih lagi pilihan raya yang semakin hampir ini, kita sangat risau jika para pelobi ini mengambil kesempatan memanipulasi kedudukan calon atau parti tertentu semasa kempen pilihanraya semata-mata untuk menjayakan agenda mereka.

Cukuplah rokok menjadi penghancur dan pembunuh generasi nenek moyang kita dan generasi sedia ada.

Kita mahu bina genarasi baru bebas daripada amalan merokok, bebas daripada asap rokok.

Penulis adalah Dr Mohd Afiq Mohd Nor selaku Ketua Operasi, Kempen Generasi Bebas Rokok Vape, Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health)



kiddie pack, Dr Afiq, IKRAM Health

Artikel Sebelum

Unik! Berendam Sambil Isi Perut

Artikel Berikut

Gadis Tahi Lalat Mahu Jadi Guru

Artikel Lain